Khamis, 27 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Gamit kenangan zaman 'hingusan'

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
utusanpenang@utusan.com.my

Seorang pengunjung melihat koleksi permainan kanak-kanak sejak dari zaman British di Ben's Vintage Toy Museum.

PULAU PINANG 26 Jun - Melangkah masuk ke dalam Ben's Vintage Toy Museum pastinya membuatkan pengunjung teringat kembali zaman kanak-kanak mereka.

Biarpun muzium ini tidak segah yang lain, koleksinya sudah cukup untuk membuatkan kita tersenyum dan tertawa sebaik melihat kembali permainan yang mungkin pernah kita miliki semasa zaman 'hingusan' dahulu.

Dengan lebih 10,000 koleksi permainan dari era 1800 hingga penghujung tahun 1990-an, muzium yang terletak di Lebuh Acheh di sini harus menjadi lokasi wajib apabila berkunjung ke Pulau Mutiara.

Bermula dengan koleksi miniatur yang menjadi peneman kanak-kanak hingga ke permainan robot yang direka pada 1980-an, semuanya terdapat di muzium ini.

Menurut pengurusnya, Malik Ben, 21, idea untuk membuka muzium sedemikian tercetus semasa dia bersama keluarganya melawat sebuah muzium kanak-kanak di Jerman beberapa tahun lalu.

"Keluarga saya bermula daripada arwah datuk sememangnya minat mengumpul barangan antik untuk dijadikan koleksi.

"Pelbagai koleksi yang dikumpul termasuk permainan kanak-kanak. Dari situ timbul idea untuk berkongsi koleksi kami dengan masyarakat.

"Di samping berkongsi koleksi yang dimiliki, kami juga mahu menggamit kembali nostalgia di zaman kanak-kanak yang pastinya gembira apabila memiliki alat permainan terutama koleksi terbaharu yang dikeluarkan di pasaran ketika itu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, muzium yang menghimpunkan set permainan kanak-kanak masih belum dipelopori atau dibangunkan secara meluas di negara ini.

Jelas Malik, di rantau ini, muzium seumpama itu banyak terdapat di Singapura.

"Bukan tiada muzium kanak-kanak, cuma ia kurang terutama muzium permainan malah koleksi yang dipamerkan juga tidak banyak.

"Sebenarnya kalau menyebut permainan kanak-kanak, banyak koleksi yang boleh kita pamerkan seperti robot, basikal, kereta kawalan jauh dan bermacam-macam lagi seperti apa yang pernah kita miliki atau idamkan semasa kecil dahulu," ujarnya.

Apa yang membuatkan Ben's Vintage Toy Museum istimewa adalah kira-kira 60 peratus koleksinya merupakan permainan yang terdapat di negara ini sejak zaman British lagi.

Kebanyakan permainan berkenaan dibawa masuk ke negara ini oleh pegawai-pegawai British yang dihantar ke sini untuk bertugas sehingga permainan berkenaan menjadi popular di kalangan penduduk tempatan.

Permainan tersebut diperolehnya dari kedai-kedai barangan terpakai, malah ada juga yang dibeli terus daripada peminat barangan antik lain dan menerusi gedung Internet,"

Bercerita lanjut, Malik berkata, antara koleksi istimewa yang terdapat di muzium berkenaan adalah basikal Penny-farthing yang popular pada 1880-an, permainan kereta kawalan jauh yang digemari kanak-kanak pada 1980-an dan trak berkuasa enjin stim yang dicipta pada 1928.

"Selain itu kami juga ada koleksi basikal kanak-kanak yang popular pada 1800-an di Eropah iaitu Tricycle Horse.

"Bukan sahaja orang dewasa yang teruja malah kanak-kanak yang berkunjung ke sini juga turut sama seronok apabila dapat melihat permainan yang kini menjadi nostalgia," katanya.

UTC Kedah beroperasi Julai ini

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh SHAHNI FARHANA
MAT SAHIR
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 26 Jun - Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM40 juta dijangka beroperasi di Kompleks Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Jalan Kolam Air mulai 22 Julai ini.

Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, UTC Kedah yang berkeluasan 77,688 meter persegi di bangunan enam tingkat itu merupakan UTC kelima di negara ini selepas dibuka di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang dan Perak.

Menurut beliau, UTC Kedah menyediakan perkhidmatan di bawah 10 kluster termasuk keselamatan, kesihatan, perkhidmatan, kewangan, pembangunan belia, utiliti dan pendidikan.

"Bangunan itu nanti turut menyediakan bilik mesyuarat berkapasiti 150 orang dan dua bilik seminar serta gelanggang futsal di tingkat atas," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mat Noh berkata, sehingga kini sebanyak 22 jabatan kerajaan dan swasta telah membuat pengesahan untuk beroperasi dan akan ditempatkan mulai 15 Julai ini.

Menurutnya, antara jabatan terlibat adalah Klinik 1Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Apabila siap kelak, UTC Kedah akan memudahkan orang ramai berurusan di bawah satu bumbung, tidak perlu ke sana sini," katanya.

Tambahnya, kemudahan lot tempat kereta juga disediakan di bangunan tersebut sebanyak 400 lot.

Terdahulu sebanyak 21 Ahli Majlis MBAS dilantik bagi penggal 2013 hingga 2014.

Mat Noh berkata, pelantikan itu terdiri daripada kalangan profesional, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penjaja, belia dan ahli korporat.

"Selepas ini kita akan buat lantikan jawatankuasa kecil mengikut keupayaan masing-masing dan cuba seimbangkannya," katanya.

8,000 penutup hidung dan mulut diagih kepada sekolah

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Muhammad Farid Saad memakaikan topeng hidung dan mulut kepada seorang murid di SK Titi Teras di Balik Pulau, Pulau Pinang, semalam.

BALIK PULAU 26 Jun - Kesibukan tugas bukan penghalang buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad mendekati masyarakat setempat kerana beliau mempunyai pelbagai cara tersendiri untuk berhubung dengan mereka.

Antaranya menerusi laman sosial seperti Facebook yang membolehkan penduduk mengadu atau mengemukakan apa juga cadangan secara terus dengannya.

Sejak jerebu melanda negara, beliau mendapat banyak permintaan menerusi Facebook daripada penduduk Pulau Betong untuk mendapatkan penutup hidung dan mulut.

Terpanggil dengan keluhan penduduk, hari ini beliau menyumbangkan sebanyak 8,000 penutup hidung dan mulut untuk diagih-agihkan kepada murid dan pelajar sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong.

Muhammad Farid berkata, penggunaan penutup hidung dan mulut mampu menghindarkan golongan pelajar daripada terdedah kepada persekitaran tidak sihat yang disebabkan oleh jerebu.

"Kita sayangkan anak-anak ini (pelajar). Walaupun sumbangan saya tidak seberapa namun sekurang-kurangnya penutup hidung dan mulut ini dapat menghalang debu dan habuk asap daripada memasuki sistem pernafasan mereka.

"Saya juga meminta guru-guru supaya mengambil kesempatan ini dengan menanam sifat cintakan alam sekitar agar pencemaran sebegini menjadi satu iktibar buat kita semua," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis pengagihan penutup hidung dan mulut kepada 17 sekolah dalam DUN Pulau Betong yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Titi Teras di sini hari ini.

Muhammad Farid turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar semasa jerebu.

"Jika terpaksa berada di luar rumah, pastikan memakai penutup hidung dan mulut yang sesuai, minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan