Utusan Online - Selatan |
Posted: 5 sahabat STIAS rangkul 9AOleh AINOL AMRIZ ISMAIL
REMBAU 23 Dis. - Berkat membaca dan memahami isi kandungan al-Quran serta mendekati persekitaran ilmu membuatkan lima sahabat baik termasuk sepasang adik- beradik memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini. Mereka ialah Muhammad Mu'az Malizan, 15; Muhammad Syahir Samsudin, 15; Zaidatul Hanim Zainal Abidin, 15, dan pasangan adik- beradik, Syed Ali Abdul Rahman Alhadad, 16 dan Syarifah Amnah Abdul Rahman Alhadad, 15. Kesemua mereka merupakan pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di sini memberitahu, belajar secara berkumpulan merupakan resipi kejayaan, selain berkat doa dan mendekati bacaan al-Quran. Menurut Muhammad Mu'az, dorongan ibu bapa dan guru di STIAS menjadikan dirinya lebih insaf untuk mengulangkaji pelajaran, selain mendapati kemuliaan al-Quran itu membuatkan hatinya lebih mudah menerima ilmu dan pelajaran. ''Saya menghafal ayat suci al-Quran dan hadis. Ia mendorong saya untuk memudahkan penerimaan ilmu dalam subjek peperiksaan lainnya," kata anak kedua dari empat adik-beradik ini. Sementara itu, Syed Ali memberitahu, untuk berjaya dia sentiasa menggunakan falsafah iaitu jangan hanya mengejar kejayaan, sebaliknya hendaklah mengejar kecemerlangan. ''Ini kerana jika kita mengejar kecemerlangan, maka kejayaan akan mengejar dari belakang," ujarnya. Adiknya, Syarifah Amnah berkata, perbanyakkan selawat dan mahabbah kepada Rasullullah SAW juga merupakan rahsia kejayaan memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam PMR. ''Kita harus yakin dengan apa yang kita lakukan dan hendaklah sentiasa bersabar dalam menghadapi apa juga kesukaran dan kepayahan,'' katanya. Dalam pada itu, Zaidatul Hanim dan Muhammad Syahir berkata, bimbingan guru, ustaz dan ustazah di STIAS ini benar-benar memberikan 'sentuhan' luar biasa dalam kecemerlangan pendidikan. Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Halim Abdul Razak berkata, pencapaian calon PMR sekolah kerajaan pada tahun ini di negeri ini dalam 15 mata pelajaran adalah yang terbaik berbanding tiga tahun lalu. Keputusan itu diukur daripada pencapaian cemerlang iaitu semua A, pencapaian yang baik iaitu minima D dan Gred Purata Negeri (GPN) yang diperoleh pada angka 2.71. ''Pencapaian cemerlang iaitu semua A dalam PMR tahun ini telah meningkat sebanyak 64 orang iaitu 1,418 orang pada tahun lalu kepada 1,482 orang pada tahun ini,'' katanya. | ||
Posted: Melaka perlu RM2 bilionMELAKA 23 Dis. - Kerajaan negeri memerlukan peruntukan berjumlah RM2 bilion untuk menjadikan Melaka sebagai negeri dalam bandar yang pertama diwujudkan di negara ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, peruntukan tersebut diperlukan bagi pembinaan empat jejambat persimpangan bertingkat antara Ayer Keroh ke pusat bandar yang dianggarkan menelan belanja sehingga RM40 juta. Menurutnya, projek tersebut turut melibatkan pembinaan jalan empat lorong menghubungkan Melaka dengan Johor dan Negeri Sembilan. "Kerajaan negeri berharap Kerajaan Pusat dapat memberi perhatian terhadap peruntukan ini bagi membolehkan ia dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). "Ini kerana, di Melaka, bagi suku pertama lalu, kita hanya menerima tidak sampai RM1 bilion," katanya baru-baru ini. Mohd. Ali berkata, pembinaan jalan empat lorong yang dikenal pasti itu adalah jalan pantai menghubungkan Banda Hilir, Ayer Keroh-Durian Tunggal-Batang Melaka, Bemban-Jasin-Tangkak dan Kandang-Jasin-Selandar dan Muar-Linggi. "Disebabkan Melaka menjana pendapatan penduduknya melalui sektor pelancongan, maka pembinaan jalan itu sudah tentu memberi punca rezeki baru kepada penduduk tempatan. "Ini akan memberi pendapatan kepada penduduk setempat melalui sektor peruncitan, perhotelan, perkhidmatan dan pengangkutan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan