Ahad, 6 November 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Aidiladha disambut sederhana

Posted: 06 Nov 2011 02:04 PM PST

Nasional

28,000 jemaah haji Malaysia bertumpu di Mina untuk melontar jamrah

KUALA LUMPUR: Aidiladha semalam disambut umat Islam di seluruh negara secara sederhana dan dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir ekoran musim tengkujuh mula melanda beberapa negeri.

Masjid dan surau rata-rata dipenuhi jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha serta mengadakan ibadat korban, yang turut dihadiri barisan pemimpin di negeri masing-masing. Dalam pada itu, seramai 28,000 jemaah haji Malaysia, termasuk Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Kira-kira tiga juta jemaah haji seluruh dunia kini bertumpu di Mina untuk menyempurnakan ibadat melontar jamrah.

"Moga Allah menerima ibadat haji saya dan isteri. Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di Malaysia dari Mina. Alhamdulillah, urusan haji kami sudah selesai," kata Perdana Menteri melalui Twitter.

Di KOTA BHARU, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Muhammadi di sini, bersama ribuan rakyat jelata.

Baginda yang berpakaian baju Melayu hijau muda, bersalaman dengan orang ramai yang sedang menunggu di sepanjang laluan ke kenderaan diraja sebaik selesai sembahyang sunat itu.
Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra. Antara pemimpin yang hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Di ALOR SETAR, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, bersama Sultanah Haminah Hamidun berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Zahir di sini.

Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Rasli Basir, bersama beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kira-kira jam 8.30 pagi.

Sejurus selesai solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim, orang ramai mengambil kesempatan bersalaman serta beramah mesra bersama Sultan dan Sultanah.

Di IPOH, Pemangku Raja, Raja Dr Nazrin Shah, menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 3,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah di Jalan Dairy di sini bermula kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Turut berangkat Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, dan Raja Kechil Tengah Perak, Raja Datuk Seri Ashman Shah.

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bersama kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim, Bukit Palah.

Hadir sama Speaker DUN, Datuk Wira Othman Muhamad, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh.

Di KUCHING, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, bersama 5,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Negeri.

Beliau bersama isteri, Puan Sri Ragad Walid Kurdi, berserta barisan Kabinet negeri turut mengambil peluang bersalaman dengan umat Islam.

Di SANDAKAN, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 rakyat di Masjid Taman Merpati, di sini.

Turut sama isterinya, Datin Seri Faridah Tussin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris, manakala Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menunaikan fardu haji.

Full content generated by Get Full RSS.

Ramai setuju bersara 60 tahun

Posted: 06 Nov 2011 02:00 PM PST

Nasional

Bebanan simpanan pesaraan dapat dikurangkan: Jobstreet.com

KUALA LUMPUR: Kebanyakan pencari kerja di negara ini bersetuju dengan cadangan menaikkan umur persaraan, langkah yang mereka jangka akan mengurangkan bebanan simpanan ekoran peningkatan jangka hayat.

Dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Jobstreet.com pada bulan lalu, 72 peratus daripada responden menyokong gesaan untuk menaikkan umur persaraan daripada 55 tahun, dengan kebanyakan mereka (34 peratus) menyatakan mereka memilih untuk bersara pada umur 60 tahun. Sebanyak 15 peratus menyatakan mereka memilih untuk bersara pada usia 65 tahun, manakala 12 peratus berkata mereka lebih suka jika tiada umur maksimum ditetapkan bagi persaraan.

Sebanyak 84 peratus berkata, adalah perlu untuk menaikkan umur persaraan berikutan peningkatan jangka hayat akan memberikan bebanan lebih tinggi kepada simpanan, manakala 73 peratus berkata langkah itu akan memastikan pengekalan pekerja mahir, khususnya dalam profesion yang memerlukan banyak pengalaman.

Bagaimanapun, kaji selidik itu mendapati mereka yang menyokong langkah berkenaan turut bimbang pekerja yang dikekalkan mungkin menjadi kurang efektif akibat semakin berusia (46 peratus) dan juga isu kesihatan akan menghalang mereka daripada bekerja secara berkesan (46 peratus).

Menurut kenyataan itu, 28 peratus yang tidak bersetuju dengan langkah menaikkan umur persaraan ialah daripada kumpulan umur lebih muda, antara 18 dan 35 tahun ekoran kebimbangan mereka bahawa pekerja akan menjadi kurang efektif apabila usia meningkat.
Sebab kedua ialah tawaran kerja di pasaran semakin sedikit untuk graduan, katanya.

"Sesetengahnya, berpendapat pekerja berusia sepatutnya menikmati persaraan lebih awal daripada memanjangkan tempoh kerja mereka," menurut Jobstreet.

Sementara itu, 64 peratus responden juga bersetuju skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipinda selaras dengan umur persaraan yang baru, dengan majoritinya berharap diberikan pilihan untuk mengeluarkannya pada umur 55 tahun.

Ramai juga mencadangkan pengeluaran simpanan KWSP patut dikawal oleh skim fleksibel yang membenarkan pengeluaran sebahagian bagi mencegah pekerja daripada kehabisan dana pencen mereka. – BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan