Utusan Online - Timur |
- Daud Tokoh Hijratul Rasul
- Masyarakat Islam perlu maju, membangun - Tengku Mahkota
- Rakyat diseru tinggalkan tabiat berpuak
Posted: Daud Tokoh Hijratul RasulOleh YULPISMAN ASLI KOTA BHARU 27 Nov. - Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad dipilih sebagai Tokoh Hijratul Rasul 1433 Hijrah sempena Sambutan Hijratul Rasul 1433 Hijrah peringkat negeri di Kompleks Islam Ludang di sini, malam tadi. Pemilihan Daud, 76, sebagai menghargai sumbangan dan jasa besar beliau dalam bidang keilmuan khususnya berkaitan perundangan Islam di Kelantan dan negara amnya. Pemilihan tersebut membolehkan beliau dianugerahkan dinar emas, wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra. Daud anak kelahiran Pantai Sabak, pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam Kuliyyah Al-Syariah dengan tajaan biasiswa Diraja Arab Saudi. Keperibadian beliau yang unggul, keilmuan tinggi dan ketokohannya menyebabkan Daud diberi kepercayaan menganggotai Ahli Majlis Perajaan Negeri, Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Ahli Lembaga Yayasan Islam Kelantan (YIK), Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak/Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Beliau juga merupakan Ahli Majlis Pengawasan Syariah Bank Islam Malaysia Berhad, tenaga pengajar pra Universiti Malaya (UM) Nilam Puri antara 1990 hingga 1995, tenaga pengajar teks undang-undang 1 (Teknik Fiqh) Diploma Undang-undang dan Pentabdiran Kehakiman Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Pusat Pengajian Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di sini. Daud juga merupakan seorang yang aktif dalam menghasilkan bahan-bahan bacaan ilmiah sama ada buku, risalah, kertas-kertas kerja untuk bacaan umum atau dibentangkan dalam seminar-seminar di seluruh negara. Antara hasil penulisan beliau ialah buku bertajuk Hukum Sebat Dalam Islam, Kehidupan Rasulullah SAW di Dalam Rumah Kediamannya, Hak-hak suami isteri dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan, Hak-hak wanita di bawah undang-undang keluarga Islam Kelantan dan pelaksanaan perintah mahkamah, Penyelarasan pelaksanaan undang-undang wasiat dan banyak lagi. Full content generated by Get Full RSS. |
Masyarakat Islam perlu maju, membangun - Tengku Mahkota Posted: Masyarakat Islam perlu maju, membangun - Tengku MahkotaTengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah pada majlis Sambutan Hijratul Rasul 1433 Hijrah peringkat negeri di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, kelmarin. KOTA BHARU 27 Nov. - Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah, umat Islam perlu maju dan membangun supaya ia menjadi kuat secara lahirnya. Titah baginda, untuk mencapai kekuatan tersebut bukan suatu yang mudah dan mesti diusahakan melalui perancangan yang betul kerana ia bermula serta berpaksikan kekuatan rohani. "Kekuatan umat Islam sama ada di peringkat jemaah, masyarakat atau negara bukan terletak kepada ramai atau banyak bilangannya, kepandaian, kemajuan, kekayaannya dan lain-lain lagi. "Ini semua adalah kekuatan tambahan yang memerlukan kekuatan yang asas (rohani). Malahan, tanpa kekuatan-kekuatan yang asas, semua kekuatan tambahan ini bukan sahaja tidak bermakna, bahkan ia akan menjadi punca segala kemunduran dan keruntuhan umat," titah baginda. Baginda bertitah demikian sempena Majlis Perasmian Sambutan Hijratul Rasul 1433 Hijrah peringkat negeri Kelantan di Kompleks Islam Lundang dekat sini, malam tadi. Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah. Pada majlis tersebut, Tengku Muhammad Fa-iz berkenan menyampaikan anugerah termasuk Tokoh Hijratul Rasul 1433 Hijrah kepada Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad. Menurut Tengku Muhammad Fa-iz, tanpa kekuatan asas, umat Islam akan lemah walaupun mereka ramai, manakala musuh-musuh tidak akan takut serta gerun terhadap umat Islam. "Kekuatan asas ini tidak timbul dengan sendiri, ia perlu kepada seorang pemimpin yang mampu membawa minda dan mendidik masyarakat, pemimpin yang berilmu, bertakwa, berwibawa yang manusia memberi hati padanya dan mendapat rahmat serta keberkatan daripada Allah," titah baginda. Full content generated by Get Full RSS. |
Rakyat diseru tinggalkan tabiat berpuak Posted: Rakyat diseru tinggalkan tabiat berpuakKUALA TERENGGANU 27 Nov. - Umat Islam di negeri ini perlu meninggalkan tabiat buruk seperti memfitnah, menghasut dan gemar berpuak-puak kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, umat Islam perlu berhijrah dalam semua aspek kehidupan bagi membolehkan mereka tidak ketinggalan dan mundur. "Berdasarkan pengertian hijrah itu sendiri, umat Islam perlu berkembang maju termasuk daripada miskin menjadi lebih senang dan selesa. Begitu juga kalau yang buta huruf, mereka kena berhijrah menjadi golongan berilmu. "Islam juga mengajak seluruh umatnya menuntut sebanyak mana ilmu untuk kesejahteraan di dunia dan akhirat," katanya ketika berucap pada sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr. Alias Abdullah. Ahmad berkata, hijrah memerlukan pengorbanan besar di kalangan umat Islam dalam melakukan transformasi demi kehidupan yang cemerlang. Pada majlis itu, Allahyarham Datuk Awang Jabar diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu dan menerima hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Ahmad kepada ahli keluarga Allahyarham. Allahyarham yang merupakan Penasihat Agama Kepada Menteri Besar Terengganu dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi maut dalam nahas jalan raya dekat Kampung Alur Tuman, Marang pada 20 September lalu. Pada majlis itu, Masjid Kampung Rawai, Marang turut diumumkan sebagai johan bagi Anugerah Masjid Mukim Terbaik manakala Mohamed @ Razak Abdullah dari Kampung Gong Balai, Marang menerima Anugerah Imam Cemerlang dan Abu Bakar Said pula sebagai Bilal Cemerlang. Syarikat Ibrahim MN Industri (M) Sdn. Bhd., pula merangkul Anugerah Kilang Produk Terbaik. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan