Ahad, 30 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Pas boikot PRK Kuala Besut?

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Oleh KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Jun - Adakah Pas akan memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut sebagaimana disarankan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng?

Persoalan ini timbul apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyatakan cadangan Guan Eng itu akan diteliti.

Menurut Mustafa, parti itu akan merujuk kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang sebelum mengambil keputusan sama ada bertanding atau memboikot pilihan raya kecil tersebut.

Pimpinan Pakatan kena berbincang dahulu betul-betul kalau hendak memboikot (PRK DUN Kuala Besut), apa-apa keputusan perlu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng dalam satu majlis di Kulaijaya, Johor hari ini mencadangkan Pas untuk memboikot PRK DUN Kuala Besut ekoran isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang dakwanya tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Kuala Besut menyaksikan kekosongan selepas penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru berair pada 26 Jun lalu.

Menurut Mustafa, biarpun cadangan untuk memboikot dikemukakan, Pas akan tetap membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

Bagi Pas, kita akan tetap membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil ini, itu tanggungjawab kita dengan dibantu rakan-rakan parti pakatan," katanya.

Wujud isu cantas dalam DAP

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Oleh Farabi Sheikh Said al Jabri
pengarang@utusan.com.my

David Dass (kanan) menunjukkan Sijil A sebagai bukti cawangan membayar yuran tahunan dan layak mengadakan AGM ketika mengadakan sidang akhbar di Seremban, semalam.

SEREMBAN 30 Jun - ''Itu bukan pembohongan tetapi itulah kebenaran yang cuba disembunyikan oleh pimpinan DAP untuk menutup kesilapan mereka!

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass berhubung wujudnya isu mencantas cawangan yang bertindak lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember lalu.

Malah, katanya, isu mencantas ahli DAP sememangnya berlaku apabila ada dalam kalangan mereka tidak diberi notis untuk hadir dan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

''Saya sendiri menjadi mangsa apabila tidak menerima jemputan menghadiri AGM cawangan sendiri baru-baru ini. Selain saya, beberapa pemimpin DAP cawangan Ladang Regent dan Taman Tuanku Jaafar turut menerima nasib sama," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Cawangan Desa Dahlia, Richard Francis pula mendakwa, dia kecewa kerana tidak menerima sebarang notis daripada ibu pejabat sehingga tarikh akhir mengadakan AGM sehingga hari ini.

Hal ini kerana, katanya, berdasarkan kepada perlembagaan parti, setiap cawangan perlu diberi notis tujuh hari bagi mengadakan AGM, namun mereka langsung tidak dihubungi atau dimaklumkan mengenai perkara itu.

''Kami yakin ini adalah taktik DAP untuk mengetepikan atau 'mencantas' cawangan yang lantang bersuara," katanya.

Perkara berkenaan turut dipersetujui oleh Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Nilai Perdana, S. Rajashegar yang melihat tindakan berkenaan, sekali gus menafikan hak ahli serta pemimpin cawangan itu dalam parti.

"Tiada alasan kami tidak diberikan sebarang notis kerana kami adalah ahli serta cawangan yang sah dan mempunyai Sijil A iaitu cawangan membayar yuran tahunan dan layak mengadakan AGM.

"Malah, jika kami dipecat daripada parti sekali pun, kami perlu diberi notis pemecatan dan diberi ruang selama 14 hari untuk memberi penjelasan kepada jawatankuasa tatatertib parti," dakwanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan