Berita Harian: Nasional |
| Posted: 18 Nov 2011 05:11 PM PST Nasional Kepemimpinan Perdana Menteri di pentas antarabangsa turut dikagumiPRESIDEN Barack Obama mahu Malaysia yang disifatkannya sebagai negara berpengaruh di rantau ini selain dalam kalangan negara Islam, memainkan peranan produktif, penyelesaian konflik dan boleh membantu ke arah kestabilan serta kemakmuran dunia. Ungkapan itu diluahkan Obama kepada Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak Asia Timur, di Nusa Dua Bali, semalam. Pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu turut menyifatkan Najib sudah mempamerkan kepemimpinan yang hebat bukan saja dalam usaha untuk terus meningkatkan ekonomi Malaysia, tetapi juga kepemimpinan dalam pelbagai forum pelbagai hala. "Hubungan AS dan Malaysia adalah kukuh, yang dapat dilihat melalui isu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). Saya menghargai kerjasama luar biasa yang kami terima.... kami mahu menjadi rakan yang akrab dengan Malaysia" Barack Obama "Malaysia juga komited memastikan keamanan dan kestabilan dalam bidang pengawalan senjata nuklear dan turut mengambil langkah dalam memastikan Malaysia tidak menjadi pusat transit bagi barangan larangan yang boleh digunakan bagi pembuatan senjata nuklear" Najib Razak Malah dalam ucapan pembukaan ringkasnya sebelum mesyuarat itu bermula, Obama berkata, hubungan AS dan Malaysia adalah kukuh, yang dapat dilihat melalui isu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). "Saya menghargai kerjasama luar biasa yang kami terima.... kami mahu menjadi rakan yang akrab dengan Malaysia. "Jadi, terima kasih banyak-banyak Perdana Menteri," katanya dan menambah bahawa kepemimpinan Najib berjaya meneruskan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Dalam ucapan pembukaannya pula, Najib berkata, Malaysia sedia memperluaskan rangkaian perdagangan dan pelaburan dengan TPP. "Diharapkan kami dapat memenuhi tarikh akhirnya tahun depan. Kami melihat ada prospek besar dari segi peningkatan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara kita. "Kami bersedia untuk bekerjasama dalam bidang lain juga," katanya. Perdana Menteri berkata, Malaysia juga amat komited dalam memastikan keamanan dan kestabilan dalam bidang pengawalan senjata nuklear dan turut mengambil langkah dalam memastikan Malaysia tidak menjadi pusat transit bagi barangan larangan yang boleh digunakan bagi pembuatan senjata nuklear. Mesyuarat dua hala itu turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika, Hilary Clinton; Timbalan Ketua Staf untuk Dasar, Nancy-Ann DeParle; Penasihat Keselamatan Negara, Tom Donilon; Penolong Setiausaha untuk Hal-Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Kurt Campbell. Delegasi Malaysia pula termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman dan Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis. Bercakap kepada wartawan Malaysia lewat petang semalam, Najib berkata, pada mesyuarat itu Obama meminta Malaysia mengkaji kemungkinan menyertai Perjanjian Kawalan Senjata Nuklear, tetapi Kuala Lumpur sedang mengkaji implikasinya. "Saya juga menyatakan terima kasih kepada Presiden Obama dengan penghantaran 50 guru bahasa Inggeris di bawah skim yang saya cadangkan, iaitu melalui Suruhanjaya Malaysia-Amerika mengenai pertukaran pendidikan. "Mereka ini akan ditempatkan di Pahang, Terengganu dan Johor. Saya menyatakan bahawa ini adalah respons beliau kepada cadangan yang saya buat di New York pada September 2010. Saya berharap jumlah ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang," katanya. Najib berkata, Obama juga menyentuh mengenai peranan Malaysia di Afghanistan kerana mengambil bahagian melalui penghantaran pasukan perubatan di sana selain berbincang mengenai kedudukan Palestin. |
| Posted: 18 Nov 2011 05:11 PM PST Nasional Bantuan persekolahan tak dituntut akan dikembalikan awal tahun depanKUALA LUMPUR: Ibu bapa yang masih belum berkesempatan mengambil wang bantuan persekolahan RM100 masih boleh mendapatkannya ketika musim cuti persekolahan ini sebelum wang berkenaan dikembalikan kepada kerajaan pada awal tahun depan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata guru besar di sekolah perlu memulangkan kembali wang yang tidak dituntut atau sebarang lebihan kepada kerajaan selepas tempoh berkenaan berakhir. "Sepatutnya wang berkenaan sudah diserahkan menjelang akhir bulan ini, tetapi kita menyedari mungkin ada ibu bapa yang belum berkesempatan mengambil wang itu. Jadi mereka masih boleh mendapatkannya ketika cuti persekolahan," katanya.Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia, di ibu negara semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay serta Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Mohd Zulkifli Mohammed. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, mengulas kebimbangan ramai ibu bapa yang menyatakan mereka tidak sempat mengambil wang bantuan RM100 bagi setiap pelajar yang diperuntukkan kerajaan ketika pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu sebelum pelajar mula bercuti penggal hujung tahun hari ini. "Jika sudah berada di tangan ibu bapa, maka terserah kepada mereka sama ada mereka mahu menggunakannya atau menyerahkan kembali kepada pihak sekolah. Kalau sehingga hujung tahun, guru besar perlu membuat keputusan memulangkan wang berkenaan kepada kerajaan," katanya. Mengulas mengenai Hari UNESCO Malaysia, Muhyiddin berkata, sambutan yang diadakan buat kali pertama selepas 53 tahun Malaysia menyertai badan dunia itu, akan diadakan setiap tahun bagi memperjuang misi mempromosi pendidikan untuk semua (EFA), membasmi kemiskinan, meningkat toleransi, keamanan, menjamin hak sama rata jantina, memulihara warisan dunia serta menjamin kebebasan media. "Malaysia sebenarnya sudah menghampiri sasaran 100 peratus peluang pekerjaan, berbanding sasaran yang ditetapkan UNESCO itu pada 2015. Pengiktirafan UNESCO ke atas peranan Malaysia menjadi lebih menyerlah dengan penubuhan dua institut di Malaysia selain banyak tempat warisan negara yang turut diiktiraf seperti Melaka dan Pulau Pinang. "Saya dimaklumkan, kita dalam proses mendapatkan pengiktirafan tempat bersejarah terbaru iaitu di Lenggong (Perak) dan diharapkan dengan adanya sambutan seperti ini setiap tahun, rakyat lebih terdedah kepada manfaat serta kelebihan penyertaan dalam badan dunia ini," katanya. Sementara itu, Wee berkata, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sekolah yang mengambil kesempatan memotong sesuka hati pemberian bantuan persekolahan berjumlah RM100 yang diberikan kerajaan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. "Bantuan itu adalah hak mutlak pelajar dan golongan berkenaan bebas menggunakan wang terbabit untuk kegunaan persekolahan seperti membeli pakaian, kasut atau beg sekolah," katanya. Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komenFull content generated by Get Full RSS. |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan