Selasa, 1 November 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Pelajar tulang ‘S’ perlu RM41,000

Posted: 31 Oct 2011 04:53 PM PDT

Wilayah

KEADAAN tulang belakang Siti Nur Natasya (kiri) dan Nur Ezani.

KEADAAN tulang belakang Siti Nur Natasya (kiri) dan Nur Ezani.

Nur Ezani, Siti Nur Natasya sukar tidur selesa akibat masalah dialami

KUALA LUMPUR: "Saya meminati mata pelajaran Sains dan suka menyelidik, suatu hari nanti saya ingin menjadi saintis," kata Nur Ezani Amira Hamidan, 15, seorang daripada dua pesakit yang memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan kerana menghidap masalah tulang belakang bentuk 'S'.

Nur Ezani Amira, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading yang baru saja menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu, memerlukan sumbangan sebanyak RM20,500 untuk menjalani pembedahan November ini. Seorang lagi pesakit ialah Siti Nur Natasya Mohd Rais, 20, pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Taman Permas Jaya, Johor Bahru yang akan menjalani pembedahan pada Disember ini, memerlukan sumbangan dengan jumlah sama RM20,500.

Nur Ezani Amira yang berasal dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor berkata dia berharap dapat cepat sembuh untuk meneruskan persekolahan seperti biasa selepas menjalani pembedahan itu.

"Saya memang memerlukan pembedahan secepat mungkin kerana tulang belakang sudah bengkok 80 peratus. Kesihatan saya semakin teruk dan tidak selesa untuk duduk.

"Tidur saya juga mudah terganggu disebabkan masalah tulang belakang yang saya alami," katanya ketika ditemui di Balai Berita The New Straits Press (M) Berhad (NSTP), di sini, semalam.
Siti Nur Natasya yang berasal dari Masai, Johor pula berkata, tulang belakangnya kini membengkok 60 peratus dan kesihatannya semakin bertambah teruk kerana mudah berasa penat dan letih.

"Saya tidak boleh tidur terlentang atau mengiring. Kalau lakukan juga, ia boleh menyebabkan belakang badan semakin sakit.

"Oleh itu, saya hanya tidur meniarap yang secara tidak langsung mengganggu pernafasan saya," katanya.

Siti Nur Natasya berkata, dia terpaksa membatalkan hasrat untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun lalu kerana perlu menjalani pembedahan tulang belakangnya.

Bagaimanapun, katanya apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan apabila pembedahan itu terpaksa ditunda kerana kesihatannya tidak mengizinkan.

Oleh itu, katanya untuk tahun ini dia akan menduduki peperiksaan STPM terlebih dahulu sebelum menjalani pembedahan.

"Saya harap mendapat sumbangan yang diperlukan untuk menjalani pembedahan tulang belakang saya," katanya yang menderita sakit sejak berusia sembilan tahun.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada dua pelajar terbabit boleh menghantar cek atau wang pos kepada The New Straits Times Press (M) Bhd, Bahagian Kewangan/Tabung Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama pesakit berkenaan di belakang cek itu.

Full content generated by Get Full RSS.

Lima tahun hidu bau busuk

Posted: 31 Oct 2011 04:51 PM PDT

Wilayah

  PENDUDUK tidak dapat menahan bau busuk ketika mendekati   sistem vakum yang gagal  berfungsi dan  tidak diselenggara oleh  pemaju.

PENDUDUK tidak dapat menahan bau busuk ketika mendekati sistem vakum yang gagal berfungsi dan tidak diselenggara oleh pemaju.

Penduduk di Bukit Merah dakwa pemaju gagal baiki sistem kumbahan

BAGAN SERAI: Beratus penduduk di satu kawasan perumahan di Bukit Merah, dekat sini, terpaksa menghidu bau busuk dan terdedah kepada limpahan air najis apabila sistem kumbahan di kawasan itu gagal berfungsi sejak lima tahun lalu akibat tidak dibaiki.

Pengerusi persatuan penduduk kawasan perumahan itu, Abo Bakar Mohd Nor, mendakwa pihaknya sudah beberapa kali membuat aduan dan menghantar surat mengenai masalah itu kepada pemaju, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil. Katanya, penduduk berdepan pencemaran bau kerana penyelenggaraan sistem kumbahan di kawasan itu gagal berfungsi, menyebabkan bau najis dan limpahan air kotor itu menjejaskan kehidupan harian orang ramai.

"Keadaan lebih buruk apabila hujan lebat kerana air najis akan melimpah keluar dan memasuki rumah penduduk berdekatan sehingga memaksa mereka membersihkan rumah," katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau berkata, apabila masalah itu diajukan kepada pemaju, jawapan yang diterima adalah mesin pam kumbahan itu rosak dan memerlukan kos tinggi untuk dibaik pulih.

Katanya, pemaju mendakwa setiap kali hendak menghidupkan mesin pam kumbahan itu, ia memerlukan kira-kira 20 liter minyak dan membabitkan kos RM700.
"Kami fikir alasan itu tidak munasabah kerana kos berkenaan bukan masalah kami, sebaliknya tanggungjawab pemaju untuk menyelesaikannya.

"Kami sudah membuat aduan kepada Pejabat Perumahan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar bagi memaklumkan masalah ini, tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil," katanya.

Abo Bakar berkata, masalah itu berlarutan sejak 2006 dan sepanjang tempoh berkenaan penduduk terpaksa menahan bau busuk setiap hari.

Katanya, paling teruk ketika musim hujan lebat kerana air najis itu melimpah keluar serta mengotori rumah penduduk.

"Kami berharap agensi dan pihak berkaitan prihatin dengan masalah ini, termasuk wakil rakyat atau exco melakukan tinjauan untuk melihat sendiri masalah yang dialami penduduk di kawasan perumahan itu," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan