Sabtu, 26 November 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Tingkat pantauan

Posted: 25 Nov 2011 04:01 PM PST

PUTRAJAYA: Unit Khas Pas Pelajar yang ditubuhkan Oktober lalu mengenal pasti beberapa tindakan dan inisiatif yang akan diambil bagi menangani isu pelajar antarabangsa di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam, berkata inisiatif berkenaan termasuk menubuhkan satu Kumpulan Kerja Pemantauan Pelajar Antarabangsa (KKPPA) yang dikendalikan kementerian untuk memantau isu berkenaan. "KKPPA ini bersidang setiap bulan untuk membincangkan status dan isu pelajar antarabangsa, mengenal pasti tindakan penambahbaikan dan penyelesaian isu berbangkit serta menggariskan tindakan bagi mengawal serta membendung penyalahgunaan pas oleh pelajar antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini.


Unit khas itu dianggotai KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Mahmood berkata, inisiatif lain termasuk mengumpul statistik dan laporan berkaitan pelajar antarabangsa seperti jumlah pelajar antarabangsa yang diluluskan, jumlah institusi yang terbabit dan jenis kursus serta jangka masa.

"Selain itu, unit berkenaan mengumpul statistik jumlah pelajar yang terbabit kegiatan negatif seperti bilangan tangkapan, tindakan undang-undang yang dikenakan dan mereka yang disabitkan kesalahan serta jumlah pelajar yang disenaraihitamkan.


"Malah, unit itu juga akan mengendalikan lawatan naziran secara bersepadu dan berkala membabitkan JIM, PDRM, KPT, JPK dan KDN bagi memastikan setiap institusi mematuhi semua akta dan peraturan berkaitan serta tidak menyalahgunakan kelulusan pengambilan pelajar antarabangsa," katanya.


Beliau berkata, ia juga akan menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) antara agensi dan kementerian bagi memastikan tiada pertindihan bidang tugas dan memastikan kerjasama di antara agensi dilaksanakan lebih berkesan. Pada masa sama, unit juga akan mengintegrasikan sistem yang diguna pakai agensi kawal selia iaitu KPT, KPM dan JPK dengan sistem yang diguna pakai JIM.

Berikutan itu, Mahmood berkata, kerjasama pihak yang memproses dan memperaku permohonan dengan pihak yang memberi kelulusan dimantapkan lagi bagi memastikan hanya permohonan yang layak diperaku dan diluluskan.

Full content generated by Get Full RSS.

Helah diculik along

Posted: 25 Nov 2011 04:01 PM PST

GOMBAK: Tindakan seorang lelaki berusia 30-an yang cuba memeras ugut isterinya sendiri dengan mengatakan dia diculik dan didera sekumpulan along mengundang padah apabila dicekup pihak berkuasa yang melakukan siasatan kes berkenaan, ketika 'bersembunyi' di sebuah rumah di selatan tanah air, kelmarin.

Lelaki terbabit dilaporkan menghubungi isterinya memaklumkan kumpulan along meminta wang tebusan RM200,000 atau dia dibunuh.


Bimbang dengan ancaman berkenaan, isterinya yang berusia 31 tahun membuat laporan di Balai Polis Desa Jaya, di sini, Rabu lalu.

Tembelang suspek yang pernah dibantu Biro Pengaduan Awam MCA tahun lalu bagi menyelesaikan masalahnya dengan along terbongkar selepas satu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, menahannya jam 12 tengah malam, kelmarin.


Menurut sumber, suspek yang baru seminggu bekerja di kedai makan milik abang iparnya menghilangkan diri jam 2.30 petang pada hari kejadian, malah tidak pulang ke rumahnya di Aman Puri, Desa Jaya.


"Isterinya yang bimbang dengan keselamatan suaminya itu yang belum pulang ke rumah cuba menghubunginya beberapa kali, namun gagal.

"Bagaimanapun, jam 1 pagi, isteri suspek menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit suaminya kononnya dihantar geng along yang memberitahu suaminya berada bersama mereka, malah meminta membayar wang tebusan RM200,000 sebagai syarat membebaskan suaminya," katanya.


Sumber berkata, isteri suspek yang terkejut dengan ugutan itu terus menghubungi ahli keluarga bagi meminta bantuan menyelamatkan suaminya yang kononnya diculik.

"Malah, ketika perbincangan dengan ahli keluarga, isteri suspek menerima satu lagi SMS memberitahu suaminya diseksa.


"Wanita terbabit yang percaya dengan ugutan itu, cuba menghubungi semula suspek beberapa kali, namun gagal menyebabkannya buntu kerana sebelum ini suaminya pernah berhutang dengan along RM90,000," katanya.


Sumber berkata, mangsa dan keluarganya akhirnya sepakat melaporkan kejadian itu kepada polis.


"Polis yang menerima laporan itu terus melakukan siasatan termasuk memeriksa kandungan SMS berkenaan. Usaha pantas polis akhirnya mengesan suspek yangbersembunyi di sebuah rumah di selatan tanah air sebelum menahannya," katanya.


Katanya, suspek yang terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa hanya mampu terdiam dan mengaku 'berlakon' diculik bagi mendapatkan wang daripada isterinya untuk melangsaikan hutangnya along.


"Pada September lalu, isterinya dan keluarga melangsaikan hutangnya kepada 20 along bernilai RM90,000 hasil bantuan Pemuda MCA yang menjadi orang tengah menyelesaikan kes berkenaan," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi, mengesahkan penahanan lelaki terbabit yang cuba memeras ugut isterinya sendiri.


Katanya, lelaki terbabit direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (KK).

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan