Utusan Online - Timur |
350 peniaga gesa MPKB jelas bayaran subsidi Posted: 350 peniaga gesa MPKB jelas bayaran subsidi
KOTA BHARU 24 Dis. - Seramai 350 peniaga Pasar Borong Wakaf Che Yeh menuntut kerajaan negeri membayar balik rebat atau subsidi bayaran memasuki premis itu sehingga 50 peratus harga jualan tapak yang dijanjikan kepada mereka sebelum ini. Pengerusi Pertubuhan Usahawan Kecil Pasar Awam Bersepadu Wakaf Che Yeh, Asiah Rasid, 50, berkata, janji itu diberikan sebelum mereka berpindah ke premis perniagaan baru di Pasar Bersepadu Wakaf Che Yeh pada 1 Julai 2008. "Kerajaan negeri berjanji menanggung kos kira-kira RM1.2 juta yang terpaksa dibayar kepada pihak pemaju. "Pemberian subsidi sebanyak 50 peratus itu ialah bagi bayaran asal RM2,000 dan RM2,500 yang dikenakan kepada peniaga pasar malam dan pasar pagi di tapak asal di Wakaf Che Yeh, namun sehingga kini tiada sebarang bayaran yang diberikan walaupun sudah lebih dua tahun berlalu," katanya ketika ditemui semalam. Menurutnya, persatuan telah menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) pada April tahun lalu tetapi sehingga sekarang tiada sebarang maklum balas yang diterima. Menurut Asiah, keadaan menjadi lebih rumit apabila peniaga mula mendesak persatuan mengembalikan duit mereka sedangkan persatuan tidak menerima apa-apa bayaran berhubung masalah tersebut. "Sekarang timbul masalah kononnya pihak berkenaan telah membayar wang tersebut kepada persatuan menyebabkan peniaga mendesak persatuan memberi wang itu. "Pihak bertanggungjawab sepatutnya mengambil tindakan sewajarnya bukannya dengan mengambil sikap lepas tangan seperti ini," katanya. Seorang peniaga, Siti Noor Omar yang sudah lebih 19 tahun berniaga di kawasan itu berkata, selain masalah bayaran balik subsidi itu, peniaga di pasar itu juga hairan dengan sikap pihak pengurusan pasar yang tidak menetapkan keseragaman mengenai bayaran tapak. Katanya, ada peniaga yang terpaksa membayar RM2,000, RM2,500 dan RM5,000 untuk mendapatkan tapak jualan. Namun katanya, terdapat segelintir peniaga yang langsung tidak dikenakan sebarang harga untuk menjalankan aktiviti perniagaan di pasar berkenaan. | ||
KADA terus bantu petani miskin menerusi pelbagai projek Posted: KADA terus bantu petani miskin menerusi pelbagai projekBACHOK 24 Dis. - Petani miskin di kawasan operasi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terus mendapat pembelaan Kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai program ekonomi dan keusahawanan menerusi pelaksanaan agenda membasmi kemiskinan tegar. Anggota Lembaga Pengarah KADA, Datuk Dr. Ilias Hussin berkata, bermula September lepas peruntukan sebanyak RM4 juta diluluskan bagi membangunkan projek ekonomi berasaskan industri kecil dan sederhana di empat jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Ketereh dan Bachok. Menurutnya, matlamat utama ialah melahirkan 100 usahawan pertanian yang berdaya maju dan mampu berdikari bagi setiap kawasan yang dipilih dengan melaksanakan tiga tanaman iaitu cendawan, cili fertigasi dan itik telur. "Usaha yang dijalankan ini membolehkan mereka (petani) memperoleh hasil pendapatan di antara RM750 sehingga RM1,000 sebulan untuk melepasi garis pendapatan miskin tegar," katanya selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah di Sekolah Kebangsaan Keting dekat sini hari ini. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meluluskan peruntukan lebih RM273,000 untuk membekalkan beg dan pakaian seragam sekolah kepada 1,826 pelajar sekolah rendah dan menengah di jajahan ini. Hari ini, 670 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol, SMK Seri Gunung, SMK Jelawat, SMK Kubang Telaga, Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, SK Kuchelong, SK Kubang Telaga, SK Bakong, SK Alor Bakat, SK Telaga Ara dan SK Keting menerima bantuan berkenaan. Ilias yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok berkata, sebelum ini kebanyakan petani KADA yang dipilih menyertai program berkenaan hanya berpendapatan di antara RM300 hingga RM500 sebulan. Katanya, projek menanam cendawan di daerah itu diberi fokus utama kerana hasil tanaman itu dibeli dalam kuantiti yang banyak oleh Koperasi Bela Rakyat DUN Jelawat untuk dipasarkan ke beberapa pasar raya besar di ibu negara, Negeri Sembilan dan Melaka. Beliau berkata, koperasi itu memerlukan sebanyak lapan tan metrik cendawan sehari bernilai RM8,000 yang turut dilanggan secara tetap oleh 100 pemborong bagi pasaran dalam negeri. Selain itu jelasnya, seramai 24 petani KADA di daerah ini turut terpilih sebagai peserta Program Satu Azam Akhiri Zaman Kemiskinan yang mendapat peruntukan sebanyak RM10,000 setiap orang untuk melaksanakan projek pemprosesan makanan berasaskan hasil pertanian dan perniagaan yang berkaitan dengan industri asas tani. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan