Utusan Online - Rencana |
'Berpijaklah di bumi yang nyata' Posted: 'Berpijaklah di bumi yang nyata'Raja Dr. Nazrin Shah semasa titah ucapannya pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1433 Peringkat Negeri di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Ipoh, kelmarin. ALHAMDULILLAH, beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat dari Nya juga, beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun Hijrah 1433. Peristiwa Hijrah adalah ketentuan Ilahi yang berlaku melalui perjalanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, berpindah dari Mekah ke Madinah. Perjalanan tersebut tidak sekadar perjalanan zahiriah, tetapi adalah titik permulaan era baru. Perjalanan tersebut menyuntik semangat kesungguhan, ketabahan, kecekalan dan keyakinan yang tinggi di kalangan penganut Islam akan kebenaran risalah ajaran yang disampaikan oleh Baginda. Peristiwa Hijrah telah menunjukkan contoh kekuatan ummah yang dapat dibina melalui ukhuwah persaudaraan yang berjaya dijalin di antara dua pihak, ia itu pihak Ansar Madinah dengan pihak Muhajirin Mekah. Hijrah adalah peristiwa yang telah membawa perubahan, mencipta pembaharuan dan mencetuskan transformasi. Peristiwa Hijrah mengandungi pelbagai muslihat pengajaran untuk diselami oleh umat manusia. Enam dari pengajaran yang Beta pilih untuk dijadikan renungan bersama adalah: Pertama: Pentingnya menerima realiti, memahami realiti dan melakukan tindakan berasaskan realiti. Junjungan Besar kita, menerima realiti bahawa Baginda menghadapi tentangan yang semakin hebat, tentangan yang menghalang usaha-usaha Baginda untuk menyebarkan risalah Islam. Baginda menerima realiti bahawa penduduk Mekah menjadi semakin ekstrem menentang risalah Islam, setelah kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan setelah kembalinya ke Rahmatullah, Siti Khadijah, isteri Baginda. Baginda menerima realiti bahawa penganut Islam semakin sukar untuk beribadah, malah mereka diancam, dihina, diseksa dan dibunuh. Baginda nyata tidak menafikan realiti cabaran dan sama sekali tidak berada dalam sifat sangkalan atau denial. Kedua: Sebagai Rasul dan kekasih Allah, Baginda sebenarnya mendapat sebesar-besar rahmat perlindungan. Baginda boleh diselamatkan untuk diangkat ke langit seperti dalam contoh Allah menyelamatkan Nabi Isa, begitu juga dalam contoh Allah memberikan perlindungan kepada Nabi Ibrahim dari dibakar oleh api yang membara. Perlindungan dari Allah SWT pastinya lebih kebal dan lebih hebat dari kawalan seribu tentera. Namun Allah telah menetapkan peranan yang berlainan untuk Baginda, peranan untuk dikaitkan dengan cabaran yang bakal dihadapi oleh umat di akhir zaman. Untuk itu, Baginda sama sekali tidak berlagak angkuh meski berada pada status yang tinggi di sisi Allah. Baginda tidak berlagak degil lalu memilih opsyen untuk melakukan Hijrah. Ketiga: Sifat kesetiaan dan sifat bertanggungjawab seorang pemimpin terhadap pengikut. Kesediaan berundur dan melakukan Hijrah adalah dalam semangat Baginda yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan ummah. Baginda tidak lari ke Madinah mendahului pengikut yang masih ramai berada di Mekah. Malah Baginda adalah yang terakhir meninggalkan Mekah setelah berpuas hati bahawa semua pengikut Baginda telah pun selamat. Keempat: Contoh jalinan kerjasama dengan bukan Islam. Abdullah bin Areeqat yang menjadi pemandu untuk membantu perjalanan Baginda bukan beragama Islam. Abdullah sebenarnya boleh mendapat hadiah lumayan jika beliau bersifat belot lalu menyerahkan Baginda kepada pihak Quraish. Tetapi Abdullah walaupun tidak menganut Islam, membuktikan sifat jujur dan setia kepada janji dan tugas dan tidak berpaling tadah. Membuktikan Islam mengharuskan jalinan kerjasama dengan bukan Islam dalam semangat jujur, serta selagi yang bukan Islam tidak melakukan perkara-perkara yang mengkhianati Islam. Kelima: Misi berteraskan kebenaran, walau betapa berat dan perit sekalipun, bila dilaksanakan secara tabah - secara gigih, bila dilaksanakan secara yakin dengan bertawakal kepada kuasa Yang Esa, akan mendapat rahmat - mendapat keredaan dari Allah SWT. Penghijrahan yang Baginda lakukan bersama pengikut, menghadapi pelbagai ujian, bermula dari pengorbanan terpaksa meninggalkan harta benda, sumber rezeki, kampung halaman dan pekerjaan di bumi Mekah, merantau ke Madinah untuk memulakan penghidupan baru. Namun misi melakukan penghijrahan tersebut adalah untuk menegakkan kebenaran kalimah tauhid, atas keyakinan untuk menjunjung perintah yang diwahyukan oleh Allah SWT, akhirnya Baginda dan pengikut Baginda dianugerahkan kemenangan gemilang. Keenam: Apabila dua kumpulan Islam, puak Ansar dan puak Muhajirin memilih untuk bersatu, perpaduan Islam bertambah kukuh, dan kekuatan Islam bertambah hebat memungkinkan kejayaan yang lebih besar untuk memperjuangkan Islam dapat dicapai. Enam pengajaran tersebut sangat relevan dijadikan rujukan dalam menghadapi senario semasa, lebih-lebih lagi untuk dijadikan pedoman oleh para pemimpin. Setiap hasrat dan usaha yang mahu dilakukan hendaklah dirancang berasaskan premis realiti yang tepat. Tanpa fakta yang tepat, hasrat yang diimpikan dan usaha yang dirintis, tidak akan mencapai matlamat. Sering kali berlaku kecenderungan untuk pemimpin dilindungi dari realiti sebenar. Malah ada kalanya, lebih tinggi status seseorang pemimpin, bertambah jauh dan bertambah terpisahlah dia dari realiti di bumi nyata, baik dianya seorang Raja, seorang Presiden, seorang Wazir atau seorang Menteri. Malah jurang di antara kebenaran dan kepalsuan bertambah luas, jika pemimpin dipagari oleh individu-individu yang berkepentingan. Mereka memilih cerita kejayaan dan menyembunyikan sebarang kegagalan. Mereka adalah sokong yang membawa rebah. Pemimpin diulit mimpi riang sedangkan realiti yang berlaku sangat berlainan. Lalu semakin banyak pemimpin melakukan kesilapan, kerana keputusan yang dirumuskan dan arahan yang dikeluarkan, disandarkan kepada premis yang palsu. Dinamik yang berlaku di Tunisia, di Mesir, di Libya, di Syria dan di pelbagai negara di serata dunia, termasuk sejarah kejatuhan Kerajaan-Kerajaan terdahulu hendaklah dijadikan pedoman. Oleh itu, amat penting untuk pemimpin pada setiap masa benar-benar memahami realiti yang berlaku untuk dapat berpijak di bumi nyata. Malah pemimpin yang arif seharusnya berasa aneh jika terlalu banyak cerita kejayaan yang dilaporkan dan jika terlalu tinggi pujian yang di sampaikan. Pemimpin yang arif sepatutnya lebih berminat untuk mengetahui kegagalan yang berlaku supaya setiap kelemahan dapat segera diperbaiki dan sebarang kesilapan dapat segera diperbetulkan. Insaflah akan pesanan orang tua-tua, semut mati kerana gula. Cerita kejayaan dan kata pujian adalah satu madat atau satu addiction di minda manusia yang amat cepat mempengaruhi manusia untuk bersifat angkuh, menjadi terlalu selesa - cepat bermegah melaungkan kejayaannya. Madat tersebut berpotensi besar menjatuhkan pemimpin. Pemimpin yang arif akan lebih berminat kepada kebenaran dan memiliki keyakinan - memiliki keberanian untuk menegakkan kebenaran betapa besar tentangan yang perlu dihadapi. Menegakkan kebenaran itu adalah tanggungjawab yang sangat dituntut oleh Ilahi kerana Islam adalah agama yang menganjurkan kebenaran. Pemimpin yang cekal, yakin dan berani untuk menegakkan kebenaran terutama dalam mempertahankan kalimah tauhid serta menegakkan syariat dan mempertahankan kesucian Islam, akan mendapat rahmat dan perlindungan Ilahi, martabat dan makamnya insya-Allah akan diangkat dan dimuliakan oleh Allah SWT. Mempertahankan kesucian Islam dari dinodai dan melindungi umat Islam dari dipengaruhi oleh ajaran dan fahaman lain adalah tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Raja-Raja Melayu secara perundangan menurut Fasal-fasal tertentu yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Raja-Raja Melayu mempunyai tanggungjawab berat terhadap Allah, kepada negara dan terhadap ummah. Dalam menyempurnakan amanah berat tersebut, raja dan ummah wajib bersama, dan ummah pula wajib bersatu. Perkara-perkara menyentuh kesucian Islam akan terus dapat kita pertahankan dan Raja-Raja akan terus dapat memberikan perlindungan kepada ummah selagi kita kekal bersama dan ummah kukuh bersatu. Setiap kali terbitnya bulan Muharam, umat Islam mengadakan sambutan Hijrah. Niat untuk melakukan perubahan - hasrat untuk melakukan penambahbaikan - rancangan untuk melakukan transformasi tidak mungkin tercapai melalui retorik, melalui janji, melalui ikrar dan melalui ucapan, tanpa disusuli dengan pergerakan zahir - pergerakan batin, diperkukuhkan dengan kesungguhan langkah - dibuktikan dengan ketegasan tindakan; baik dalam usaha membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf sosioekonomi ummah, membanteras jenayah, memerangi rasuah, menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan. Majlis seumpama ini adalah saat untuk setiap ummah melakukan pemeriksaan dalaman, mengukur kesungguhan langkah - menyukat ketegasan tindakan, yang telah dilakukan sepanjang tahun lalu dalam semangat dan hasrat mahu melakukan penambahbaikan. Perayaan Maal Hijrah, sehari dalam setahun tidak membawa erti tanpa penghayatan - tanpa keyakinan yang bersungguh untuk membina sebuah negara sejahtera serta mendapat keampunan Ilahi 'baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur' seperti yang telah digambarkan oleh Allah SWT dalam ayat 15, Surah Saba. Semoga kepimpinan ummah dan kepimpinan negara dikurniakan oleh Mu Ya Allah kepada kalangan hambaMu yang memiliki sifat-sifat amanah, ikhlas dan jujur serta di hati mereka sentiasa tersemai rasa kasih, rasa sayang, rasa belas, rasa ihsan terhadap ummah yang diamanahkan berada di bawah pimpinan mereka. Full content generated by Get Full RSS. | ||
'Nak ceriakan flat pun dikritik pembangkang' Posted: 'Nak ceriakan flat pun dikritik pembangkang'Oleh ZULKIFLI JALIL dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
APA sahaja yang dibuat kerajaan untuk kebaikan rakyat semuanya serba tidak kena di mata pembangkang. Sebutlah apa sahaja. Produk Kedai Rakyat 1Malaysia, mengindahkan flat-flat perumahan rakyat dan segala yang molek-molek belaka, kononnya 'tidak elok', lalu habis dicungkilnya walau sebesar zarah sekali pun. Peliknya tidak pula pembangkang ini menghulurkan bantuan sebaliknya pihak yang menolong rakyat itu pula dikritik dan menjadi mangsanya. Hairan dan tentu sekali ajaib. Tidak terkecuali trend ini merebak ke Wilayah Persekutuan. Memang diakui politik bandar dan luar bandar berbeza tetapi takkanlah warga kota dan pengundi bandar mudah terpedaya atau 'mengangguk-angguk kepala' dengan helah pihak yang berkepentingan ini. Menarik perhatian Utusan Malaysia untuk menerokai lebih jauh trend terbaru kebelakangan ini yang dimainkan pembangkang, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengambil contoh usaha pihaknya mengecat dan membaik pulih flat-flat di sekitar Lembah Pantai, Sentosa dan Taman Angkasa yang menimbulkan rasa cuak di kalangan pembangkang. Jika dalam tempoh dua tahun ini, wakil pembangkang terbabit tidak berbuat apa-apa di kawasannya, dengan sibuk mengikut urusan si bapa ke hulu ke hilir, kini disebabkan siri program membantu penduduk setempat digerakkan oleh BN sejak 2009 kian menampakkan keberhasilannya, baharulah 'dia' mula 'buka mata'. "Seperti mana kerja mengecat flat-flat, pembangkang akan mencari benda negatif sahaja. Ya, kita akui kontraktor ini ada juga yang tak bertanggungjawab tetapi dia highlite pada situ sahaja. Padahal kontraktor terbabit bukan pun di bawah kawalan BN tapi berlandaskan tender terbuka juga di mana 1,000 kontraktor yang masuk secara keseluruhan kerja yang mereka buat adalah baik. "Sama juga di Taman Angkasa, pihak swasta juga yang buat (kerja mencantikkan flat), jadi kadang-kala kita tidak ada kawalan, ada yang baik dan ada yang tidak, sekarang sudah banyak (flat) di Lembah Pantai sudah dibaiki," katanya. Raja Nong Chik yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan memberi contoh lain bagaimana pihaknya menyediakan alternatif kepada penjaja dengan menempatkan mereka di satu kawasan dikenali Bazaria Pantai. Ini setelah didapati mereka berniaga di tepi-tepi jalan sehingga menjejaskan lalu lintas dan tahap kebersihan di situ. "Tapi apa yang berlaku ialah bukan 'dia' nak bekerjasama tapi 'dia' bantah pula seolah-olah 'dia' memperjuangkan penjaja, padahal kita buat pembersihan kawasan untuk bagi keselesaan penduduk di sana. Jadi, 'dia' hanya cari kelemahan dan kesilapan sedangkan pusat penjaja itu pun dibina hasil sumbangan separuh daripada pemaju di Lembah Pantai," kata Raja Nong Chik lagi. Serupa juga apabila kerajaan hendak membangunkan Kg. Kerinchi. Kira-kira 90 peratus penduduknya sudahpun bersetuju dan berpindah tetapi atas 'tiket politik', baki 10 peratus penduduk lagi enggan dan meminta yang bukan-bukan. Akhirnya, pembangunan terpaksa dilewatkan setahun. Yang 90 peratus penduduk tadi diyakini akan merasai nikmat pembangunan - dari rumah sebilik dan tidak berbilik kepada empat bilik. Dan dari rumah berharga RM50,000, kelak apabila dibangunkan dijangka mencecah RM200,000. Malah, di tempat sementara yang dihuni mereka sekarang pun dibayar oleh pemaju dengan pemaju itu sendiri dipilih oleh mereka dan bukannya oleh kerajaan. "Saya mengerti bahawa pembangkang tak setuju dengan pembangunan Kg. Kerinchi ini sebab kalau berjaya, BN yang dapat kredit. Pada saya mungkin politik Melayu antara UMNO dan pembangkang (Pas dan PKR) lain. Tetapi kalau kaum Cina, bila mereka nampak satu program itu akan beri kelebihan pada kaumnya, pasti mereka akan menyetujuinya tidak kiralah apa parti sekali pun (DAP, MCA atau Gerakan). "Saya tengok DAP umpamanya, kalaulah Kg. Kerinchi ini perkampungan Cina, saya fikir DAP akan setuju 100 peratus (untuk dibangunkan) sebab tak payah keluarkan duit, sudah ada orang majukan. Tapi apa yang berlaku ialah orang Melayu di situ buat bangkangan sehingga sekarang tak boleh dimajukan, mereka hanya tahu kritik dan tak bagi cadangan membina, cuma kata ada rasuah dan lain-lain," kata beliau. Jelas Raja Nong Chik: "Pada saya 90 peratus sudah setuju, pemaju pun dah bayar, jadi tiada sebab benda ini tak boleh jalan. Terlewat sudah setahun namun Insya-Allah, kita akan jalankan tetapi guna undang-undanglah, padahal kalau sudah dapat persetujuan kira-kira 90 peratus tak payah guna undang-undang pun." Hakikatnya, banyak program mendekati rakyat telah dilakukan oleh kementerian diterajui Raja Nong Chik. Flat yang dahulunya usang kini ternampak seperti perkampungan moden. Secara keseluruhan di Lembah Pantai, dua masjid dan dua sekolah agama baru telah dibangunkan di situ. Tambah lagi baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan menaiktaraf sekolah di Pantai Dalam dan di Kerinchi. Jalan-jalan di Bangsar dan Lembah Pantai juga dibaiki manakala kawasan sekitar akan dihijaukan lagi. Dikatakan di kerusi Parlimen Lembah Pantai sahaja, sudah ketara minat rakyat untuk membuat keputusan menentukan wakil rakyatnya yang baru pada PRU-13 nanti. Hampir 10,000 pengundi baru berada di kawasan itu sahaja waktu ini. Di kerusi Batu, yang mana BN tewas dengan 9,455 undi di tangan Tian Chua (PKR) pada 2008, kini kedapatan 7,000 pengundi baru di situ. Di sebalik penambahan pengundi baru atau pengundi yang bertukar alamat di Lembah Pantai atau di beberapa kerusi Parlimen lain di Wilayah Persekutuan, realitinya sokongan rakyat kini kuat beralih kepada BN. Tumpuan dalam rating 'boleh menang' ini tentunya di kerusi-kerusi yang majoriti pengundi Melayu seperti Lembah Pantai, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan Batu selain Setiawangsa, Labuan dan Putrajaya sendiri. Dikatakan untuk lima kerusi lain iaitu Seputeh, Segambut, Kepong, Bukit Bintang dan Cheras, peluang untuk MCA dan Gerakan menerobos pembangkang di sana dengan majoriti 70 hingga 80 peratus pengundi Cina nampaknya begitu tipis. "Apa yang kita lakukan selama ini kepada rakyat boleh dinilai. Dan saya yakin rakyat semakin nampak BN lebih realistik dan praktikal. Mereka kini tawarkan diri untuk bantu BN walaupun dahulu mereka sokong pembangkang. Ini ketara di kalangan orang Melayu dan India di samping kaum Cina juga sudah nampak kesedarannya. Sama ada mampu direalisasikan, hanya Dia yang maha mengetahui," kata Raja Nong Chik. Senario di 10 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan tidak lagi boleh dinilai mengikut senario politik pada 2008. Ini kerana ia telah banyak berubah. Rakyat Wilayah Persekutuan tidak mahu lagi terus ditipu dengan lakonan mereka yang kononnya membela nasib rakyat. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan