Berita Harian: Nasional |
Posted: 27 Nov 2011 10:34 AM PST Nasional JAKARTA: Masalah penuntut Malaysia di Indonesia, terutama berkaitan biasiswa, pinjaman pelajaran dan insurans kesihatan, mendapat perhatian Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Parlimen Malaysia.Dengan duduk sebaris di kerusi menghadap penuntut berkenaan pada majlis jamuan malam, sekumpulan anggota BNBBC malam kelmarin begitu tekun mendengar keluhan dan rintihan penuntut dan kemudian berjanji mengambil tindakan susulan. Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Bung Moktar Radin menganggap perjumpaan malam kelmarin sebagai amat bermakna kerana ia memberi peluang kepada mereka mendapat maklum balas dan input mengenai beberapa permasalahan yang mungkin tidak dipandang serius selama ini. "Dengan ada interaksi sebegini, kami BNBBC akan dapat mengangkat masalah ini kepada agensi kerajaan bertanggungjawab dan ini dapat membantu meringankan permasalahan yang mereka hadapi."Kita juga senang hati melihat pelajar di sini berada dalam keadaan selamat, walaupun ada beberapa isu membabitkan pelajar baru-baru ini, tetapi ia tidak menjejaskan harapan dan reputasi mereka untuk terus menimba ilmu pengetahuan," katanya selepas jamuan malam ramah mesra BNBBC dengan penuntut Malaysia di Indonesia di sini, malam kelmarin. Sekumpulan anggota BNBBC yang diketuai Bung Moktar kini dalam rangka lawatan empat hari ke ibu kota ini sejak Khamis. Antara masalah yang akan diambil tindakan lanjut oleh BNBBC ialah berkaitan kurangnya biaya biasiswa untuk penuntut perubatan di universiti swasta di Jakarta khususnya apabila mereka terpaksa menjalani latihan amali di hospital yang jauh dari universiti mereka.
"Kita akan meminta JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan siapa juga yang menaja biasiswa mereka agar memasukkan peruntukan kos sebegini, jika tidak mereka akan terus berhadapan dengan senario yang tidak baik," katanya. Bung Moktar berkata, perjumpaan malam kelmarin juga memberi peluang kepada BNBBC memberi penjelasan mengenai dasar dan aspirasi kerajaan melalui perubahan yang sedang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak seperti transformasi ekonomi, politik dan keselamatan. |
Pentas terbaik sedarkan orang Melayu Posted: 27 Nov 2011 10:33 AM PST Nasional KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Perhimpunan Agung UMNO adalah pentas terbaik untuk menyedarkan orang Melayu betapa pentingnya mereka bersatu padu dan mengutamakan parti, bukan individu tertentu atau diri sendiri."Ramai ahli tidak faham bahawa perjuangan UMNO adalah untuk agama, bangsa dan negara, bukan untuk individu tertentu. Saya harap mesyuarat agung kali ini akan memperingati ahli mengenai perjuangan sebenar parti itu," katanya. Sehubungan itu, katanya sayap utama dalam UMNO iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri digesa untuk kembali kepada perjuangan parti itu dan mampu menjelaskan peranannya bagi kepentingan agama, bangsa dan negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti. Beliau berkata, adalah sesuatu yang berbahaya jika ahli dalam ketiga-tiga sayap parti berkenaan hanya memberi sokongan kepada pihak tertentu untuk menjadi calon atau ketua kerana ia boleh merosakkan parti Melayu itu sendiri.Bekas Presiden UMNO itu turut menyelar kealpaan Barisan Nasional (BN) yang tidak menyedari betapa mereka hilang populariti pada Pilihan Raya Umum 2008 sekali gus menyebabkan berlaku kekalahan di beberapa negeri. "Orang Melayu tidak menyatakan apa-apa mengenai kerajaan, tetapi mereka mendiamkan diri walaupun dalam hati, mereka marah kepada kerajaan dan hanya menunjukkannya dengan menolak BN dalam pilihan raya. "Begitu juga dengan rakyat keturunan Cina dan India. Bagi kaum Cina, pemberhentian semua projek besar kerajaan bermakna kehilangan peluang kepada mereka dan terpaksa ke luar negara untuk mencari perniagaan. Situasi ini pasti membuatkan mereka tidak gembira.
Mahathir turut melihat senario perpecahan yang ketara dalam masyarakat Melayu kerana tidak bekerjasama walaupun menjadi kaum terbesar di negara ini, majoritinya semakin hilang hingga terpaksa bergantung kepada undi kaum lain. "Kita lawan antara satu sama lain. Macam Arab lawan Amerika, yang bunuh Arab adalah orang Arab sendiri. Bagi Amerika semuanya Muslim tidak kira Syiah, Sunnah atau Wahabbi, tetapi bagi orang Islam, ini Sunnah, itu Syiah dan itu Wahabbi, kita kena perang dan ia kini berlaku di negara kita. "Lebih kritikal, orang Cina tidak lagi terbahagi dua sekali gus menjadikan mereka penentu kemenangan. Dulu, siapa Melayu sokong, orang itu akan menang. Kini, dalam kawasan Melayu, perpecahan berlaku dan siapa orang Cina sokong, dia akan menang," katanya.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan