Jumaat, 25 November 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


417 kes denggi dilaporkan minggu lalu

Posted: 25 Nov 2011 03:27 AM PST

Mutakhir

PUTRAJAYA: Sebanyak 417 kes demam denggi tanpa kes kematian dilaporkan pada minggu ke-46 dari 13 hingga 19 November lalu, meningkat sebanyak 50 kes berbanding 367 kes dengan satu kematian yang dicatat pada minggu sebelum itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata jumlah kes untuk minggu ke-46 itu menunjukkan jumlah tertinggi yang dilaporkan sejak 19 minggu lalu.

Beliau berkata, pada minggu ke-46 itu, 11 negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelum itu dengan Pulau Pinang menjadi negeri yang menunjukkan peningkatan kes selama empat minggu berturut-turut manakala kes di Selangor meningkat tiga minggu berturut-turut. Kes denggi di Kedah meningkat daripada lapan kepada 20 kes, Selangor daripada 150 kepada 160 kes, Johor daripada 16 kepada 24 kes, Terengganu daripada sembilan kepada 16 kes, Perak daripada 35 kepada 42 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada 48 kepada 55 kes.

Di Melaka ia meningkat daripada tujuh kepada 13 kes, Pulau Pinang daripada 16 kepada 20 kes, Perlis daripada satu kepada empat kes, Negeri Sembilan daripada 11 kepada 14 kes dan Wilayah Persekutuan Labuan yang tiada kes demam denggi pada minggu terdahulu mencatat dua kes pada minggu ke-46.

Dr Hasan berkata, sebanyak 65 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dengan lima lokaliti hot spot ditemui iaitu di Projek Perumahan Rakyat(PPR) Desa Tun Razak di Cheras, Flat Taman Gembira di Klang Lama, Seksyen 2 Wangsa Maju (Menara Alpha Kondo) di Setapak, Taman Sri Petaling di Klang Lama serta di Seksyen 35 (Teres B Alam Impian) di Klang.

Beliau berkata, sebanyak 62 kes dilaporkan berlaku di lima lokaliti panas itu. Sehubungan itu beliau menggesa masyarakat supaya memberi kerjasama dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes di sekitar rumah masing-masing.

Katanya, pemimpin masyarakat setempat juga diminta memainkan peranan lebih aktif bagi menggerakkan aktiviti gotong-royong di kawasan masing-masing, terutama di kawasan yang mengalami kes denggi.

"Sempena musim cuti persekolahan ini, orang ramai perlu memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar rumah mereka jika meninggalkan rumah melebihi seminggu," katanya. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Banjir di Kelantan kian reda

Posted: 25 Nov 2011 03:02 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan petang ini sedikit reda apabila jumlah mangsa yang dipindahkan berkurangan kepada 1,817 orang dari 502 keluarga petang ini berbanding 1,892 orang pagi tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata jumlah pusat pemindahan yang dibuka juga berkurangan kepada 22 berbanding 32 pagi tadi.

"Sehingga petang ini, lima pusat pemindahan di daerah Kuala Krai dan Machang telah pun ditutup menjadikan hanya enam daerah lagi yang masih terbabit dengan bencana banjir. "Daerah Pasir Mas masih mencatatkan jumlah pusat pemindahan paling banyak iaitu 11," katanya.

Beliau memberitahu sehingga kini hanya sungai utama di Kelantan, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, masih berada pada paras bahaya.

Jurucakap itu berkata, jumlah laluan yang ditutup juga berkurangan kepada enam berbanding lapan pagi tadi.

Laluan yang masih ditutup kepada semua kenderaan ialah di Machang iaitu Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata; di Pasir Mas iaitu Jalan Pohon Tanjung-Meranti, Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram; di Tanah Merah iaitu Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh; dan di Tumpat iaitu Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti.
"Hanya satu laluan ditutup kepada kenderaan ringan, juga di Tumpat membabitkan Jalan Pohon Tanjung-Pasir Pekan.

Di KUANTAN, dua keluarga dari Kampung Chendor Baru, dekat Cherating di sini yang menjadi mangsa pertama di Pahang yang dipindahkan akibat banjir sejak semalam, masih ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir.

Jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontingen Pahang berkata, sehingga 4 petang ini, dua keluarga terbabit yang terdiri daripada enam lelaki dewasa, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan, berusia antara 11 hingga 63 tahun masih berada di pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Chendor.

"Keadaan banjir di kawasan rumah mereka setinggi 0.5 meter itu belum pulih sepenuhnya.

"Berdasarkan pemantauan, empat sungai utama di Pahang juga sudah kembali mencatatkan bawah paras bahaya," katanya sambil menambah semua penduduk di kawasan berdekatan sungai dan kawasan rendah diminta berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca mendung. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan