Rabu, 23 November 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


NFC: Polis rakam kenyataan beberapa individu

Posted: 23 Nov 2011 03:12 AM PST

Mutakhir

SHAH ALAM: Polis sudah merekod kenyataan daripada lebih empat orang bagi memudahkan siasatan terhadap kemungkinan berlaku jenayah pecah amanah membabitkan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Mereka termasuk Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata siasatan berjalan lancar sejak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kes itu kepada polis baru-baru ini. "Lebih daripada tiga hingga empat orang dipanggil bagi memudahkan siasatan. Mohamad Salleh hadir di Jabatan Jenayah Komersial (di Bukit Aman) semalam untuk kenyataannya direkodkan.

"Polis sedang menyiasat perkara itu dari semua sudut," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ibu pejabat baru Kontinjen Polis Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di sini hari ini.

Sambil menyatakan beliau ada mendengar pelbagai versi kes itu, Ismail berkata orang ramai hendaklah mengelak membuat spekulasi.

"Tolong jangan buat spekulasi. Kita mesti berlaku adil kepada semua pihak oleh kerana kes ini masih disiasat," katanya.
Isu NFC timbul selepas laporan Ketua Audit Negara 2010 menarik perhatian bahawa projek itu tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Mengenai perkara lain, Ismail menggesa media jangan membuat spekulasi mengenai penahanan 13 orang daripada Darul Islam yang disyaki pengganas di Tawau minggu lalu.

Akhbar The Star melaporkan hari ini mereka yang ditahan itu adalah sebahagian dari satu kumpulan dipercayai merancang membunuh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri tempatan.

Siasatan awal menunjukkan kumpulan itu menampakkan tanda-tanda yang mereka cuba menghasut pihak tertentu melakukan aktiviti berbahaya terhadap negara.

Menyebut sumber pembanterasan terrorisme, laporan itu menyatakan mereka juga merancang menahan seorang pegawai polis sebagai tebusan bagi mendapatkan pembebasan rakan mereka. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tun M sokong Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman

Posted: 23 Nov 2011 02:30 AM PST

Mutakhir

JITRA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan di Parlimen semalam dan menyifatkan sebagai penting untuk mengawal perhimpunan supaya bebas daripada unsur-unsur keganasan atau perbuatan yang membawa kerugian kepada pihak lain.

"Tujuan akta ini baik...di samping untuk mencegah pihak tertentu mengambil kesempatan di tempat tertentu agar keganasan tidak menjadi masalah kepada negara," katanya apabila diminta mengulas pembentangan Rang Undang-undang itu.

Rang Undang-undang itu yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam mengandungi antara lain transformasi terhadap kerangka undang-undang sedia ada berkaitan hak dalam perlembagaan untuk warga negara berhimpun dan menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata. Dr Mahathir yang juga pengerusi Dairei Asia Sdn Bhd ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembuatan -60°C Super Freezer antara Dairei Asia Sdn Bhd (Dairei) dan Zun Utara Industri Sdn Bhd (Zun Utara) di kawasan perindustrian Bandar Darulaman di sini hari ini, berkata kerajaan bertanggungjawab melindungi hak orang ramai.

Pada majlis menandatangani itu Dairei Asia diwakili dua Pengarah Eksekutifnya, Jiro Suzuki dan Yoshiaki Kurita manakala Zun Utara diwakili Pengarah Urusannya, Lim Hock Huat dan pengarah, Johnny Lim.

Mengenai saranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) diadakan serentak untuk menjimatkan perbelanjaan, masa dan tenaga, Dr Mahathir berkata ia adalah wajar.

Katanya mengadakan PRU secara berasingan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya membazir wang kerana ia membabitkan kos yang tinggi dan perbelanjaan kewangan negara akan meningkat.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata semalam, beliau akan menemui kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, kerajaan DAP Pulau Pinang dan kerajaan PAS Kedah dan Kelantan untuk menerangkan cadangan mengadakan PRU serentak bagi Parlimen dan DUN.

Pada 17 November lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata DUN Selangor tidak akan dibubarkan pada awal tahun depan meskipun kerajaan persekutuan membubarkan Parlimen dan hanya bersedia menyertai PRU-13 jika diadakan selepas Jun 2012.

Mengenai pendirian Menteri Besar Selangor berhubung isu itu, Dr Mahathir berkata parti lawan tidak akan puas hati jika tidak membuat masalah kepada kerajaan. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan