Utusan Online - Kota |
- Ratapan 10 keluarga Kg. Tengah
- Ismail Kamus Tokoh Maal Hijrah Selangor
- Beri maklumat jika ada yang sewakan PPR kepada warga asing
Ratapan 10 keluarga Kg. Tengah Posted: Ratapan 10 keluarga Kg. TengahOleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB PENDUDUK Kampung Tengah di Gombak berhimpun pada Sabtu lalu bagi membantah tindakan sebuah syarikat pemaju yang mahu mengusir dan merobohkan rumah mereka pada Selasa ini. - utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin GOMBAK 27 Nov. - Apabila melihat seorang warga emas, Zuriah Syukur, 85, termenung di hadapan rumahnya di Jalan Kampung Tengah 2, Batu 6 di sini semalam, sudah dapat dibaca apa yang tersirat di fikirannya. Dia sedang memikirkan nasib dan masa depannya apabila rumah yang didudukinya selama ini dirobohkan Selasa ini. Selain Zuriah, sembilan keluarga lagi di kampung itu akan turut menerima nasib yang sama. Ke mana mereka selepas Selasa ini masih tidak diketahui. Ini kerana pemaju berkenaan dikatakan tidak menyediakan rumah lain sebagai ganti dan tidak memberi sebarang pampasan. Memang penduduk yang rata-ratanya sudah menetap lebih 30 tahun di situ telah diberi beberapa notis sebelum ini tetapi persoalannya ialah mereka tidak diberikan pampasan atau rumah ganti. Sebelum ini, penduduk berkenaan menetap di sebuah kampung berhampiran dan apabila pemaju mahu membina jalan ke Taman Harmonis, mereka terpaksa dipindahkan. Itu tidak menjadi masalah kepada mereka kerana pemaju itu membina rumah ganti secara percuma kepada 10 keluarga tersebut. Namun, selepas 30 tahun, tanah itu telah berpindah milik menjadi hak sebuah syarikat pemaju lain dan tanpa belas ehsan, pemaju itu dengan sewenang-wenangnya mengusir mereka. Penduduk kini sangat tertekan memandangkan mereka tidak tahu ke mana mereka akan pergi apabila rumah mereka dirobohkan pada Selasa ini. Penduduk juga telah berkumpul untuk membantah cadangan merobohkan rumah mereka pada Selasa ini dan berharap pihak berkuasa akan campur tangan bagi membantu mereka. Dapat disaksikan raut wajah kesedihan penduduk di situ terutamanya warga emas yang sudah tiga dekad tinggal di situ. Mereka juga sebenarnya mahu bersama-sama penduduk yang lain membantah cadangan merobohkan rumah mereka tetapi dengan kudrat yang semakin lemah, mereka hanya mampu duduk di kerusi di depan rumah masing-masing sambil melihat bantahan yang dilakukan itu. Full content generated by Get Full RSS. |
Ismail Kamus Tokoh Maal Hijrah Selangor Posted: Ismail Kamus Tokoh Maal Hijrah SelangorSHAH ALAM 27 Nov. - Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2011 Peringkat Negeri Selangor. Beliau yang kini berusia 63 tahun dipilih menerima anugerah itu ekoran sumbangannya dalam menyebarkan syiar Islam di negeri ini. Anugerah berkenaan disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah yang mewakili kekandanya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Ismail berkata, beliau bersyukur kerana dipilih untuk menerima anugerah tersebut. "Saya bersyukur kepada Allah kerana dipilih untuk menerima anugerah ini dan untuk itu saya ucapkan terima kasih kepada pihak yang memilih saya untuk menerima anugerah ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 2011 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini. Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mufti Negeri, Datuk Tamyes Abdul Wahid. Dalam pada itu, Ismail turut memberitahu kepada pemberita mengenai keadaan kesihatannya yang kini semakin beransur pulih. "Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya kini semakin pulih dan saya sudah kembali berceramah seperti dulu cuma kini saya tidak lagi mampu berdiri lama," ujarnya. Sementara itu, seorang pengusaha restoran makanan Cina Muslim, Muhammad Chan Abdullah tidak menyangka dia dipilih untuk menerima Tokoh Saudara Kita 2011 memandangkan beliau baru empat tahun memeluk agama Islam. "Selepas menerima surat daripada JAIS yang mengatakan saya dipilih untuk menerima anugerah ini, saya seakan tidak percaya kerana saya hanya memeluk Islam pada 2007. "Bagaimanapun saya bersyukur kepada Allah kerana dipilih sebagai penerima anugerah ini," katanya yang mendapat hidayah untuk memeluk Islam kerana berasa syahdu setiap kali mendengar azan berkumandang. Dalam majlis sama, bekas guru agama, Said Husin menerima anugerah Tokoh Keluarga Mithali 2011 manakala Tokoh Aktivis Masyarakat 2011 diterima oleh Timbalan Presiden Yayasan Amal, Jamaluddin Elias dan Persatuan Institusi al-Quran Negeri Selangor pula menerima Anugerah Pertubuhan Dakwah Sukarela 2011. Full content generated by Get Full RSS. |
Beri maklumat jika ada yang sewakan PPR kepada warga asing Posted: Beri maklumat jika ada yang sewakan PPR kepada warga asingKUALA LUMPUR 27 Nov. - Persatuan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) diminta menyalurkan maklumat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jika terdapat pemilik rumah yang menyewakan unit mereka kepada warga asing. Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ini bagi membolehkan DBKL mengambil tindakan yang segera dan tegas terhadap pemilik terbabit. Menurutnya, kerjasama itu amat diperlukan bagi mengelakkan berlaku lambakan warga asing di kawasan PPR yang dibina khusus untuk warga kota yang miskin dan kurang berkemampuan. "Selain itu, menyewakan rumah PPR kepada warga asing adalah satu kesalahan kerana walaupun DBKL membenarkan unit disewakan tetapi tidak kepada warga asing. "Pemilik rumah hanya diberikan kelonggaran untuk menyewa rumah mereka kepada warga tempatan sahaja," katanya selepas menyampaikan sumbangan hasil Kejohanan Golf Amal Yayasan Wilayah Persekutuan 2011 di sini semalam. Sebanyak RM120,000 disalurkan kepada tujuh persatuan yang mewakili komuniti orang kurang upaya (OKU) dan juga kelas-kelas pendidikan khas di Wilayah Persekutuan. Turut menerima sumbangan ialah lima murid OKU yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan seorang atlet paralimpik yang mengharumkan nama Wilayah Persekutuan. Turut hadir, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Idris Mohd. Isa. Raja Nong Chik bagaimanapun mengingatkan persatuan penduduk supaya memberikan maklumat yang tepat tentang perkara itu bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya. Sementara itu, Salleh berkata, DBKL telah bertindak menyita dan menyenarai hitam pemilik rumah yang didapati bersalah menyewa unit rumah kepada warga asing. "Tindakan itu dilakukan berdasarkan aduan dari penduduk dan pemantauan yang dilakukan oleh pegawai DBKL," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan