Sabtu, 26 November 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Calon boleh menang diterima majoriti pengundi: Najib

Posted: 26 Nov 2011 03:10 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata calon
boleh menang atau "winnable candidate" mestilah seseorang yang boleh diterima
majoriti pengundi dalam masyarakat tempatan serta jentera parti. Perdana Menteri berkata sekiranya jentera parti menolak, seseorang yang ada kebolehan atau mempunyai rekod kerja yang baik pun pada akhirnya tidak akan berjaya, seterusnya parti akan kalah dan kehilangan kuasa. "Kalau kita sebagai anggota parti tidak ada sikap yang terbuka dan kita
tekankan orang tu (calon itu) mesti merupakan calon yang ikut hierarki (parti)
tapi calon kita itu tak mungkin berjaya, calon kita akan gagal," katanya kepada
Bernama semasa wawancara khas menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011, di sini
hari ini.
Presiden Umno itu menegaskan pentingnya semua pihak dalam parti memahami
maksud "winnable candidate" yang mahu ditonjolkan semasa pilihan raya. "Kalau tidak, sukar nak mencapai kejayaan. Kalau winnable candidate tu
ditampilkan dalam kelompok dalam bahagian tanpa mengambil kira kehendak pengundi
teramai, calon itu pun tak akan berjaya," kata Najib.
Beliau mengakui adalah sukar untuk memuaskan hati semua pihak, terutama di
peringkat bahagian Umno, tetapi menurutnya, "rumusan calon boleh menang itu
adalah supaya setiap kerusi yang ditandingi mempunyai peluang terbaik untuk
menang".
Bagaimanapun katanya, proses pemilihan calon belum muktamad dan penilaian
akan dibuat bukan sahaja secara subjektif tetapi juga objektif.
"Ini yang paling penting sekali, bukanlah orang yang kita sukai secara
peribadi tetapi orang yang boleh diterima sebahagian besar pengundi dalam
kawasan berkenaan. Itulah yang mesti kita lakukan," katanya.
Katanya soal menentukan calon ini adalah satu perkara yang sangat mencabar
dan sukar dilakukan dan mustahil parti dapat memuaskan semua orang.
"Mengikut pengalaman saya 35 tahun dalam politik, tak pernah berlaku dalam
pilihan raya (calon yang dipilih memuaskan hati semua orang).
"Tapi apapun yang dibuat parti, keputusan parti, pada kesudahannya kita kena
terimalah, sebagai orang parti keputusan parti walaupun keputusan itu tidak
mengikut selera atau kehendak kita," katanya.
Beliau berkata banyak juga peristiwa di mana beliau melihat orang yang setia
kepada parti, walaupun keputusan parti tidak disenanginya tetapi menerimanya dan
akhirnya calon akan menang.
"Sebaliknya kalau dia terus menentang, dia nak kata apa nak jadi-jadilah,
aku nak menentang. Jadi maknanya dia tak setia pada parti dan calon itu kalah
dan maknanya parti akan kalah. Dia patut sedar bila parti kalah makna kita akan
kehilangan kuasa," katanya.
Najib juga mengakui bahawa di peringkat bahagian pun, anggota parti tidak
sependapat mengenai calon terbaik di kalangan mereka dan apa yang harus ada
ialah disiplin parti.
"Maknanya bila sampai pada masanya (pemilihan calon), keputusan itu perlu
diterima, disokong dan terus dipertahankan oleh setiap ahli parti," katanya.
Katanya, kriteria pemilihan calon ini difikirkan wajar berikutan keputusan
pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional dan Umno tewas
di lima buah negeri dan perlu menjadi pengajaran yang tidak harus dilupakan.
Menggunakan analogi semangat dan perjuangan skuad Harimau Muda yang
menggondol pingat emas pada Sukan Sea ke-26 di Jakarta-Palembang baru-baru ini,
walaupun menghadapi cabaran sengit, beliau berkata Umno juga perlu mempunyai
ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi pilihan raya.
"Kalau kita ada kekuatan mental dan kita ada jiwa yang kental, kita boleh
berdepan dengan persekitaran yang sangat mencabar walaupun pihak musuh membuat
apa jua tekanan terhadap kita termasuk tekanan psikologi dan emosi.
"Kalau kita kental dari segi kekuatan minda kita, dan semangat kita pun kukuh,
maka sudah terbukti seperti analogi Harimau Muda itu, kita boleh
mengatasi keadaan yang sangat berat menekan kita, mencengkam kita, walaupun
gelanggang tidak sama rata seperti di Jakarta, tapi pasukan kita akhirnya
berjaya juga," katanya.
Mengenai pengundi muda, beliau berkata sudah terbukti dalam pilihan raya kecil
sejak dua tahun yang lepas, biasanya majoriti golongan itu menyokong Umno.
"Bererti sudah terbukti bahawa tidak semestinya orang muda bersikap
"anti-establishment" (anti kerajaan) dan tidak menyokong parti kerajaan iaitu
parti BN, mereka akan menilai, siapakah yang lebih memahami kehendak dan naluri
mereka sebagai orang muda," katanya.
Katanya, pergerakan Pemuda dan Puteri Umno perlu prihatin dalam mereka
merealisasikan perjuangan mereka untuk generasi muda.
Beliau memberi contoh projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang berbangkit
dalam makmal Pemuda BN yang seterusnya dicadangkan kepada kerajaan.
Najib berkata perkara seperti itu memerlukan pertimbangan daripada kerajaan,
dan kerajaan hari ini adalah kerajaan yang amat peka dan amat prihatin kepada
kehendak dan tuntutan generasi muda.
"Jadi, maknanya walaupun saya bukan orang muda...walaupun saya rasa saya
muda (ketawa), tetapi maknanya kita mesti melakukan pendekatan dengan generasi
muda sepertimana juga dengan wanita, golongan warga emas, kelas pertengahan dan
pelbagai lagi kelompok dalam masyarakat," katanya. -- BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

PKR akui calonnya sebelum ini papar prestasi hambar

Posted: 25 Nov 2011 11:03 PM PST

Mutakhir


JOHOR BAHRU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akur dengan
teguran terdapat calonnya yang dipilih sebelum ini memaparkan prestasi hambar sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta kurang berkhidmat kepada rakyat. Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata oleh yang demikian, parti akan memastikan calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum
ke-13 akan datang benar-benar berkelayakan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa calon yang bakal ditonjolkan akan
dirundingkan terlebih dahulu dengan cabang dan akar umbi.
"Harus di kalangan yang berkelayakan dan diyakini punyai prinsip perjuangan
dan tidak mungkin dituai dengan jutaan ringgit sogokan musuh...kita harus lega
mereka bertindak keluar dan tersisih daripada perjuangan," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR kelapan, di sini, hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Dr Wan Azizah berkata PKR hanya akan
memilih calon yang komited sahaja untuk bertanding pada pilihan raya umum akan
datang.
"Pada pilihan raya umum 2008 kita kekurangan calon dan kita ada lebih ramai
calon untuk pilihan raya akan datang," katanya.
-- BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan