Khamis, 3 November 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Peragut dicekup orang awam selepas larikan beg tangan wanita

Posted: 03 Nov 2011 03:07 AM PDT

Mutakhir

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas meragut beg tangan seorang wanita di Pasar Sri Setia di sini, dicekup orang awam selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah motosikal lain.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia lewat 20-an sedang berjalan di sebuah lorong di tepi pasar berkenaan sambil mengendong bayinya sebelum suspek yang menunggang motosikal dari arah belakangnya meragut beg tangannya.

Namun, peragut berumur 20-an itu gagal mengawal motosikalnya sebelum merempuh motosikal lain dari arah belakang menyebabkan suspek terjatuh dan melarikan diri meninggalkan motosikalnya. Suspek kemudian dikejar peniaga pasar berkenaan sebelum ditangkap dan dibelasah di depan deretan kedai berhampiran pasar.

Anggota polis dari Balai Polis Sungei Way, yang berdekatan lokasi kejadian, tiba beberapa minit kemudian sebelum menahan suspek dan membawanya ke balai polis.

Mangsa dan anaknya tidak cedera.

Peniaga jagung, Saidi Maskor, 36, ketika ditemui berkata, kes ragut membabitkan mangsa wanita sudah beberapa kali berlaku di kawasan pasar berkenaan memandangkan ia sering menjadi tumpuan orang ramai.
"Biasanya, peragut menjadikan wanita yang berjalan sendirian di lorong tepi pasar ini sebagai mangsa. Kejadian ini bukan kes pertama berlaku di sini," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

MKN sedia pelan hadapi banjir

Posted: 03 Nov 2011 02:47 AM PDT

Mutakhir

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah bersiap sedia dan ada perancangan dan maklumat daripada setiap agensi bagi menghadapi banjir yang dijangka lebih besar berikutan peralihan musim Monsun Timur Laut bulan depan.

Setiausahanya, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, berkata MKN sudah bermesyuarat dengan pelbagai agensi yang berkaitan dalam menghadapi banjir seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ia sudah dimulakan seawal 1 Julai lalu dan kita sudah mendapat maklumat mengenai persedian dan perancangan setiap agensi. Namun, kita akan tetap mengadakan satu menyuarat khas yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadualkan pada 15 November ini," katanya ketika dihubungi. Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin sebagai berkata kerajaan lebih bersedia bagi menghadapi gelombang banjir yang dijangka lebih besar berikutan peralihan musim Monsun Timur Laut bulan depan.

Dalam laporan itu, Timbalan Perdana Menteri juga berkata beliau akan mendapatkan maklumat daripada pelbagai agensi kerajaan bagi merangka persiapan untuk menghadapi bencana itu.

Mohamed Thajudeen berkata, mesyuarat pada 15 November ini, setiap agensi kerajaan dan pihak yang terbabit dalam menghadapi banjir akan memberikan persediaan dan perancangan terakhir mereka dalam menghadapi banjir.

MKN adalah agensi utama yang diamanahkan menjalankan pelan kecemasan semasa banjir, dasar dan mekanisme pengurusan dan bantuan bencana negara.
Mohamed Thajudeen berkata, MKN sentiasa bersedia berhadapan dengan gelombang banjir tetapi mengambil iktibar dengan banjir yang berlaku di Thailand.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan mereka dan mendengar nasihat daripada pihak berkuasa semasa banjir berlaku.

"Saya ingin mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa prihatin dengan keselamatan anak-anak mereka ketika banjir agar dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata pihaknya sememangya sentiasa bersiap sedia memberikan bantuan jika banjir berlaku. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan