Berita Harian: Nasional |
Semangat muhibah anugerah berharga Posted: 24 Dec 2010 09:14 AM PST Nasional KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, semangat muhibah adalah anugerah amat berharga di negara ini, sekali gus berharap seluruh rakyat majmuk akan terus menyemarakkannya tanpa terbatas dalam musim tertentu saja. Malah, Perdana Menteri berkata, setiap perayaan kebudayaan mahu pun keagamaan disambut di Malaysia, menjadi satu peringatan amat menggembirakan mengenai kekayaan serta kekuatan dalam kepelbagaian yang dimiliki rakyat negara ini. Justeru, walaupun hanya 9.1 peratus rakyat negara ini menganut agama Kristian dan meraikan Krismas, beliau berkata, aspek komersial serta kebudayaan musim perayaan itu, terutama perbuatan memberi hadiah, sudah diterima lebih ramai golongan."Sungguhpun pada awal tahun ini negara kita digegarkan dengan tindakan melampau oleh sebilangan kecil puak yang menentang komuniti Kristian, kita berjaya mengembalikan perasaan aman dan harmoni. "Sifat yang menjadi penyelamat kita dalam hal ini ialah semangat kita miliki sebagai masyarakat yang percaya kepada rasa hormat-menghormati dan saling menerima antara satu sama lain terhadap sudut pandangan kita yang unik serta pelbagai. "Inilah semangat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya dalam blog: www.1malaysia.com.my, semalam, sempena sambutan perayaan Krismas hari ini. "Adalah menjadi harapan setulus ikhlas saya agar kita dapat meneruskan tindakan saling beri-memberi anugerah rasa muhibah yang sungguh berharga ini, bukan setakat musim percutian ini saja, malah ke tahun-tahun seterusnya tanpa ada noktah," katanya. Sementara itu, dalam perutusan yang sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kesederhanaan dalam mengamalkan ajaran agama sama ada yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau Sikh selama ini menjadi kunci kepada keamanan dan keharmonian negara. Timbalan Perdana Menteri berkata dengan mengamalkan sikap sederhana, rakyat akan sentiasa rasional dan tidak mudah dipengaruhi emosi ketika melalui detik sukar dalam hubungan antara agama. "Sempena sambutan perayaan Krismas pada tahun ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada masyarakat Kristian di Malaysia yang sentiasa mengambil pendekatan sederhana dalam mengamalkan ajaran agama. "Sikap kesederhanaan dalam amalan agama adalah benteng utama yang boleh membendung gejala ekstremisme dalam mana-mana agama," katanya. Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar meneruskan sikap yang sederhana dalam mengamalkan kepercayaan agama, di samping menerima perbezaan dengan hati terbuka sekali gus menyuburkan semangat perpaduan yang sekian lama dibina. Sambil mengucapkan selamat Hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian, Muhyiddin mengajak seluruh rakyat agar saling menghormati antara satu sama lain kerana dalam sebuah masyarakat berbilang agama, menghormati perbezaan kepercayaan agama adalah prasyarat utama kehidupan yang harmoni. "Adalah suatu kebiasaan bagi kita untuk menjalin persahabatan dengan rakan daripada kaum dan agama yang berbeza. Malah, kita juga tidak kekok untuk mengunjungi sahabat-handai yang berlainan agama dengan menghadiri rumah terbuka yang diadakan sempena sambutan perayaan keagamaan masing-masing," katanya. |
69 peratus berpuas hati kepemimpinan Najib Posted: 24 Dec 2010 09:14 AM PST Nasional KUALA LUMPUR: Sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal tinggi apabila 69 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan pencapaian beliau, sementara 53 peratus berpuas hati dengan keadaan ekonomi negara pada masa ini, demikian menurut tinjauan Merdeka Center yang disiarkan semalam.Tinjauan melalui temubual telefon secara rawak bermula 30 November hingga 11 Disember lalu membabitkan 1,005 pengundi berdaftar berumur 21 tahun ke atas itu mendapati, 22 peratus 'amat berpuas hati' dengan pencapaian Perdana Menteri, sementara 47 peratus 'agak berpuas hati'. Dari segi pecahan kaum pula, 74 peratus Melayu, 54 peratus Cina dan 85 peratus India melahirkan rasa puas hati terhadap kepemimpinan beliau mentadbir negara. Bagaimanapun, peratusan rakyat yang berpuas hati itu menurun berbanding 72 peratus yang dicatatkan Mei lalu, selain rasa tidak puas hati yang meningkat kepada 24 peratus daripada 21 peratus pada Mei.Tinjauan mendapati, penurunan peratusan itu berpunca daripada pengurangan subsidi oleh kerajaan terhadap barangan keperluan rakyat termasuk minyak dan gula, Sementara itu, tiga daripada empat penanda aras yang digunakan untuk mengukur sentimen rakyat terhadap ekonomi negara menunjukkan peningkatan peratusan berbanding Mei lalu termasuk enam kepada 52 peratus yang berpuas hati dari segi tahap pendapatan peribadi, lapan kepada 48 peratus bagi peluang pekerjaan dan enam kepada 50 peratus bagi peluang perniagaan. Selain itu, sebanyak 46 peratus rakyat yakin dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan kerajaan September lalu dan sembilan peratus dilaporkan 'sangat yakin' yang program itu akan membawa Malaysia menjadi negara maju. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan