Khamis, 24 November 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pembangkang guna pendekatan supaya rakyat benci BN: Muhyiddin

Posted: 24 Nov 2011 04:04 AM PST

Mutakhir

PADANG SERAI (KEDAH): Pendekatan pembangkang mencetuskan keadaan tidak puas hati rakyat dalam beberapa perkara bertujuan agar mereka membenci dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata pakatan pembangkang turut mengaitkan isu raja-raja, pengagihan zakat, bantuan kepada golongan miskin, banjir dan sebagainya untuk menyalahkan BN.

"Hal ini (memburukkan BN) tidak dapat dielakkan kerana niat mereka hanya untuk menumbangkan BN, tidak kiralah walaupun menimbulkan masalah kepada negara dan rakyat," katanya sewaktu berucap pada majlis Jamuan Petang 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri di padang awam Taman Mutiara, Kampung Sungai Kob di sini petang ini yang dihadiri lebih 10,000 orang. Muhyiddin berkata bahawa selama 54 tahun sejak Merdeka, kecuali peristiwa 13 Mei 1969, rakyat hidup dalam aman dan damai dan mahukan keadaan itu berterusan.

"Rakyat hendak hidup aman dan tidak mahu suasana tidak aman mengganggu kehidupan mereka, namun masih ada pihak berusaha membangkitkan masalah termasuk mengganggu-gugat keharmonian antara kaum.

"Kita kena ambil iktibar daripada keadaan tidak aman, rusuhan dan rampasan kuasa di Asia Barat (agar tidak) merebak ke negara ini. Dalam hal ini BN telah terbukti mampu mentadbir dan mengurus negara dengan baik dan penuh bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata rakyat perlu membuat keputusan bijaksana untuk memilih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
Muhyiddin berkata terdapat tanda-tanda kesedaran rakyat Kedah untuk menerima kerajaan baru yang merupakan petanda baik buat BN menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Perubahan itu dapat dilihat melalui 'gelombang merah' iaitu kebangkitan golongan rakyat yang mahukan pembangunan dan masa depan yang lebih terbela dan terjamin," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat turut memantau keupayaan semua kerajaan negeri termasuk yang dikuasai pembangkang dalam mentadbir dan membawa pembangunan.

"Setelah lebih tiga tahun memerintah Kedah, kerajaan negeri yang diterajui Pas tidak mampu melaksana pembangunan. Malah untuk membina masjid, memberi bantuan kepada mangsa banjir, petani dan membina infrastruktur semuanya hasil sumbangan kerajaan pusat di bawah BN.

"Pilihan raya tidak lama lagi...jangan tanya saya (bila)...wallahualam. Ujian itu tetap tiba dan rakyat kenalah pilih pihak yang bertanggungjawab dan dan mampu membawa pembangunan," katanya.

Beliau berkata kerajaan Pas Kelantan tidak mampu menyelesaikan masalah air di negeri itu walaupun memberi pinjaman sebanyak RM600 juta.

Pada majlis itu beliau mengumumkan kerajaan pusat meluluskan projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Paya Besar berharga RM8.6 juta selain RM1 juta untuk menambah bilik darjah SJK (C) Kun Ming, Padang Serai dan masjid Taman Mutiara berharga RM2 juta. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman satu pembaharuan radikal

Posted: 24 Nov 2011 04:01 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan dan sedang dibahaskan di Dewan Rakyat adalah bersifat revolusioner dan lompatan berganda daripada segi kebaikannya berbanding undang-undang sedia ada.

Perdana Menteri berkata ini terbukti dengan beberapa prinsip asas yang diperuntukkan dalam rang undang-undang baru itu seperti keperluan untuk mendapatkan lesen perhimpunan akan dihapuskan.

"Seperkara penting, bahawa hukuman penjara di bawah undang-undang baru ini nanti akan ditiadakan, berbeza dengan peruntukan hukuman penjara yang terkandung dalam Seksyen 27 Akta Polis 1967. Hukuman yang bakal dikenakan adalah bersifat denda," katanya semasa membentangkan usul pemansuhan Proklamasi Darurat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Beliau berkata di bawah rang undang-undang baru, pihak polis yang selama ini sebagai penentu izin kini berubah peranan sebagai pengawal selia undang-undang dan pemudah cara dengan ruang lingkup kebertanggungjawaban yang lebih jelas.

Justeru, kata Perdana Menteri tuduhan pembangkang kononnya Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 'mencekik' hak kebebasan rakyat untuk berhimpun adalah tidak benar sama sekali.

Katanya rang undang-undang itu bertujuan memastikan semua warganegara mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan atau untuk menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata, tertakluk kepada sekatan-sekatan yang didapati perlu demi kepentingan, keselamatan dan ketenteraman awam seperti yang termaktub dalam Fasal 2 Perkara 10.

"Walau apapun, paling mustahak untuk diperingatkan kepada semua, kerajaan tetap menolak dengan sekeras-kerasnya sebarang demonstrasi jalanan," katanya.
Semasa membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 untuk bacaan kali kedua pula, Perdana Menteri berkata bagi tujuan penggubalan rang undang-undang itu, Jabatan Peguam Negara telah mengkaji dan merujuk perundangan beberapa negara asing berkenaan perkara itu seperti di Australia, Finland, United Kingdom dan Malta.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 mempunyai 27 fasal dan enam bahagian.

Antaranya, Fasal 4 tidak membenarkan penganjuran dan penyertaan perhimpunan oleh bukan warganegara, perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had tempat larangan dan apa-apa protes jalanan.

Fasal ini juga memperuntukkan hanya seorang yang berumur 21 tahun ke atas boleh menganjur dan menyertai perhimpunan, sementara kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan.

Individu yang merekrut atau membawa kanak-kanak ke suatu perhimpunan atau membenarkan kanak-kanak menghadiri suatu perhimpunan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabit boleh didenda tidak melebihi RM20,000.

Fasal 8 memperuntukkan bahawa seseorang pegawai polis boleh mengambil apa-apa langkah sebagaimana yang difikirkannya perlu untuk memastikan perhimpunan dikendalikan dengan teratur mengikut akta dan mana-mana undang-undang lain.

Fasal 9 mengkehendaki penganjur, dalam masa 30 hari sebelum tarikh perhimpunan, memberitahu pegawai yang menjaga daerah polis di mana perhimpunan itu hendak dibuat.

Seseorang yang tidak mengemukakan pemberitahuan mengenai perhimpunan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Fasal 15 membolehkan pegawai yang menjaga daerah polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat ke atas suatu perhimpunan bagi maksud keselamatan atau ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain.

Mana-mana orang yang melanggar mana-mana sekatan dan syarat yang dikenakan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Sementara itu, Fasal 20 memberi seseorang pegawai polis kuasa untuk menangkap tanpa waran mana-mana penganjur atau peserta yang enggan atau tidak mematuhi mana-mana sekatan yang dikenakan.

Pegawai polis hendaklah sebelum menjalankan kuasa menangkap di bawah seksyen ini, mengambil semua langkah yang ada untuk memastikan pematuhan sukarela oleh penganjur dan peserta.

Kuasa menangkap tanpa waran diperuntukkan bagi memastikan polis dapat menjalankan tugas untuk memastikan perhimpunan dijalankan secara aman dan teratur.

Fasal 25 memberi Menteri kuasa, melalui pemberitahuan dalam Warta, menetapkan mana-mana tempat sebagai tempat perhimpunan yang ditetapkan, manakala Fasal 26 dan 27 masing-masing memberikan Menteri kuasa untuk meminda Jadual dan membuat peraturan-peraturan bagi perjalanan yang lebih baik peruntukan akta ini. - BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan