Isnin, 24 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Menimba ilmu di Sungai Lembing

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@utusan.com.my

Sebahagian daripada ahli Pandu Puteri Tunas ceria ketika memasuki terowong bijih timah dalam lawatan ke Muzium dan Terowong Bijih Timah sempena Perkhemahan Pandu Puteri Tunas Peringkat Negeri di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 24 Jun - Suatu ketika dahulu, Sungai Lembing yang terletak kira-kira 42 kilometer dari bandar Kuantan merupakan tempat pengeluar utama bijih timah di Pahang.

Penghasilan bahan galian itu menjadikan pekan Sungai Lembing yang turut menempatkan perkampungan Inggeris di Lembah Sungai Kenau, sebuah pekan yang terkaya di negeri ini sehingga diberi jolokan "El Dorado Timur" suatu ketika dahulu.

Aktiviti lombong bawah tanah di Sungai Lembing dikatakan bermula secara intensif sejak 1882 lagi dan dikatakan antara lombong bawah tanah terbesar di dunia.

Terowong bijih timah di situ disifatkan yang terpanjang dan terdalam di dunia.

Mengikut laporan, panjang keseluruhan terowong bijih itu ialah 322 kilometer dengan kedalaman antara 500 meter hingga 700 meter.

Kewujudan bijih timah yang dibangunkan oleh penjajah Inggeris menyebabkan pekan Sungai Lembing berkembang pesat sekitar 1880-an.

Perkembangan ini membuktikan daerah ini telah maju sejak berabad lagi dan ia perlu dibanggakan oleh semua rakyat negeri ini.

Justeru pendedahan daripada kecil lagi perlu dibuat bagi memberi penerangan bahawa Pahang telah maju sejak dahulu lagi.

Menyedari hakikat itu, seramai 329 murid sekolah rendah yang menyertai Perkhemahan Pandu Puteri Tunas peringkat negeri baru-baru ini dibawa melawat muzium dan terowong bijih timah di sini.

Lawatan itu turut disertai oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Pandu Puteri Pahang.

Program yang turut disertai oleh 56 guru pengiring itu bermula pukul 7 pagi iaitu apabila semua murid berkumpul di tapak perkhemahan mereka di Taman Pertanian di sini sebelum bertolak ke Sungai Lembing.

Program sehari itu bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai sejarah kewujudan kawasan tersebut.

Kesemua murid terbabit dibawa melawat muzium sebelum memasuki terowong bijih timah yang merupakan produk pelancongan terbaharu di negeri ini.

Bagi seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Rentam, Triang, Nur Husnina Diana Ikmal Hisyam, 10, berkata, ini merupakan kali pertama dia datang ke situ dan memasuki terowong bijih timah.

Tambahnya, dia berasa kagum kerana dapat menyaksikan sendiri pelbagai barang antik yang belum pernah dilihatnya sebelum ini.

"Saya tidak pernah melihat barangan melombong secara dekat kerana selama ini hanya menonton dalam televisyen," katanya di sini.

Rakannya, Norziatul Nadia Jamlus, 12, berkata, terowong tersebut masih mengekalkan keasliannya terutama daripada segi reka bentuk dan strukturnya yang tersendiri.

"Saya sendiri tidak dapat menggambarkan perasaan teruja apabila menyusuri terowong berkenaan dan merasai sendiri pengalaman berada di dalam tanah sama seperti para pelombong suatu ketika dahulu.

"Seronok dapat belajar tentang sejarah aktiviti melombong yang tidak akan dijumpa di tempat lain," katanya.

Bagi murid SK Jerantut, Nur Ifhami Mohd. Suhaimi, 11, pengalaman memasuki terowong tidak mampu digambar dengan kata-kata.

"Sebelum ini hanya baca dalam akhbar sahaja tentang terowong ini dan tak sangka pula dapat masuk. Harap lepas ini boleh datang lagi," katanya.

Seorang murid SK Kampung Keledek, Lipis, Norhidayu Abdullah, 11, berkata, banyak yang dapat dipelajari ketika melawat ke muzium itu.

"Memang macam-macam sejarah yang sebelum ini kita tidak tahu ada di sini. Saya pun tidak sangka bahawa terowong bijih timah ini dalam," katanya.

Pahang mampu tingkat pengunjung

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Oleh ZAMZURINARINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 24 Jun - Pahang dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini dengan pelbagai produk dan ikon pelancongan yang dimilikinya sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, produk dan ikon pelancongan yang mengikut tema Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP) terdapat di negeri ini.

Tambahnya, antara produk tersebut adalah beriadah bersama keluarga, pantai, tanah tinggi, keindahan alam semulajadi, santuari penyu, santuari gajah, aktiviti lasak dan hiburan.

"Kedatangan pelancong ke negeri ini meningkat kepada 9.76 juta pada tahun lalu berbanding 9.68 juta pada 2011.

"Justeru, kita menyasarkan sebanyak 10.5 juta pelancong sempena TMM 2014 dengan pendapatan RM 7.5 bilion dan jumlah tersebut adalah kira-kira 38 peratus daripada disasarkan negara iaitu 28 juta pelancong dengan pendapatan RM78 bilion," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Taklimat TMM 2014 kepada Penggiat Industri Pelancongan Pahang dan Majlis Dialog di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Rashidi Hasbullah; Pengurus Besar Sekretariat TMM 2014, Nor Yahati Awang dan Pengarah Pejabat Pelancongan Pahang, Idrus Yahya.

Menurut Sharkar, beliau berharap melalui kempen dan promosi TMM 2014 selain peningkatan pasaran domestik dan Singapura, bilangan pelancong asing akan terus meningkat di kawasan tanah tinggi terutama dari China, India, Rusia dan Timur Tengah.

"Bagi memastikan matlamat dan objektif TMM 2014 tercapai, Pahang akan meneruskan aktiviti dan acara pelancongan berimpak tinggi seperti Basikal Mania, Festival Tanah Tinggi, Festival Pulau, Eco-Tourism, Festival Pekan dan Festival Buah-buah serta makanan tradisional.

"Justeru, kerjasama daripada semua pihak termasuk penggiat industri pelancongan adalah penting supaya apa yang dihasratkan akan direalisasikan dengan jayanya," jelas beliau lagi.

Sementara itu, katanya, dalam keadaan beberapa negeri dilanda jerebu termasuk Pahang, beliau menasihatkan orang ramai termasuk pelancong sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai Indeks Pencemaran Udara (IPU).

"Saya harap mereka sentiasa mendapatkan maklumat terkini dan para pelancong dari luar disaran memilih lokasi yang tidak terlibat dengan fenomena jerebu atau mengelak daripada melakukan aktiviti luar," jelasnya sambil menggesa umat Islam melakukan solat hajat.

320 peserta kemahiran, keusahawanan terima sijil ECERDC

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Abdul Rahman Mohamad (tengah) bersama sebahagian daripada 440 peserta latihan kemahiran keusahawanan ECERDC dan juga pelajar cemerlang SPM 2012 Program Empower ECER Lipis selepas majlis graduasi di Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 24 Jun - Sebanyak 320 peserta latihan kemahiran dan keusahawanan Empower Lipis di sini menerima sijil anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam satu Majlis Graduasi yang diadakan di Dewan Residen di sini semalam.

Pada majlis itu juga, sebanyak 120 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang menyertai Program Latihan Akademik Empower ECERDC turut menerima hadiah dan sijil penghargaan.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohammad.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial ECERDC, Zulkifli Yaacob dan Pegawai Eksekutif ECER, R. Surindran.

Zulkifli ketika ditemui pemberita berkata, peserta berkenaan menerima sijil masing-masing setelah berjaya menamatkan latihan selama 10 bulan dalam latihan kemahiran dan keusahawanan.

Tambahnya, mereka menyertai latihan kemahiran seperti membuat kek, menjahit, andaman pengantin, masakan 1Malaysia, pendawaian dan perpaipan, pengurusan runcit, kaunter depan dan membaik pulih telefon.

"Program Empower ECER memberi fokus terhadap penambahan kemahiran keusahawanan untuk orang dewasa dan kecemerlangan akademik peperiksaan utama dalam kalangan pelajar miskin," katanya.

Menurut Zulkifli, pihaknya menyasarkan sebanyak 2,400 peserta termasuk pelajar miskin di Pahang Barat untuk diberi latihan sama tahun ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, sejak dilancarkan pada 2011, program berkenaan menyaksikan pencapaian memberangsangkan para peserta keusahawanan menerusi sektor ekonomi manakala pelajar pula dalam bidang akademik.

"Program itu memenuhi keperluan kebajikan dan menambah pendapatan kumpulan sasar dan sudah terbukti wujudnya industri kecil dan pasaran produk makanan di setiap kampung di daerah ini.

"Saya bersyukur kerana ada peserta yang merintis perniagaan dalam bidang makanan sejak dua tahun lalu kini memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM20,000 dan minimum RM1,500 sebulan dalam kalangan suri rumah tangga yang menguruskan produk makanan, andaman dan jahitan di rumah masing-masing," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan