Utusan Online - Utara |
- Pertahan perubatan tradisional
- Masalah parit di Taman Sentosa berlarutan
- Makam Diraja Kedah jadi tarikan pelancongan
Pertahan perubatan tradisional Posted: Pertahan perubatan tradisionalOleh LEE HOOI BOON JEANNE Abdullah (tengah) memerah limau purut sambil diperhatikan oleh Ahmad Shukri Mustapha Kamal (kanan) bagi merasmikan Persidangan Perubatan Tradisional Antarabangsa di Pulau Pinang, semalam. PULAU PINANG 29 Nov. - Sikap ibu bapa yang lebih suka membawa anak masing-masing ke klinik untuk mendapatkan rawatan moden menyebabkan generasi muda tidak lagi menghargai khasiat tumbuhan herba yang mampu menyembuh pelbagai jenis penyakit. Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Jeanne Abdullah berkata, keadaan itu menyebabkan tahap pengetahuan golongan tersebut mengenai perubatan tradisional di negara ini rendah. "Keadaan sebegini tidak seharusnya berterusan. Sekolah-sekolah perlu membina kebun ramuan atau hutan herba perubatan tradisional di premis masing-masing bagi mendedahkan para pelajar mengenainya. "Pada masa sama, ini juga amat penting bagi memastikan ilmu perubatan herba tradisional tidak pupus," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perubatan Tradisional Antarabangsa di sini, hari ini. Hadir sama, Pemangku Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Ahmad Shukri Mustapha Kamal dan Penyelaras Penyelidik Program Pembangunan Kemapanan Universiti United Nation, Unnikrishnan Payyappalli. Sementara itu, Unnikrishnan memberitahu, kira-kira 50,000 sehingga 90,000 jenis tumbuhan di dunia telah digunakan dalam perubatan herba tradisional. Katanya, 90 peratus daripadanya boleh didapati dari hutan semula jadi. "Herba-herba ini patut didokumentasi supaya dapat dikaji bagi memastikan cara penggunaannya betul dan lebih berkesan," katanya. | ||
Masalah parit di Taman Sentosa berlarutan Posted: Masalah parit di Taman Sentosa berlarutan
KULIM 29 Nov. - Lebih 1,000 penduduk Taman Sentosa, Lunas dekat sini meminta pihak berkuasa menyelesaikan masalah perparitan di kawasan kediaman terlibat yang didakwa dibiarkan rosak tanpa diperbaiki sejak dua tahun lalu. Seorang penduduk, Lee Ah Ba, 53, berkata, parit dan longkang besar di kawasan itu berada dalam keadaan uzur dan sebahagian besar runtuh akibat hakisan. Katanya, kesan tersebut menyebabkan aliran air tidak sempurna dan mengundang pelbagai masalah lain seperti pembiakan nyamuk serta tikus. "Masalah ini berlarutan sejak dua tahun lalu. Malah, beberapa dinding dan tembok rumah penduduk turut rosak akibat parit runtuh," katanya ketika ditemui pemberita selepas dikunjungi Penasihat Persatuan Perpaduan Masyarakat India Daerah Kulim/Bandar Baharu, Ir. Devan Iyavoo, baru-baru ini. Ah Ba berkata, pihaknya telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) berulang kali, tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Seorang lagi penduduk, Othman Cha Mat, 43, berkata, pihaknya berharap MPKK menjalankan kajian mengubah laluan parit dan longkang masuk ke taman itu kerana keadaannya boleh mengundang bahaya kepada penduduk. Katanya, keadaan longkang besar sepanjang 1.5 kilometer di kawasan taman itu juga menimbulkan pelbagai kesulitan. "Selain itu, ada sebatang titi di dalam taman hampir runtuh selepas berlaku hakisan tebing. Titi besi pula dibiarkan tidak terurus. Tambah buruk, setiap kali hujan lebat, banyak sampah terperangkap dan tidak dikutip," katanya. Beliau berkata, MPKK perlu memandang serius masalah tersebut dan bertindak menyelenggara longkang mengikut jadual yang ditetapkan. Sementara itu, Devan berkata, pihaknya akan berjumpa dengan pengurusan MPKK bagi memaklumkan masalah tersebut. "Kita juga bercadang menganjurkan dialog terbuka di antara penduduk dan MPKK bagi mencari penyelesaian dalam masa terdekat," jelasnya. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Makam Diraja Kedah jadi tarikan pelancongan Posted: Makam Diraja Kedah jadi tarikan pelanconganBUKIT MERTAJAM 29 Nov. - Lembaga Muzium Negeri Kedah akan menjadikan Makam Diraja Kedah yang terletak di Kampung Kota dekat sini, sebagai produk pelancongan buat tatapan generasi muda. Pengarahnya, Suhaidi Shukri berkata, kawasan itu yang sebelum ini terbiar dan dipenuhi lalang akan dipulihara bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri tapak warisan sejarah Kesultanan Melayu Kedah yang masih wujud hingga ke hari ini. "Pihak muzium akan menjadikan kawasan ini sebagai khazanah warisan Kedah dan ia akan dibaik pulih serta kawasan sekitarnya akan dibersihkan. "Kami akan berbincang dengan Jabatan Warisan Negara untuk melantik pihak yang akan menjaga dan memelihara kawasan makam yang berusia lebih 200 tahun ini," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi ziarah Tengku Temenggong Kedah, Tuanku Sallehudin Sultan Badlishah ke makam berkenaan, semalam. Dipercayai terdapat lapan makam kerabat diraja Kedah di kawasan itu namun, hanya lima ditemui. Kerja-kerja bagi mengesan kedudukan tiga lagi makam yang telah tertimbus dalam masa terdekat. Dua daripada makam kerabat diraja tersebut yang dikenal pasti bersemadi di situ adalah Makam Putera Diraja Kedah ke-20, Tunku Sulaiman Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah dan saudaranya, Tunku Kutam. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof berkata, berdasarkan fakta sejarah, Tunku Sulaiman dikatakan menduduki Kampung Kota sekitar 1804 hingga 1845 bagi mengasingkan diri dari terlibat dengan krisis perebutan takhta Sultan Kedah ke-22 ketika itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan