Utusan Online - Rencana |
Posted: Bersatu hadapi pilihan rayaDATUK SERI NAJIB TUN RAZAK SELASA ini, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan menemukan ahli-ahli UMNO yang mewakili sayap parti iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri sebagai pembuka tirai Perhimpunan Agung UMNO 2011 pada Khamis. Sebagai parti yang menjadi tunggak Barisan Nasional, perhimpunan UMNO kali ini tentunya menjadi tumpuan dan dikatakan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Paling penting ucapan dasar Presiden, DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK yang tentunya bakal membawa hala tuju UMNO seterusnya. Berikut adalah wawancara khas BERNAMA dengan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2011. BERNAMA: Apakah intipati amanat Datuk Seri kepada anggota parti berlatarbelakangkan transformasi politik yang Datuk Seri cadangkan baru-baru ini? NAJIB : Sebagai sebuah parti, bila menjelang tiba cabaran yang sangat besar, yakni, pilihan raya umum maka parti mesti berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang sepenuhnya. Kesiapsiagaan yang saya maksudkan ini ialah secara menyeluruh dan komprehensif sama ada dari segi latihan, keilmuan, logistik mahupun dari segi mindset kita, iaitu kerangka minda kita, untuk memberi tumpuan kepada sebarang usaha yang boleh mengukuhkan parti kita, dan sebaliknya untuk mengelak daripada melakukan sebarang perbuatan yang boleh melemahkan parti. Jadi pendekatan kita mesti menyediakan barisan yang ampuh, kita mesti rapatkan barisan kita dan kita mesti menampilkan kekuatan yang boleh digeruni pihak lawan. Adakah siap siaga boleh dianggap sebagai menyediakan parti untuk berada dalam keadaan war footing atau rentak perang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13? NAJIB: Yalah, kalau kita gunakan analogi perang, maknanya sebelum tembakan pertama di letupkan maka sebarang angkatan tentera kena melalui proses latihan dan persediaan dari segi strategi dan persediaan dari segi logistik, kelengkapan. Semuanya ini mesti kita lakukan dalam keadaan yang sebaik-baiknya untuk mencapai kemenangan yang kita harapkan. Tidak kurang penting juga ialah nilai-nilai asas kita dalam menentukan kita boleh menang dalam sebarang peperangan iaitu nilai-nilai seperti ketaatan dan kesetiaan, disiplin, kesungguhan membuat kerja, semangat berpasukan. Semua ini, nilai-nilai asas yang kita mesti hayati dan kita tidak boleh kompromi dalam hal ini. Kalau tidak parti kita boleh kecundang dalam kawasan yang berkenaan. Kalau boleh saya gunakan analogi Harimau Muda yang tetap tabah walaupun berdepan penyokong Indonesia dan cabaran sengit (pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA di Jakarta minggu lepas)? NAJIB: Kita kalau ada kekuatan mental dan kita ada jiwa yang kental, kita boleh berdepan dengan persekitaran yang sangat mencabar walaupun pihak musuh membuat apa jua tekanan terhadap kita termasuk tekanan psikologi dan emosi. Tetapi kalau kita kental dari segi kekuatan minda, dan semangat kita pun kukuh, maka sudah terbukti seperti analogi Harimau Muda itu, kita boleh mengatasi keadaan yang sangat berat menekan kita, mencengkam kita, walaupun gelanggang tidak sama rata seperti di Jakarta, tapi pasukan kita akhirnya berjaya juga. Adakah Datuk Seri yakin bahawa Harimau Muda UMNO pun juga kental menghadapi cabaran terutama berdepan peningkatan pengundi muda dalam pilihan raya umum akan datang? NAJIB: Sudah terbukti dalam pilihan raya kecil sejak dua tahun yang lalu, setiap kali kita menang pilihan raya kecil sejak Bagan Pinang kita dapati pengundi-pengundi saluran orang muda, biasanya kita lihat majoriti menyokong . Bererti bahawa sudah terbukti tidak semestinya orang muda bersikap anti-establishment (anti kerajaan) dan tidak menyokong parti kerajaan iaitu parti Barisan Nasional. Mereka akan menilai, siapakah yang lebih memahami kehendak dan naluri mereka sebagai orang muda. Pada pandangan Datuk Seri, adakah Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO telah mencapai matlamatnya untuk mendapatkan sokongan pengundi muda, yang merupakan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-13? NAJIB: Kita dapati bahawa usaha ini mesti merupakan usaha yang secara bersepadu walaupun Pemuda dan Puteri mewakili generasi muda, tetapi mereka juga memerlukan keprihatinan daripada kerajaan dan pucuk pimpinan untuk mereka merealisasikan apa-apa tuntutan yang mereka lakukan bagi pihak orang muda atau generasi muda. Umpamanya, bila kita buat projek Perumahan 1Malaysia (PRIMA), kita telah memansuhkan bayaran pendahuluan 10 peratus, dan kita hendak menjual rumah pada harga yang amat berpatutan dengan 100 peratus pinjaman. Ini merupakan satu yang berbangkit dalam makmal Pemuda BN (Barisan Nasional) yang telah mencadangkan kepada kerajaan tetapi Pemuda sendiri tidak boleh menterjemahkan ini dalam bentuk sesuatu dasar atau pun program. Ini memerlukan pertimbangan daripada kerajaan, dan kerajaan hari ini merupakan kerajaan yang amat peka dan amat prihatin kepada kehendak dan tuntutan generasi muda. Saya sendiri terlibat dengan pelbagai program secara langsung secara khusus dengan generasi muda. Jadi, maknanya walaupun saya bukan orang muda... walaupun saya rasa saya muda (ketawa), tetapi maknanya kita mesti melakukan pendekatan dengan generasi muda seperti mana juga dengan wanita, seperti mana juga dengan golongan warga emas, kelas pertengahan dan pelbagai lagi kelompok dalam masyarakat. Datuk Seri mahu anggota UMNO supaya mengelak melakukan kesilapan sehingga boleh melemahkan parti. Kenapa Datuk Seri membuat peringatan ini? NAJIB: Kita pun boleh merumuskan apakah perkara-perkara yang boleh merugikan kita. Semua orang UMNO tahu apakah perkara-perkara ini tapi tahu sahaja tidak bererti bahawa perkara itu terhapus sama sekali. Kita mesti memperlihatkan iltizam kita untuk melakukan sedikit pengorbanan dan tidak membiarkan perasaan atau perhitungan peribadi kita mengatasi pertimbangan yang lebih besar iaitu kepentingan parti. Ini satu daripada prinsip kita berparti. Orang yang menganggotai parti itu ramai tapi orang yang berparti, yang tahu tentang semangat parti, tahu tentang matlamat dan kepentingan parti, itu yang mesti kita tanam di kalangan 3.4 juta ahli UMNO. Datuk Seri mahu anggota UMNO berada dalam kesiapsiagaan seperti mengadakan latihan dan sebagainya. Adakah disebabkan itu, perhimpunan UMNO kali ini berbeza kerana ia dimulakan dengan forum dan persidangan antarabangsa sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula? NAJIB: Forum (Wasatiyyah) itu tidak dikhususkan (untuk perhimpunan UMNO), sebaliknya forum itu merupakan satu wahana untuk kita memprojekkan nilai keintelektualan UMNO, dan juga peranan UMNO dalam konteks antarabangsa supaya dunia memahami akan apakah matlamat perjuangan UMNO, dan khususnya atas apa yang didokong oleh UMNO hari ini seperti pelan transformasi nasional yang kita sedang perjuangkan dan sebagainya. Sejak Datuk Seri memimpin tampuk parti dua setengah tahun lepas, Datuk Seri telah banyak membawa transformasi. Sejauh mana proses transformasi itu telah dilaksanakan oleh anggota parti? NAJIB: Ada perubahan, tapi saya anggap ini sebagai satu pelayaran sebenarnya. Sebab hendak ubah manusia, ia satu cabaran yang cukup besar sebab pada akhirnya dia bukan perubahan daripada segi perlembagaan (parti) sahaja, perubahan daripada segi struktur dan perubahan daripada segi cara melakukan pemilihan dalam parti. Tapi kesudahannya, ia bergantung kepada sikap dan nilai masyarakat kita, itu yang paling mencabar sekali. Datuk Seri ada cakap pasal pengorbanan dan juga calon boleh menang. Jadi setiap kali pilihan raya ini adalah isu yang timbul bagi mereka yang memegang jawatan dan sebagainya. Bagaimana Datuk Seri tangani isu "cantas-mencantas" calon BN pada pilihan raya umum yang akan datang ini? NAJIB: Kita rumuskan apa winnable candidate itu supaya setiap kerusi yang kita bertanding, kita cuba tampilkan calon yang ada peluang terbaik untuk menang. Tapi winnable candidate kita ini bukan sahaja kita lihat daripada segi kebolehan dan rekod kerja yang baik, tetapi juga penerimaan daripada sudut masyarakat tempatan termasuk jentera parti. Kalau jentera parti menolak, seorang yang ada kebolehan pada akhirnya dia tidak akan berjaya. Sebaliknya, kalau kita sebagai anggota parti tidak ada sikap yang terbuka dan tekankan orang itu mesti merupakan calon kerana berdasarkan hierarki, tetapi calon kita itu tidak mungkin berjaya, apa yang berlaku ialah calon kita akan gagal. Jadi winnable candidate ini mesti difahami. Kita mesti yakinkan kepada jentera (pilihan raya parti) untuk menerima siapa yang kita tonjolkan, kalau tidak sukar hendak mencapai kejayaan. Sebaliknya, kalau winnable candidate itu yang ditampilkan oleh kelompok dalam sesuatu bahagian, tanpa mengambil kira kehendak pengundi teramai, calon itu pun tidak akan berjaya. Pada pilihan raya umum lepas, ada dakwaan kata penilaian terhadap calon tidak begitu kemas dan teratur. Kali ini Datuk Seri sering mengatakan winnable candidate, bolehkah Datuk Seri berkongsi bagaimana pucuk pimpinan melakukan identifikasi mengenai winnable candidate ini? NAJIB: Kita sekarang belum lagi muktamad (mengenai calon). Kita mesti membuat penilaian secara objektif, bukan sahaja subjektif. Ini yang paling penting sekali. Calon yang dipilih bukanlah orang yang kita sukai secara peribadi, tetapi orang yang boleh diterima sebahagian besar pengundi dalam kawasan berkenaan. Itulah yang mesti kita lakukan. Soal menentukan calon ini adalah satu soal yang sangat mencabar dan sukar dilakukan. Mustahil kita dapat memberi kepuasan kepada semua orang . Mengikut pengalaman saya selama 35 tahun dalam politik, tidak pernah berlaku dalam pilihan raya (membuat keputusan mengenai calon yang memuaskan semua pihak). Tetapi apa pun keputusan yang dibuat parti, pada kesudahannya kita kena terimalah sebagai orang berparti keputusan parti, walaupun tidak mengikut selera atau kehendak kita. Dan saya telah mengalami banyak peristiwa di mana saya lihat orang yang setia kepada parti, walaupun keputusan yang dibuat parti tidak disenangi, tetapi dia terima. Tapi jika diterima keputusan itu calon itu akan menang, tetapi sebaliknya kalau dia terus menentang dia hendak kata apa hendak jadi jadilah, aku nak menentang. Jadi maknanya dia tidak setia pada parti, dan calon itu kalah dan maknanya parti akan kalah. Dia patut sedar bila parti kalah makna kita akan kehilangan kuasa. Sepatutnya apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 2008 di mana kita (BN) tewas lima buah negeri adalah satu pengajaran yang seharusnya tidak dilupai oleh kita. Dan akibat daripada punca kekalahan itu mesti kita sedar. Saya tidak menafikan kadang-kadang kita tidak dapat memuaskan hati semua penyokong kita di peringkat bahagian, sebab itu saya kata sejak awal lagi mustahil kita memberi kepuasan 100 peratus kepada ahli dalam satu bahagian sebab di peringkat bahagian, mereka pun tidak sependapat. Apa yang harus ada ialah disiplin parti dan kesetiaan kepada parti. Maknanya bila sampai pada masanya keputusan itu (pemilihan calon) diterima, disokong dan terus dipertahankan oleh setiap ahli parti. Full content generated by Get Full RSS. |
Agenda bumiputera dan serangan peribadi Posted: Agenda bumiputera dan serangan peribadiORANG Melayu, terutama di bandar kini tidak lagi melihat UMNO sebagai parti yang mampu mempertahankan dan mempertingkatkan kepentingan mereka di negara ini. Apakah pandangan Datuk Seri mengenai perkembangan ini? NAJIB: (Sikap) Ini disebabkan teori (Hierarchy of Needs Abraham Maslow) Maslow. Sebab kita (kerajaan BN) sudah berjaya menyelesaikan keperluan asas rakyat iaitu tuntutan asas mereka seperti perumahan, bekalan elektrik, air, jalan, sekolah dan pekerjaan. Semua sudah kita sediakan. Adanya mobiliti sosial, berlakunya ledakan maklumat, revolusi ICT, dan sebagainya sebab kita telah memodenkan negara kita. Ini bererti bahawa sebahagian besar daripada rakyat Malaysia sudah melalui proses actualisation (realisasi). Jadi mereka sudah melepasi garis tuntutan minimum (hierarki keperluan). Jadi mereka mempunyai banyak ruang untuk melahirkan pelbagai pendapat. Kepelbagaian pendapat itu adalah satu tanda masyarakat yang semakin sofistikated dan matang. Kita lihat dalam demokrasi maju misalnya, terdapat pelbagai pendapat dan spektrum politik yang wujud dalam negara tersebut. Saya anggap Malaysia ini tidak berlainan dari negara lain dalam perjalanan kita kepada sebuah negara maju. Kita akan lihat perbezaan pendapat sebagai satu kelaziman. Tetapi hakikatnya orang mesti sedar bahawa kejayaan selama ini adalah hasil perjuangan UMNO, bukan orang lain. Saya bukan kata bahawa mereka wajib berasa terhutang budi kepada kita sebab ramai yang tidak senang hati jika saya cakap sedemikian. Apa yang saya hendak kata bahawa selain daripada rekod kerja yang baik dan jasa kita yang tidak ternilai ialah perancangan kita untuk masa depan. Apa yang boleh kita janjikan bukan sahaja pada ahli UMNO tapi rakyat Malaysia adalah jaminan bahawa kita, seperti dulu, mampu melaksanakan dan tunaikan janji kita kepada rakyat. Baru-baru ini ada pihak yang mendakwa bahawa kerajaan atau UMNO tidak melakukan secukupnya sehingga kaum Melayu masih dipinggirkan. Apa pendapat Datuk Seri? NAJIB: Itu tidak benar. Walaupun kita dengan slogan 1Malaysia tetapi kita tidak pernah kata bahawa agenda Bumiputera itu kita sudah tiadakan. Malah ia masih lagi merupakan agenda utama (UMNO) dan sebahagian agenda nasional kita. Apa yang kita lakukan terhadap kaum-kaum lain ialah untuk melakukan apa yang perlu sebagai kerajaan yang adil dan yang berdiri atas tunggak keadilan sosial. Umpamanya apabila kita kata kita hendak menolong orang miskin, sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dulu pun, kita cakap tentang penghapusan kemiskinan tanpa mengira kaum. Itu janji kita pada tahun 70-an. Hari ini pun kita masih menolong orang miskin di kalangan bukan Bumiputera atau berpendapatan rendah. Kita tidak pernah lari daripada janji yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Jadi kita jangan terkeliru atau salah faham, agenda Bumiputera kita tetap teruskan. Pagi ini pun saya telah melancarkan hala tuju baru untuk Bumiputera, iaitu Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), yang merupakan satu road map di mana beberapa inisiatif baru telah kita umumkan. Bererti kita tidak pernah ketepikan atau mencairkan perjuangan kita untuk kaum Bumiputera. Mengenai usaha transformasi negara untuk menjadi negara maju, sejauh manakah pada pandangan Datuk Seri, orang Melayu bersedia menghadapi perubahan drastik, baik daripada segi ekonomi, politik dan sebagainya. Adakah mereka sudah bersedia? NAJIB: Orang Melayu Bumiputera harus bersedia, tingkatkan kesediaan dan kemampuan kita untuk menghadapi dunia yang berubah pantas, sebab kalau kita tidak berubah, tetapi dunia berubah, apa akan berlaku? Kesannya kita ini akan terus terpinggir. Apakah itu kehendak kita? Sudah tentu tidak. Jadi kalau tidak, maknanya kerajaan menyediakan pelan transformasi supaya kalau kita berubah berdasarkan kepada pelan ini, maka kita tidak akan ketinggalan sebaliknya kita akan menjadi bangsa yang maju. Datuk Seri, dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk mengangkat agenda Bumiputera, bagaimanakah kaum Melayu menjadi lebih yakin (kepada UMNO). NAJIB: Yakin hakikatnya tidak ada alternatif berdaya maju kepada UMNO sebenarnya dari segi kepentingan Melayu dan Bumiputera. Sebab, kita lihat pergantungan kepada orang lain tidak beri kita keyakinan bahawa mereka boleh dan mampu melaksana apa yang dituntut orang Melayu dan masyarakat. Datuk Seri katakan tadi rakyat Malaysia sudah semakin matang, termasuk dalam pertimbangan politik dan berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum 2008. Apakah langkah yang diambil oleh Datuk Seri untuk memastikan kedudukan Umno dan BN akan terus kekal sebagai peneraju kerajaan? NAJIB: Apa yang kita telah buat selama dua tahun setengah ini ialah usaha untuk menyakinkan rakyat bahawa kita ini mendengar kehendak rakyat. Ini yang saya kata sejak awal bahawa era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir, dan kita mesti merasai denyut dan nadi rakyat. Jadi berdasarkan itu, kita buat GTP (Program Transformasi Kerajaan), ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan Program Transformasi Luar Bandar. Kita teruskan agenda Bumiputera dengan strategi dan pendekatan baru. Jadi semua ini berdasarkan kepada apa yang kita buat iaitu menilai dan mendengar kehendak rakyat. Tetapi parti juga mesti melakukan perubahan dan pembaharuan di peringkat masing-masing. Peringkat bahagian dan cawangan mesti mencerminkan satu budaya politik yang baru, iaitu kita tidak terlalu dibuai dengan urusan intra politik tetapi mesti sanggup melihat pada masyarakat luaran parti supaya mereka juga mendukung parti. Kalau zaman 70-an dan 80-an, memadai bagi kita untuk menjaga urusan parti sahaja sebab orang secara automatik akan sokong UMNO dan BN, dia tidak persoalkan. Tetapi di zaman ini, kalau kita hendak dia sokong kita, dia akan tanya apa yang telah kita lakukan untuk dia, apa engagement kita dengan dia. Itu tidak berlaku pada zaman-zaman dahulu, itu yang saya kata zaman sudah berubah. Kalau kita masih lagi dalam ruang lingkup pemikiran lama kita akan terkecundang seperti mana nasib berlaku pada parti-parti tua yang lain seperti LDP (Parti Liberal Demokratik di Jepun), Golkar (Indonesia) dan Congress (Indian National Congress) suatu ketika dahulu. Parti-parti ini yang berjuang untuk kemerdekaan, telah banyak berjasa. Tetapi kalau kita tidak melakukan perubahan dan kita tidak sedar bahawa landskap politik sudah berubah, rakyat boleh menolak kita. Ini yang saya hendak katakan sebab itu mesti timbul satu kesedaran dalam diri kita bahawa tidak ada kekebalan dalam politik. Politik terdedah kepada kedinamikannya tersendiri. Sebagai anggota parti, kita mesti menghayati perubahan landskap ini dan berani untuk membuat perubahan. Sejak Pilihan Raya Umum 2008 lagi, masa itu saya masih timbalan presiden UMNO, saya sudah katakan bahawa kalau kita tidak berubah kita akan diubah. Dalam perasmian Konvensyen Media Sosial baru-baru ini, Datuk Seri ada menyebut ada serangan-serangan terhadap Datuk Seri daripada pembangkang contohnya isu semasa Datuk Seri mengerjakan haji dan keluarga Datuk Seri dikatakan berbelanja besar di Australia semasa Datuk Seri menghadiri sidang CHOGM (Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel). Apa pandangan Datuk Seri? NAJIB: Salah satu penentu nasib kita dalam pilihan raya adalah faktor kepemimpinan Perdana Menteri dan Presiden (UMNO), siapa saja yang menjadi pemimpin utama. Kalau pembangkang hendak melemahkan kita, mereka anggap mereka mesti menyerang saya (sebagai pemimpin utama). Kalau tidak boleh serang dari segi dasar, mereka akan serang dari segi peribadi. Kalau tidak ada isu, mereka akan cuba spin (putar belit), kalau tidak boleh spin, mereka akan cipta kepalsuan. Inilah yang berlaku, mereka anggap dalam politik every thing is fair (segalanya adil) termasuk benda yang tidak berlaku pun dikatakan berlaku, dan kalau berlaku pun, dia akan cuba pamerkan sesuatu itu sehingga boleh dikatakan tidak benar atau separuh benar. Umpamanya semasa saya buat tawaf (semasa mengerjakan ibadah Haji baru-baru ini), dia padamkan orang sekeliling, seolah-oleh saya mendapat keistimewaan, padahal tidak sedemikian rupa. Saya tawaf bersama orang lain. Apabila saya pergi CHOGM (pada Oktober lepas), anak saya yang tidak berada di Australia dikatakan berbelanja besar. Jadi ini fitnah, dan ini pembunuhan karakter yang mereka lakukan sebab mereka ini sudah begitu terdesak) hendak mencapai kejayaan dan sanggup melakukan apa sahaja walaupun tidak bermoral dan tidak beretika. Apakah harapan Datuk Seri pada para perwakilan UMNO pada perhimpunan kali ini NAJIB: Yang paling penting ialah mereka mesti memperlihatkan imej pada pengundi luar bahawa UMNO parti yang sanggup berubah dan tahu bagaimana menilai hati nurani rakyat, akan melakukan yang terbaik untuk rakyat. Sebab kita selalu menekankan Rakyat Didahulukan. Jika kita ingat kepada dua perkataan itu, Umno akan mendapat sokongan yang lebih menyeluruh lagi. Para pembentang dan pembahas usul dalam ucapan mereka diharap tidak menyinggung perasaan orang lain. Menggunakan bahasa dengan waras dan sedar yang mereka bukan berucap hanya untuk 3,000 perwakilan yang berada di dalam dewan, tetapi juga 28 juta rakyat Malaysia yang juga meneliti ucapan mereka. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan