Rabu, 2 November 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Suspek kes bunuh ditahan selepas 23 tahun

Posted: 02 Nov 2011 04:44 AM PDT

BESUT: Seorang lelaki yang merupakan suspek kes pembunuhan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan di Kampung Gong Badang di sini pada tahun 1988, berjaya ditahan polis hari ini.

Lelaki yang kini berumur 48 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 pagi dalam serbuan di sebuah rumah di kampung Alor Lintah dekat sini, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Nor.

Dalam kejadian 23 tahun lepas, lelaki yang ketika itu berusia 25 tahun disyaki membunuh kanak-kanak lelaki itu ketika dia sedang tidur dalam buaian di Kampung Gong Badang.

Lelaki itu dipercayai melarikan diri ke selatan Thailand dan bekerja sebagai penoreh getah di sana.


Noor Zainy berkata lelaki itu ditahan semasa dia pulang untuk melawat ibunya yang sakit.


"Suspek ditemui secara kebetulan ketika sepasukan anggota polis bahagian Narkotik dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Besut menyerbu kediaman ibu suspek untuk menahan anak saudaranya yang disyaki terbabit dalam kes dadah.

"Apabila mendapati anak saudaranya tidak berada di rumah itu, polis telah memeriksa suspek dan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau lalu menahannya," katanya.

Noor Zainy berkata lelaki yang masih bujang itu direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Monorel pelancongan Sungai Melaka dihenti 48 jam untuk diperiksa SPAD

Posted: 02 Nov 2011 04:42 AM PDT

MELAKA: Monorel pelancongan Sungai Melaka yang menghubungkan Taman Rempah ke Stesen Hang Tuah di sini akan menghentikan perkhidmatan selama 48 jam mulai pagi esok bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh dilakukan.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Azhar Ahmad berkata jurutera SPAD dan prasarana KL Monorail akan memeriksa aspek dan sistem keselamatan kecemasan bagi memastikan ia berfungsi mengikut spesifikasi.

Pemeriksaan yang meliputi aspek teknikal selama dua hari itu bakal menentukan sama ada monorel tersebut boleh menyambung perkhidmatannya atau digantung bagi suatu tempoh masa sebelum dibenar meneruskan operasi, katanya kepada pemberita selepas meninjau serta memeriksa sistem monorel di Taman Rempah di sini.

Beliau berkata pemeriksaan itu dilakukan berikutan laporan akhbar hari ini yang menyebut dua pelancong Britain melalui detik cemas apabila terpaksa dibawa turun melalui tangga setinggi lima meter selepas monorel yang mereka naiki rosak tengah hari semalam.


Dalam kejadian itu, hanya pasangan suami isteri, James Craft, 57 dan Anne, berada dalam monorel tersebut dan mereka diselamatkan beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu.


Azhar berkata ini merupakan kali pertama pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem monorel dilakukan kerana sebelum ini, SPAD hanya memeriksa aspek penyelenggaraan sebelum ia dilancarkan pada 20 Okt lepas sempena perisytiharan Melaka sebagai Negeri Maju 2010.

"Kerana isu ini melibatkan pelancong asing, SPAD melihat ini sebagai isu besar dan kami akan pastikan aspek keselamatan dipatuhi termasuk jajaran monorel, selain pelan keselamatan kecemasan kepada penumpang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Sdn Bhd Nazary Ahmad, yang mengendalikan monorel tersebut, berkata pihaknya menyambut baik langkah SPAD melakukan pemeriksaan terhadap sistem keselamatan monorel.

"SPAD ialah badan yang berpengalaman dalam isu ini, dan bagi kami, tidak ada yang lebih penting selain keselamatan penumpang," katanya sambil menjelaskan gangguan teknikal semalam berlaku ekoran kerosakan pada pam pintu monorel.

Beliau berkata kira-kira 16,000 penumpang menaiki monorel berharga RM15.5 juta itu bagi laluan sejauh 1.6 kilometer sejak diperkenalkan tahun lepas. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan