Berita Harian: Wilayah |
| Posted: 01 Nov 2011 05:29 PM PDT Wilayah PEGAWAI RELA memeriksa kenderaan yang mengisi minyak di stesen minyak sekitar Padang Besar bagi mencegah penyeludupan minyak ke negara jiran. PADANG BESAR: Kumpulan penyeludup yang bergiat aktif di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, di sini dikesan semakin kecut perut untuk 'mencuri' diesel serta petrol subsidi negara, selepas empat stesen minyak yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan mereka dikawal rapi anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA). Suasana itu dikesan Berita Harian di dua daripada empat stesen minyak terbabit masing-masing di Batu 20 Jalan Kaki Bukit serta Titi Tinggi Hulu, di sini susulan tinjauan dilakukan pada hari pertama penempatan anggota RELA terbabit di stesen minyak terpilih, semalam. Berdasarkan pemerhatian, beberapa pikap dengan nombor pendaftaran Thailand kelihatan was-was untuk memasuki stesen minyak terbabit, selepas menyedari dua anggota RELA lengkap berpakaian seragam berada di sisi pam.Tambah merisaukan penyeludup, dua anggota terbabit dilihat begitu tekun merekodkan nombor pendaftaran kenderaan serta jumlah bahan api yang diisi setiap kenderaan yang memasuki stesen minyak, sekali gus memungkinkan tindakan mereka terbongkar. Pemangku Pengarah RELA negeri, Abdul Halim Abdullah, berkata tindakan menempatkan anggotanya di stesen minyak terpilih sekitar sempadan adalah antara inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pihaknya susulan kejayaan dicapai melalui tindakan sama di Kelantan bermula Mei lalu. Bagi Perlis, katanya, seramai 18 anggota termasuk dua penyelia akan ditempatkan di semua empat stesen minyak terpilih setiap hari untuk merekodkan jumlah pengisian minyak bagi setiap kenderaan, sekali gus membantu pihak berkuasa mengenal pasti kenderaan yang terbabit dalam penyeludupan.
"Dua anggota akan ditempatkan di setiap stesen minyak secara giliran selama dua syif sehari. Hari ini (semalam) kita dapat lihat sedikit kesan apabila ada antara kenderaan yang sering digunakan untuk tujuan penyeludupan seolah-olah takut untuk memasuki premis, sebelum terus berlalu sejurus melihat kehadiran kami," katanya ketika ditemui meninjau empat pam minyak terbabit, semalam. Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) KPDNKK, Ahmad Dahuri Mahmood, melancarkan penempatan anggota RELA di stesen minyak terpilih di Stesen Caltex Batu 20 Jalan Kaki bukit, di sini. Difahamkan, ada lebih 22,000 anggota RELA berdaftar di seluruh Perlis, bagaimanapun hanya sejumlah kecil daripada mereka akan terbabit dalam penempatan terbabit secara giliran. |
| Sukan rakyat taraf antarabangsa Posted: 01 Nov 2011 05:28 PM PDT Wilayah BOT berhias pasukan peti undi Teluk Pasu-MARDI johan Sukan Rakyat Mega di Sungai Nerus. KUALA TERENGGANU: Bot berhias pasukan peti undi Teluk Pasu-MARDI bermotif ayam juara Pertandingan Bot Berhias sempena Sukan Rakyat Mega Teluk Pasu di sini, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000. Tempat kedua dimenangi pasukan peti undi Kebor Besar-Jabatan Perikanan Negeri dengan hadiah wang tunai RM3,000, manakala ketiga peti undi Jeram-Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan memperoleh RM2,000. Pengerusi pertandingan bot berhias Peti Undi Teluk Pasu, Mohamad Zali Zakaria, 48, berkata kemenangan itu kebanggaan pasukan selepas memerah idea untuk dizahirkan pada bot berhias berkenaan dan antara bot yang menggunakan kos paling minimum.Beliau berkata, pasukannya seramai 10 orang mengambil konsep bentuk ayam, sejajar dengan sejarah Teluk Pasu.
"Kita menzahirkan objek ayam tema bot dan tidak menyangka jadi juara pertandingan ini.
Mohamad Zali berkata, program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu yang disertai sembilan pasukan itu menarik minat penduduk menyertainya. "Program ini adalah yang paling meriah dan unik pernah diadakan di negeri ini. Malah, jika kita lihat dari segi kehadiran penduduk cukup ramai. Sambutan dan kerjasama yang diberikan juga amat bagus dan kita patut bersyukur dengan kerjasama dan keprihatinan kerajaan negeri dan wakil rakyatnya menganjurkan program ini. "Justeru, kita sangat berharap pertandingan dan program seumpama itu dijadikan acara tahunan," katanya. Hadiah disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sambil disaksikan ADUN Teluk Pasu selaku penganjur, Datuk Abd Rahin Mohd Said yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri. Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman; ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh dan Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa. Penduduk setempat turut menyertai sukan rakyat pada sebelah siang membabitkan pelbagai acara termasuk tarik tali, boling kelapa, menganyam ketupat, baling telur, rakit darat, baling bola dalam jaring dan sepak raga bulat. Sementara itu, pengunjung, Zaini Hamzah, 50, dari Kampung Masjid Buluh Gading berkata, beliau terkejut melihat kehadiran ramai penduduk seolah-olah ia program antarabangsa, sedangkan ia hanya membabitkan kawasan DUN Teluk Pasu dan sekitarnya. Pengunjung, Rafazirah Remali, 19, dari Kampung Gong Badak, berkata dia mendengar mengenai program itu daripada rakan dan terpanggil untuk datang bagi melihat kemeriahan pertandingan bot berhias yang selalunya diadakan di Putrajaya. "Selalu kita lihat pertandingan ini diadakan di Lembah Klang, tetapi kini ia berjaya dianjurkan di kawasan kampung kami," katanya. Sementara itu, Ahmad mengucapkan tahniah kepada Abd Rahin kerana berjaya menganjurkan program berkenaan yang mendapat sambutan luar biasa dan dilihat sebagai satu penambahbaikan daripada penganjuran sukan biasa dengan mengadakan pertandingan bot berhias. |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan