Sabtu, 8 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


KL destinasi beli-belah utama

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

KUALA LUMPUR 8 Jun - Kuala Lumpur kini sedia berkembang di samping London, sebagai destinasi beli-belah utama dunia dengan pelbagai program, kempen dan aktiviti usaha sama yang dilaksanakan antara Malaysia dan United Kingdom (UK).

Untuk menjadikannya realiti, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Simon Featherstone (gambar) berkata, kempen Great British Fashion" akan diadakan di Malaysia pada November depan.

Ini merupakan inisiatif bersama pada skala besar pertama oleh kedua-dua kerajaan bagi mempromosi Kuala Lumpur sebagai destinasi beli-belah dan dengan itu memperluas pasaran runcit UK di Malaysia dan Asia.

Kempen tersebut menyokong kuat komitmen kedua-dua perdana menteri kita untuk menggandakan perdagangan antara negara kita dari 4 bilion kepada 8 bilion menjelang 2016 di samping mendorong perkembangan pelaburan.

Pertunjukan fesyen hari ini adalah langkah pertama dalam program aktiviti bagi mempromosi Kuala Lumpur di samping London sebagai salah satu destinasi beli-belah utama dunia," katanya dalam ucapan alu-aluan di pertunjukan previu Fesyen Hujung Minggu Kuala Lumpur di kediaman rasminya di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Azizan Noordin dan Duta Pelancongan Malaysia, Datuk Jimmy Choo.

Lima restoran kotor ditutup

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) menunjukkan merasmikan program Hari Bersama Pelanggan 2013 di KL Sentral, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan (kanan) dan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Adnan Md. Ikshan (dua dari kiri) dan . - BERNAMA

KUALA LUMPUR 8 Jun - Sekurang-kurangnya lima restoran di ibu negara diarahkan tutup sejak beberapa minggu lepas kerana gagal menepati tahap kebersihan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Beliau berkata, sejak mengambil alih kepimpinan kementerian itu, beliau mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Kesihatan meninjau tempat makan awam seperti restoran dan medan selera yang didakwa kotor serta mempunyai tikus hasil maklum balas daripada pengguna.

Kalau restoran itu terlalu kotor, ia akan ditutup dan setakat ini, lebih daripada lima atau enam restoran telah pun ditutup," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan Kementerian Wilayah Persekutuan bersama agensinya di sini hari ini.

Beliau berkata, selain tempat makan, pemantauan kebersihan itu membabitkan jalan raya dan taman-taman rekreasi.

Ini adalah untuk memastikan persekitaran hidup kita bersih dan tidak lagi dibelenggu isu penyakit dan kotor," katanya. - BERNAMA

SP Setia tambah polis bantuan

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Liew Kee Sin menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota polis bantuan di Majlis Pentauliahan Polis Bantuan SP Setia di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 8 Jun - Pemaju hartanah, SP Setia Berhad (SP Setia) merancang menambah 500 lagi anggota polis bantuan di kawasan perbandaran yang dibangunkan syarikat itu bagi meningkatkan kualiti kehidupan penduduk terutama daripada aspek keselamatan.

Presidennya, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, dengan adanya ramai polis bantuan di kawasan perumahan perbandaran SP Setia, secara tidak langsung ia dapat membantu mengurangkan kadar jenayah yang dilihat semakin membimbangkan dan menjadi ancaman kepada masyarakat.

"Polis bantuan akan sentiasa membuat rondaan di setiap kawasan bagi memberi jaminan kepada penduduk dan masyarakat setempat yang kami sentiasa mementingkan aspek keselamatan mereka.

"Buat masa ini, kami mempunyai seramai 120 anggota polis bantuan yang telah tamat latihan pada Mei lalu dan bersedia memberikan perkhidmatan kepada masyarakat," katanya kepada pemberita dalam Majlis Pentauliahan Polis Bantuan SP Setia di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi SP Setia, Tun Zaki Tun Azmi. Yang hadir sama ialah Pengerusi Yayasan SP Setia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Menurut Kee Sin, SP Setia akan menempatkan 77 anggota polis bantuan yang telah ditauliahkan di kawasan di Lembah Klang, manakala selebihnya akan ditempatkan di pembangunan mereka di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

"Kita berharap agar anggota polis bantuan ini dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan dan sentiasa memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugasan mereka demi keselamatan masyarakat.

"Penduduk tidak perlu khuatir dengan keselamatan masing-masing kerana kita turut menawarkan latihan dalaman bagi memastikan dan memudahkan proses asimilasi anggota polis bantuan ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan