Utusan Online - Timur |
Posted: Bersunat sempena cuti sekolahOleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMAD NOR Ibu bapa menyuapkan pulut kuning kepada anak masing-masing sebelum bertolak ke Klinik Kesihatan Bunohan untuk berkhatan di SK Pohon Tanjong, Tumpat. TUMPAT 28 Nov. - Setiap kali tiba musim cuti persekolahan, pelbagai perancangan diatur ibu bapa dan masyarakat setempat untuk mengisi masa lapang tersebut termasuk mengkhatankan anak lelaki atau lebih dikenali sebagai bersunat atau 'masuk jawi'. Telah menjadi trend masyarakat terkini menganjurkan majlis berkhatan secara beramai-ramai kerana selain menjimatkan tenaga, masa dan wang ringgit, ia juga antara usaha merapatkan hubungan sesama jiran tetangga. Amalan mengkhatankan anak-anak lelaki, kalau diperhatikan ada sedikit perbezaan antara dahulu dan sekarang. Jika sebelum ini ibu bapa memilih menyunatkan anak lelaki pada usia agak lewat iaitu sekitar usia 12 tahun, namun kini anak-anak sekitar tujuh tahun telah dikhatankan. Di dalam Islam, berkhatan adalah perkara sunat kerana ia dapat menjaga kebersihan dan dari sudut positif, berkhatan mampu mengelak seorang lelaki mengalami kanser zakar manakala bagi seorang wanita ia mampu mengurangkan risiko dijangkiti barah pangkal rahim daripada pasangannya. Menyedari kepentingan tersebut, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pasir Pekan Hilir, Tumpat mengambil inisiatif menganjurkan majlis berkhatan yang diadakan secara beramai-ramai di sini, baru-baru ini. Di majlis tersebut, seramai 25 murid miskin yang sebahagiannya merupakan anak kepada ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) kawasan berkenaan, menyatakan kesediaan untuk berkhatan. Majlis disertai oleh kanak-kanak lelaki berusia lima hingga 12 tahun. Keghairahan mereka untuk menempuh alam dewasa terserlah kerana sejak pukul 8 pagi lagi, mereka sudah siap sedia berkumpul di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pohon Tanjong di sini. Selepas diberi taklimat ringkas oleh Naib Pengerusi KRT Pasir Pekan Hilir, Abdullah Ismail, 60, beliau turut menyampaikan sumbangan kain pelekat kepada kanak-kanak yang terlibat dalam majlis tersebut. Menurut Abdullah, majlis bermula pukul 9 pagi diwarnai dengan majlis suapan pulut kuning oleh ibu bapa masing-masing dan disusuli bacaan doa selamat. Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai ragam kanak-kanak dilihat. Ada yang teruja untuk berkhatan dan tidak kurang juga yang kelihatan seperti ketakutan namun dipujuk oleh ibu bapa masing-masing. Kesemua peserta bertolak ke Klinik Kesihatan Bunohan setengah jam selepas itu. "Majlis ini bertujuan membantu kanak-kanak miskin yang sekali gus meringankan beban ibu bapa. Di samping itu juga diharap kerjasama ini memupuk semangat perpaduan antara penduduk di sini. "Kos perbelanjaan berkhatan ini berjumlah RM1,500 semuanya dan ia ditanggung oleh KRT Pasir Pekan Hilir dan kami bercadang menjadikan majlis seumpama ini sebagai acara tahunan," katanya . Sementara itu, seorang bapa peserta, Salleh Abdullah, 63, ketika ditemui memberitahu dia menyambut baik penganjuran majlis tersebut kerana dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan. "Dua orang anak saya menyertai majlis berkhatan kali ini dan syukurnya ia dapat mengurangkan beban tanggungan saya hadapi," katanya. Sementara itu, seorang peserta, Mohd. Syahmil Aiman Wan Norzab, 9, ketika ditemui memberitahu, berasa seronok kerana berjaya melepasi pengalaman dan ujian yang dianggap getir itu bagi setiap muslim yang akan menuju alam remaja. "Saya tidak berasa takut atau gentar kerana semua kanak-kanak lelaki beragama Islam akan melalui peristiwa yang sama apabila telah sampai masa untuk berbuat demikian," ujarnya. Bagi Abdul Hakim Ghazali, 11, pula dia teruja merasai pengalaman berkhatan yang dilakukan pada musim cuti sekolah kerana mereka mempunyai masa yang lebih panjang untuk sembuh. Tambahnya, ibu bapanya selalu memberi galakan kepadanya untuk berkhatan dan dia pun teringin untuk memasuki alam remaja secepat mungkin. "Lambat-laun saya akan khatan juga, jadi hari ini saya mengambil kesempatan untuk menyertai program yang diadakan bersama kawan-kawan lain," katanya. Bagi Ahmad Sayhmi Che Wan Mohd. Yusof, 11, dia berasa amat teruja dan tidak sabar-sabar berkhatan. Katanya, dia bersetuju dengan cadangan ibu bapanya yang mahu dia berkhatan pada musim cuti sekolah kerana kawan-kawan sebayanya sudah ramai yang berkhatan dan dia juga mahu turut serta sebelum melangkah ke sekolah menengah. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: 100 hektar sawah terjejasOleh SITI AIRUNNISA ALAUI PENDUDUK kampung dan pegawai JPS melihat empangan kecil yang digunakan penduduk untuk mengairi sawah pecah akibat hujan lebat Khamis lalu ketika kawasan lain dinaiki air banjir di Kampung Durian Telur, Besut, Terengganu, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM BESUT 28 Nov. - Kejadian sebuah empangan kecil yang digunakan penduduk untuk mengairi sawah padi di Kampung Durian Telur dekat sini yang pecah Khamis lalu membimbangkan kira-kira 60 petani di kawasan itu. Ia ekoran empangan kecil atau ban takungan air tersebut telah rosak dan menyebabkan paras air takungan berkurangan dan tidak dapat disalurkan ke 100 hektar sawah penduduk. Kejadian itu boleh menyebabkan kerugian terhadap tanaman mereka yang ketika ini kebanyakannya baru selesai dibajak. Selain itu, kejadian tersebut juga telah menyebabkan kira-kira 10 hektar sawah musnah kerana pokok dan batu hanyut ke dalam petak sawah ketika insiden itu berlaku sebelum ini di samping turut merosakkan jalan raya kampung tersebut sepanjang kira-kira 300 meter. Pengerusi Kelompok Padi Kampung Durian Telur, Hasbullah Yusof berkata, dia berharap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dialami oleh petani berkenaan berikutan mereka terpaksa menanggung kerugian lebih RM3,000 untuk sepetak sawah yang telah dibajak dan dibenih. Katanya, jika masalah itu tidak diatasi dengan segera, dia bimbang petani di kawasan itu akan terus menanggung kerugian yang lebih besar. "Banyak di antara petak sawah telah dibajak dan dibenih menyebabkan para petani terpaksa menanggung kerugian yang besar dan jika tidak dilakukan sesuatu kita bimbang akan mengakibatkan seluruh kawasan tanaman ini terjejas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. Jelasnya, beliau juga berharap pihak berwajib dapat membuat pembaikan alur sungai di kawasan itu agar air tidak melimpah masuk ke dalam tanaman. Tambahnya, masalah tersebut telah berlarutan sejak sekian lama dan sehingga kini tiada tindakan yang diambil. "Masalah alur sungai yang melalui petak sawah ini sudah lama berlaku dan ia menyebabkan kawasan tersebut tidak dapat digunakan untuk menanam padi. "Jadi saya harap kerajaan dapat lakukan sesuatu untuk membantu atau lebih senang jika kerajaan ambil alih tanah yang terlibat dan bina alur yang lebih baik," ujarnya. Sementara itu, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran Besut memberitahu, pihaknya telah memantau kawasan yang dinamakan Skim Pengairan Telabak itu dan akan membuat kerja baik pulih dalam masa terdekat ini. "Kita menandakan kes ini sebagai kes kecemasan dan akan cuba memulihkan keadaan sawah ini seperti sedia ada dalam tempoh sebulan bermula pertengahan bulan depan," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Pembinaan jambatan perlu ikut spesifikasi Posted: Pembinaan jambatan perlu ikut spesifikasiBACHOK 28 Nov. - Pembinaan jambatan yang merentasi sungai seharusnya menepati spesifikasi dan piawaian ditetapkan supaya ia selamat digunakan oleh penduduk seterusnya mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku. Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, keselamatan penduduk perlu diberi keutamaan termasuk memastikan setiap projek pembinaan infrastruktur yang disediakan tidak mendatangkan musibah kepada orang ramai. Menurutnya, kejadian jambatan Tok Guru runtuh akibat arus deras di Kampung Kuau dekat sini, memang memberi kesulitan kepada sebilangan besar penduduk kampung Pangkalan Baru, Kampung Keluat dan Kampung Paya Teratai. "Jambatan itu dibina oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan ianya dinamakan Jambatan Tok Guru. Saya bersimpati dengan kesulitan yang dialami penduduk terbabit termasuk pelajar sekolah yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpaksa menggunakan laluan jauh," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Wacana Ilmu dan Mesyuarat Agung Majlis Pemuafakatan Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Bachok di Pusat Kokurikulum Tangok, dekat sini hari ini. Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Bachok, Saupi Majid bersama 500 guru KAFA seluruh daerah ini. Awang Adek berkata, UMNO bahagian mengambil sikap lebih berhati-hati untuk membuat sebarang keputusan membina semula jambatan berkenaan bagi memberi peluang kepada kerajaan negeri mengatasi masalah tersebut. "Dulu Kerajaan Pusat berusaha untuk membina jambatan yang lebih selesa di Pengkalan Cina tidak jauh dari tiga kampung terbabit, namun tidak dibenarkan oleh kerajaan negeri yang turut bercadang melaksanakan projek berkenaan. Kini yang ada di situ hanyalah cerucuk dan tiang simen yang tercacak di situ," katanya. Beliau berkata, segala kemudahan infrastruktur yang diperlukan mampu dilaksanakan oleh kerajaan Pusat dan seharus menyedarkan rakyat untuk memilih kepimpinan yang berwibawa menerajui pentadbiran negeri pada pilihan raya umum akan datang. "Kita sentiasa menawarkan perkhidmatan kepada rakyat bukan sahaja melibatkan keperluan infrastruktur dan pembangunan tetapi mencakupi soal kebajikan dan pembelaan di peringkat akar umbi," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan