Utusan Online - Jenayah |
Posted: 47 GRO warga asing diserbu
PULAU PINANG 25 Dis. – Meskipun tangkapan dilakukan hampir setiap hari, kegiatan warga asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di negeri ini terus berlaku. Awal pagi ini, 47 lagi GRO dari Vietnam, China dan Thailand ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Jones di sini. Pusat yang sama pernah diserbu awal tahun ini dan beberapa kali tahun lalu. Namun, seperti kebiasaannya, selepas beberapa minggu serbuan dilakukan, ia akan beroperasi semula dengan menggunakan perkhidmatan GRO baru. Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abdul Qadir Siddiq Ahmad berkata, dalam 'Ops Sayang' itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pengurus di pusat hiburan berkenaan dan seorang lelaki warga Myanmar. Katanya, kesemua GRO terbabit iaitu 28 warga Vietnam, 18 China dan seorang Thailand bertempiaran lari termasuk cuba meloloskan diri dari pintu depan dan belakang premis apabila pusat hiburan yang menjadi 'sarang' kegiatan tidak bermoral itu diserbu pihak imigresen. Namun, cubaan GRO wanita yang berpakaian merah ala Santa Claus sempena sambutan Krismas itu tidak berhasil apabila mereka semua dicekup oleh pihak berkuasa. "Tujuh pegawai dan anggota Jabatan Imigresen serta 19 pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang terlibat dalam operasi bersama yang bermula pada pukul 12.45 pagi hingga 4 pagi itu. "Hasil pemeriksaan ke atas 12 bilik karaoke di situ, kita menahan kesemua 47 GRO tersebut yang ketika itu melayan pelanggan masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Turut hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah Pengarah SPRM negeri, Datuk Latifah Md. Yatim. Kelmarin, 24 GRO warga asing ditahan di sebuah pusat hiburan eksklusif di Persiaran Gurney oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri kerana dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral. Abdul Qadir berkata, hasil siasatan awal mendapati semua GRO berusia 20 hingga 30 tahun itu bukan sahaja menjalankan aktiviti tidak bermoral malah menetap di sini melebihi tempoh yang ditetapkan. Katanya, semua wanita terbabit kini ditahan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 55 (b) akta yang sama kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta melanggar syarat permit. "Pengurus premis pula akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji dan melindungi warga asing tanpa permit," katanya. | ||
Posted: Enam maut nahasOleh ASSIM HASSAN KUALA LUMPUR 25 Dis. - Enam maut dalam kemalangan jalan raya di empat lokasi berasingan di sekitar ibu negara awal pagi ini yang membabitkan kereta dan motosikal. Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, dalam kejadian antara pukul 1.15 pagi dan 4 pagi ini, kesemua mangsa yang berumur 18 hingga 55 tahun mati di tempat kejadian. Beliau berkata, kejadian pertama berlaku pada pukul 1.15 pagi apabila dua motosikal dari arah bertentangan bertembung di Jalan Pudu menyebabkan kedua-dua penunggang, Fong Kam Wah, 55, dan Fong Kel Uin, 19, mati di tempat kejadian. Menurutnya, 50 minit kemudian satu lagi kemalangan berlaku melibatkan kereta yang dipandu oleh Eng Tiong Kiong, 36, dari Paloh, Johor yang hilang kawalan di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL-Barat (Sprint) dan merempuh persimpangan jalan berhampiran KL Sentral. "Kejadian ketiga pula berlaku kira-kira pukul 4 pagi di Jalan Tun Razak apabila motosikal yang ditunggang oleh S. Vines Veran, 18, terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh belakang sebuah kereta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Tambah Abdullah, kemalangan keempat berlaku 30 minit selepas kejadian ketiga di Jalan Cheras yang melibatkan tiga kenderaan. Beliau berkata, pemandu kereta iaitu seorang mekanik dari Semenyih, Selangor, Tan Kim Fat, 32. Menurutnya, mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar sebuah papan tanda sebelum merempuh bahagian belakang sebuah jip yang menjalankan kerja-kerja mencantas pokok di jalan itu. Katanya, ekoran hentaman kuat itu, Kim Fat dan salah seorang penumpang di dalam kereta itu, Hoh Tian Yoon, 25, mati di tempat kejadian. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan