Sabtu, 19 November 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Elak tersilap kompaun

Posted: 18 Nov 2011 10:33 AM PST

KEPALA BATAS: Penggunaan peralatan baru Tru Cam iaitu kamera perangkap laju mampu mengelakkan kesilapan polis trafik ketika mengeluarkan saman kepada orang ramai selain menjimatkan masa.

Ketika ini 25 unit kamera berkenaan sedia digunakan selain lima unit sudah diguna di Lembah Klang bagi mengesan pesalah trafik di lebuh raya.


Ketua Trafik Pasukan (Bukit Aman), Datuk Abd Aziz Yusof, berkata penggunaan Tru Cam lebih efektif dan menjimatkan masa selain mengelakkan kesilapan anggota trafik ketika mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melanggar had laju.

Katanya, kamera baru berkenaan disertakan cip yang boleh dimuat naik terus ke dalam sistem komputer sebelum gambar yang dirakam polis trafik dihantar kepada pesalah.


"Penggunaan Tru Cam dengan resolusi tinggi lebih berkesan berbanding kamera lama selain lebih ringan. Yang penting, kita dapat mengurangkan aduan orang ramai yang sering mendakwa tidak mendapat gambar selepas mereka disaman kerana memandu laju.


"Walaupun jumlah Tru Cam masih tidak mencukupi, namun ia akan diguna secara bergilir mengikut daerah," katanya selepas menutup Kursus Peralatan Tru Cam Siri 1/2011 di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (IPDSPU), dekat sini, semalam. Hadir sama, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Superintendan Wan Aziz Wan Husin dan Timbalan Ketua Polis Daerah SPU, Superintendan Mohd Sukri Awang.

Seramai 35 anggota polis trafik dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menyertai kursus tiga hari itu. Abd Aziz berkata, penggunaan kamera berteknologi tinggi itu juga secara tidak langsung meningkatkan tahap profesionalisme polis dalam menguatkuasakan undang-undang tanpa dipertikaikan orang ramai.


"Kita mahu jadi seperti beberapa negara maju yang mana tahap profesionalisme polis mereka tinggi. Jadi, orang awam yang melakukan kesalahan tidak berani mencabar keputusan polis selepas ditahan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Dinoda 2 lelaki

Posted: 18 Nov 2011 10:33 AM PST

JERTIH: Kepulangan seorang pelajar berusia 16 tahun dari Kota Bharu, Kelantan untuk melawat dan bercuti di rumah neneknya berakhir tragedi apabila dirogol dua lelaki sebaik tiba di kampung berkenaan pada awal pagi 11 November lalu.

Mangsa yang belajar di sebuah sekolah agama di Kota Bharu tinggal bersama keluarganya di Kampung Lepar Limbat, Kota Bharu dan dihantar pulang oleh teman lelakinya ke kampung neneknya pada hari kejadian.


Ketika ditinggalkan pada jam 2.20 pagi di tepi jalan, mangsa yang berjalan kaki menuju ke rumah neneknya di Kampung Beris, Alor Pisang, Kuala Besut tiba-tiba didekati seorang pemuda.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek kemudian memegang tangan mangsa dan berpura-pura bertanyakan ke mana destinasi mangsa.


Beliau berkata, apabila mangsa enggan melayan, suspek mengugut mangsa dengan mengatakan dia tahu dengan siapa mangsa keluar dan akan memberitahu keluarga, terutama neneknya mengenai tindakan mangsa keluar bersama teman lelaki hingga awal pagi.


Katanya, suspek memberikan syarat yang mangsa perlu melakukan hubungan seks dengannya jika tidak mahu rahsianya keluar bersama teman lelaki terbongkar.

"Akibat bimbang suspek membongkar rahsianya yang sering dihantar pulang ke rumah neneknya oleh teman lelaki, mangsa bersetuju mengadakan hubungan seks dengan suspek.


"Pada masa sama, seorang rakan suspek tiba di tempat berkenaan dan membawa mangsa ke rumah kosong berdekatan rumah nenek mangsa," katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa melakukan hubungan seks dengan suspek di atas pasir di tepi rumah kosong berkenaan dengan disaksikan rakannya itu.


"Tidak lama selepas itu, suspek memanggil seorang rakan lain yang kemudian turut merogol mangsa di tempat sama sambil disaksikan seorang lagi rakan suspek sebelum mangsa dihantar tiga suspek terbabit pulang ke rumah neneknya," katanya.


Menurutnya, mangsa menceritakan musibah yang berlaku kepada neneknya lima hari selepas kejadian sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut, 16 November lalu.


Katanya, susulan laporan itu, tiga suspek berasal dari Kuala Besut dicekup di rumah masing-masing pada petang hari sama dan mereka direman seminggu bermula kelmarin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan