Isnin, 28 November 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Najib bidas pihak cuba kelirukan orang ramai

Posted: 28 Nov 2011 02:53 PM PST

Nasional

NAJIB bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berbual dengan delegasi  Forum Antarabangsa Transformasi Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

NAJIB bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berbual dengan delegasi Forum Antarabangsa Transformasi Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Fitnah Akta Perhimpunan Aman 2011 kejam tak berasas

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak membidas mereka yang sengaja cuba mengelirukan orang ramai mengenai Akta Perhimpunan Aman 2011 dengan mendakwa ia zalim, padahal ia menjamin hak setiap warga negara Malaysia untuk berhimpun secara aman.

Perdana Menteri menjelaskan mengikut undang-undang baru itu, rakyat berhak mengadakan perhimpunan di kawasan yang ditetapkan pada bila-bila masa dan polis tiada hak menghalangnya, berbanding undang-undang lama.

Lagipun, katanya, akta baru itu berpandukan kepada norma antarabangsa kerana kerajaan sudah mengkaji 12 akta lain yang diamalkan beberapa negara di seluruh dunia. "Dalam akta baru ini, hak rakyat untuk berhimpun dengan aman terjamin, itu yang penting. Tohmahan dilemparkan bahawa akta ini (baru) lebih kejam daripada undang-undang tentera Myanmar adalah tidak berasas sama sekali.

"Saya nak jelaskan sebab terlalu banyak tafsiran yang tidak betul atau sengaja dibuat untuk mengelirukan. Akta Perhimpunan Aman yang dicadangkan terbahagi kepada dua kategori. Bagi kawasan yang dibenarkan seperti stadium atau kawasan lapang, mereka cuma perlu maklum kepada polis dan polis hanya menjadi pengawal selia.

"Hakikatnya, rang undang-undang ini memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengadakan perhimpunan dengan hanya notis 24 jam bagi kawasan dibenarkan, dan notis 10 hari untuk di kawasan yang tidak dikhususkan supaya polis boleh mengadakan rundingan dengan komuniti sekitar kawasan dicadangkan perhimpunan, untuk mendapatkan pandangan mereka," katanya.

Najib berkata demikian selepas merasmikan Forum Antarabangsa Transformasi Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.
Presiden UMNO turut menyelar pembangkang kerana membuat tafsiran yang tidak betul terhadap rang undang-undang itu, terutama berhubung notis 30 hari yang perlu dikemukakan penganjur sekiranya ingin mengadakan perhimpunan.

"Sebenarnya, perkataan digunakan adalah dalam tempoh 30 hari... ia boleh jadi lima atau 10 hari, tetapi kerana perkataan itu menimbulkan banyak kekeliruan, kami memutuskan untuk lebih khusus dengan menetapkan 10 hari, maka tidak timbul lagi kekeliruan.

"Ini bererti akta ini adalah satu perubahan besar daripada keadaan sedia ada di mana polis ketika ini mempunyai budi bicara sama ada mahu membenarkan atau tidak membenarkannya," katanya.

Ditanya kawasan mana yang boleh dibenarkan diadakan perhimpunan, Najib berkata, kerajaan akan menetapkan tempat berkenaan, misalnya di stadium atau kawasan lapang, manakala kawasan yang tidak boleh diadakan perhimpunan adalah seperti di hospital.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk meminda rang undang-undang yang akan dibahaskan di Parlimen hari ini bagi membenarkan demonstrasi jalanan.

"Demonstrasi jalanan tak ada. Apa guna kita ganggu dan menjejaskan ketenteraman. Apa yang penting adalah untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat kita dan ia boleh dilakukan menerusi perhimpunan secara aman," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Najib di landasan tepat capai negara maju

Posted: 28 Nov 2011 02:51 PM PST

Nasional

Dr M kagum cara kerajaan penuhi kehendak rakyat, laksana transformasi

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak berada di landasan tepat untuk membawa Malaysia ke arah negara maju menjelang 2020.

Katanya, kerajaan Najib juga bersedia mendengar pandangan rakyat dan mengambil tindakan segera ke atas semua kehendak dan masalah berbanding ketika beliau menjadi perdana menteri.

Beliau juga mengakui Najib berdepan cabaran besar berbanding dirinya, kerana Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai majoriti dua pertiga selain perubahan landskap politik tempatan serta faktor krisis global yang bersifat 'merebak' baik dalam bentuk fizikal atau persepsi. "Beliau (Najib) mencuba sedaya upaya. Saya tidak boleh cakap sama ada beliau berjaya membangunkan Malaysia menjadi negara maju (menjelang 2020) tapi ramai pihak mengakui Malaysia sudah muncul sebagai negara maju," katanya pada sidang media selepas majlis makan tengah hari Forum Antarabangsa Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Bekas Presiden UMNO itu yang meraikan delegasi asing dari 25 negara yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2011 bermula hari ini, turut ditanya mengenai pandangannya prestasi Najib dalam mengemudi Malaysia ke arah negara maju.

Mengenai kesediaan kerajaan meminda beberapa peruntukan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan di Parlimen, Dr Mahathir berkata, langkah itu membuktikan kerajaan mendengar rintihan rakyat.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu tidak berasakan kebangkitan Arab yang melanda Asia Barat ketika ini, akan merebak ke negara ini kerana kerajaan tidak bersikap autoritatif seperti rejim ditumbangkan revolusi rakyat di beberapa negara rantau itu.
Katanya, berbanding Mesir yang kadar kemiskinannya tinggi, di negara ini kadar itu berjaya diturunkan daripada 70 peratus ketika negara merdeka kepada sekitar lima peratus dengan kadar kemiskinan tegar cuma sekitar satu peratus.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Dr Mahathir berkata semua pihak perlu menerima hakikat krisis global bersifat merebak dan Malaysia tidak terkecuali dari merasai kesannya.

"Kita perlu menerima hakikat yang kita tidak boleh mengasingkan diri daripada apa yang berlaku di negara lain kerana ia akan memberikan kesan kepada kita," katanya merujuk kepada beberapa krisis global, termasuk kebangkitan rakyat di negara Arab.

Dr Mahathir memberi contoh bagaimana krisis kewangan di Amerika Syarikat dan zon Euro memberikan impak negatif kepada rantau itu termasuk Malaysia ter-utama dalam aspek dagangan.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan