Jumaat, 25 November 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Benteng siap hujung tahun

Posted: 24 Nov 2011 02:28 PM PST

Wilayah

MUHAMMAD Farid (pandu jentolak) merasmikan pembinaan benteng penghalang hakisan di Sungai Balok, Kampung Balok Pantai, Kuantan. - Foto KAIRULMIZAN YAHYA

MUHAMMAD Farid (pandu jentolak) merasmikan pembinaan benteng penghalang hakisan di Sungai Balok, Kampung Balok Pantai, Kuantan. - Foto KAIRULMIZAN YAHYA

KUANTAN: Masalah hakisan tebing di Sungai Balok berhampiran jeti nelayan di Kampung Balok Pantai, di sini, bakal ditangani dengan pembinaan benteng penghalang hakisan yang akan siap menjelang hujung tahun ini.

Ia dibina atas inisiatif MTBE Malaysia Sdn Bhd (MTBE), anak syarikat milik penuh Petronas Chemical Group (PCG) yang prihatin dengan masalah dihadapi penduduk kampung berkenaan.

Pembinaan benteng sepanjang 50 meter itu adalah antara inisiatif syarikat terbabit dalam memelihara sungai berkenaan melalui program Inisiatif Alam Sekitar Sungai Balok (BREI) yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Balok Pantai, Mohd Zainon Ali, berkata projek yang dilaksanakan MTBE itu banyak memberi manfaat kepada 120 nelayan di kawasan berkenaan.

"Tebing sungai terbabit mengalami hakisan terutama ketika musim tengkujuh dan ia dikhuatiri bertambah buruk sehingga menjejaskan keselamatan penduduk terutama nelayan sekiranya tidak ditangani segera.

"Pembinaan benteng itu secara tidak langsung mengurangkan kebimbangan mereka, selain memberi kemudahan kepada semua melalui projek yang sudah dilaksanakan pihak terbabit di kawasan ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Nelayan, Mansor Mokhtar, 42, berkata langkah terbabit adalah usaha murni syarikat berkenaan kerana sebelum ini penduduk di kawasan berkenaan, terutama nelayan sering menghadapi masalah hakisan tebing sehingga menyebabkan air sungai semakin cetek.
"Menerusi pembinaan benteng itu memudahkan nelayan keluar menangkap ikan dan pada masa sama memulihara sungai yang menjadi nadi utama kepada sebahagian besar penduduk," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif MTBE, Muhammad Farid Ngah, berkata projek pembinaan benteng itu akan memberi manfaat kepada penduduk dari segi pengurusan banjir dan hakisan tebing sungai khususnya pada musim tengkujuh.

"Setakat ini, kita hanya membina benteng penghalang hakisan sepanjang 50 meter dengan menyambung benteng sedia ada, namun akan membina benteng lebih panjang jika keadaan memerlukan," katanya selepas merasmikan projek terbabit pada Program Penjagaan Air di kampung berkenaan, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, benteng penghalang hakisan itu ditempah khas serta diperbuat daripada bahan yang lebih kukuh dan sesuai dengan keadaan air masin di sungai berkenaan supaya ia lebih lasak dan tahan lama.

"Sebelum ini, kita turut melaksanakan projek menambak sebahagian kawasan muara sungai berkenaan yang berhampiran jeti nelayan bagi mengelak hakisan tebing berterusan, selain memberi kemudahan kepada penduduk kampung berkenaan," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Cahaya Baru ‘banjir termenung’

Posted: 24 Nov 2011 02:27 PM PST

Wilayah

BATU PAHAT: Penduduk Cahaya Baru dekat Ayer Hitam di sini, berdepan situasi 'banjir termenung' apabila bencana alam yang menenggelamkan kawasan sekitar rumah mereka sejak sebulan lalu, masih belum surut hingga kini.

Banjir sedalam kira-kira 0.5 meter yang mengenang rumah penduduk menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan menghuni pusat pemindahan demi keselamatan keluarga.

Bagai jatuh ditimpa tangga, apabila banjir yang bermula sejak petang 23 Oktober lalu itu tidak menunjukkan tanda akan reda, rumah yang ditinggalkan mangsa banjir pula menjadi sasaran pencerobohan monyet liar yang merosakkan bumbung dan barangan dalam rumah. Banjir yang tidak surut itu menyebabkan keluarga Ghozali Mat Rejab, 46, bersama isteri, Roseyati Ismun, 41, bersama lima anak berusia dua bulan hingga 10 tahun itu, terpaksa menjadikan balai raya kampung itu sebagai tempat berlindung.

Ghozali yang bekerja sendiri, berkata tambah menyedihkan ketika mereka sekeluarga terpaksa meninggalkan rumah dan berpindah ke balai raya itu dalam keadaan isterinya masih berpantang kerana baru melahirkan anak bongsu yang kini berusia hampir dua bulan.

"Hari ini genap sebulan keluarga saya menumpang di balai raya kampung sejak banjir termenung melanda rumah ekoran aliran air Sungai Sembrong yang tersumbat dan tohor.

"Saya sekeluarga sudah tidak berdaya memikirkan nasib kami sekeluarga apatah lagi pendapatan hanya RM600 sebulan hasil kerja kampung, mana mungkin saya menampung perbelanjaan membaiki rumah kami yang rosak teruk. Banjir ini menjejaskan pendapatan saya yang bergantung kepada kerja membersih kebun dan mengambil upah memotong buah sawit milik penduduk.
"Lebih menyedihkan, banjir besar yang dijangka melanda kawasan ini tidak lama lagi menyebabkan kami mungkin terpaksa melupakan terus hasrat untuk pulang ke rumah sendiri dalam waktu terdekat," katanya ketika ditemui pulang ke rumahnya untuk meninjau keadaan rumahnya yang digenangi banjir termenung.

Ghozali berkata, arahan supaya beliau sekeluarga berpindah ke pusat penempatan sementara adalah perkara biasa setiap kali tiba musim hujan tetapi sebelum ini pemindahan mereka biasanya tidak lebih dua minggu kerana banjir cepat surut.

Keluarganya bersama tiga lagi keluarga membabitkan 22 penduduk itu ditempatkan di balai raya kampung berkenaan selepas hujan lebat yang turun sejak Jumaat lalu menenggelamkan empat rumah penduduk di Kampung Cahaya Baru dan Kampung Sawah Sagil, Ayer Hitam, dekat sini.

Ghozali merayu agar kerajaan negeri dan pihak berkuasa membantu meringankan masalah keluarga penduduk terjejas khususnya bagi membaiki keadaan rumah masing-masing yang rosak akibat bencana alam itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali, berkata banjir melanda empat rumah penduduk Kampung Cahaya Baru dan Kampung Sawah Sagil dekat Ayer Hitam itu, berlaku secara tiba-tiba dan di luar jangkaan dikeluarkan Jabatan Metereologi, yang menjangkakan banjir di Johor bermula akhir Januari hingga Februari depan.

"Banjir secara tiba-tiba itu menyebabkan kerja pembersihan dan mendalamkan sungai dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah di Sungai Sembrong, depan Kampung Sawah, Sagil dan Kampung Cahaya Baru terpaksa dihentikan, " katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan