Berita Harian: Nasional |
| Semua agensi sedia bantu 1.4 juta mangsa Posted: 15 Nov 2011 03:49 PM PST Nasional MUHYIDDIN melancarkan Portal Banjir MKN selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Persiapan Banjir, di Putrajaya, semalam. PUTRAJAYA: Lebih 28,000 anggota keselamatan selain polis, tentera dan sukarelawan sudah bersiap sedia menghadapi banjir, termasuk memindah serta membantu kira-kira 1.4 juta mangsa di 5,156 pusat pemindahan di seluruh negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah mewujudkan depot bekalan keperluan bencana di lima wilayah dan 477 pangkalan hadapan, lengkap dengan bekalan stok makanan bagi memenuhi keperluan mangsa banjir. Malah, katanya, semua agensi terbabit sudah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dan semua peralatan seperti bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda, helikopter, pam air dan set jana kuasa elektrik juga diselenggara dengan baik serta disimpan di lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan sewaktu banjir."Persiapan menghadapi banjir tahun ini lebih baik daripada tahun lalu dan kerajaan sudah bersedia jika banjir berlaku berikutan laporan Jabatan Meteorologi bahawa beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dijangka menerima lebihan hujan antara bulan ini hingga Mac 2012. "Selain itu, jabatan terbabit turut meramalkan fenomena air pasang besar pada 25 Disember dan 23 Januari depan. Jadi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diminta menyelenggara sungai dan longkang tersumbat khususnya di kawasan berisiko banjir," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Persiapan Banjir di sini, semalam. Hadir sama Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab. Portal itu boleh dilayari menerusi http://portalbanjir.mkn.gov.my atau www.facebook.com/informasibencana atau www.twitter.com/@portalbanjir. Sementara itu, Muhyiddin juga meminta semua media elektronik menyediakan kapsul maklumat bencana dan slot khas bagi memudahkan pihak berkuasa menyalurkan maklumat banjir, termasuk amaran awal kepada orang ramai. Mengulas persiapan Kementerian Pelajaran menghadapi banjir, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian sudah mengaktifkan persediaan sewajarnya khususnya di 510 sekolah rendah dan menengah yang berisiko tinggi dilanda banjir di seluruh negara. Beliau berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) turut melancarkan Ops Payung bagi menghadapi banjir, selain menempatkan dewan peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di aras satu bangunan sekolah, terutama di kawasan berisiko banjir. Selain itu, katanya, 2,459 sekolah di 120 daerah dan kawasan juga sudah dikenal pasti sebagai pusat penempatan mangsa banjir. Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komenFull content generated by Get Full RSS. |
| Istana lama tutup secara rasmi Posted: 15 Nov 2011 03:46 PM PST Nasional Pintu masuk utama dikunci penuh istiadat tanda perpindahan ke Jalan DutaKUALA LUMPUR: Pintu masuk utama Istana Negara di Jalan Istana, di sini dikunci secara rasmi semalam dengan penuh istiadat menandakan perpindahan rasmi tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong ke Istana Negara yang baru di Jalan Duta. Istiadat khas menurunkan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dimulakan dengan perarakan masuk pengawal istana dan panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dianggotai dua pegawai dan 58 anggota lain-lain pangkat diiringi pasukan pancaragam RAMD. Bendera diturunkan tepat jam 9.25 pagi dengan penuh hormat diiringi tiupan 'Paluan Akhir' menandakan secara rasmi bangunan berkenaan tidak digunakan lagi dan berpindah ke Jalan Duta.Semua tetamu jemputan kemudian bergerak ke hadapan pintu masuk utama Istana Negara bagi menyaksikan penyerahan bendera daripada Pemangku Pegawai Memerintah RAMD, Mejar Mohd Fakhri Abu Bakar yang mengetuai pengawal istana kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Mohd Tengku Farok Hussin Tengku Jalil menandakan berakhirnya penugasan tentera di bangunan berkenaan. Mengakhiri istiadat, Batalion Pertama RAMD bersama 12 unit berkuda Skuadron Istiadat Berkuda Kor Amor Diraja memberi tabik hormat sebelum pintu utama Istana dikunci secara rasmi oleh Ketua Bentara. Sementara itu, istiadat menaikkan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Jalan Duta, dimulakan di Dataran Istana Negara dengan perarakan masuk kumpulan pengawal istana bersama panji Batalion Pertama RAMD diiringi pasukan pancaragam RAMD. Sementara itu, Asisten Ketua Staff Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Abdul Aziz Ibrahim, berkata kawalan keselamatan bagi Istana Negara Jalan Duta masih kekal dengan kekuatan seramai 130 pengawal istana dari RAMD bagi memastikan kawasan berkeluasan 96.52 hektar sentiasa selamat dan terjaga. Beliau berkata, ia bersesuaian keluasan istana yang juga sebagai tempat istiadat utama serta kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong. "Ia dikawal sepenuhnya Batalion Pertama RAMD yang turut melaksanakan kawalan kehormat negara pada setiap majlis rasmi yang dijalankan," katanya selepas istiadat menaikkan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong di sini semalam. |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan