Sabtu, 22 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kesal pemaju buat tak endah

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

NOOR Azah Bajuri menunjukkan salinan laporan polis mengenai kerosakan rumah miliknya yang terbakar akibat kerosakan suis utama ketika ditemui di Taman Bagan Aman, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam.

pulau pinang 21 Jun - Seorang surirumah mendakwa syarikat pemaju perumahan enggan membayar pampasan selepas rumah teres dua setengah tingkat yang baru didiaminya di Taman Bagan Aman di sini selama 11 bulan terbakar hujung tahun lalu.

Walaupun kejadian yang berlaku pada 6 November 2012 itu hanya melibatkan bahagian stor namun kesan kebakaran itu dapat dilihat di beberapa bahagian dinding rumah termasuk di tingkat dua.

Menurut Noor Azah Bajuri, 50, dia dan suami, Mohd. Anannu Zainol Abidin, 53, membeli rumah itu pada harga hampir RM400,000 sebelum mula mendiami rumah itu bersama lima anak sejak Januari tahun lalu.

"Belum sampai setahun tinggal di situ berlaku kebakaran kecil di bahagian stor rumah menyebabkan banyak barangan yang disimpan musnah serta kesannya jelas kelihatan sehingga ke tingkat dua.

"Hasil siasatan pihak bomba mendapati kebakaran berpunca daripada kerosakan pada suis utama yang terletak di dalam stor itu namun pihak pemaju enggan mengakui kesilapan mereka dan tidak melayan tuntutan ganti rugi yang dibuat," katanya ketika ditemui di Taman Bagan Aman, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

Tambahnya, dia telah menemui pihak pemaju kerana rumah itu masih dalam tempoh jaminan namun mereka enggan bertanggungjawab sebaliknya menyalahkan pihaknya kerana didakwa cuai.

Menurut Noor Azah, sejak kejadian itu dia dan keluarga terpaksa menyewa rumah lain kerana bimbang kejadian sama berulang.

"Selepas kebakaran itu kos sara hidup kami meningkat kerana terpaksa membayar sewa rumah dan pinjaman bank ke atas ansuran rumah yang tidak didiami itu.

"Saya telah berbincang dengan peguam yang memaklumkan saya sepatutnya layak mendapat pampasan kerana kebakaran berpunca dari suis utama dan rumah itu masih dalam tempoh jaminan," ujarnya.

Sehubungan itu, suaminya yang juga kakitangan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) berhasrat mengambil tindakan mahkamah terhadap pemaju sekiranya mereka masih enggan memberi kerjasama.

Sambutan Hari Ibu dan Bapa di Sungai Petani meriah

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

ZAINAB Husain (kanan) membantu Che Embon Nayan dan Nor Amira Maslin memotong pulut kuning sempena Program Sambutan Hari Ibu dan Bapa di Kompleks Penyayang, Sungai Petani, kelmarin.

SUNGAI PETANI 21 Jun - Warga emas, Che Embon Nayan, 95, dari Kampung Tok Abas di sini, menerima kejutan selepas diberi peluang memotong pulut kuning sempena Program Sambutan Hari Ibu dan Bapa di Kompleks Penyayang Sungai Petani di sini semalam.

Program itu dianjurkan oleh Persatuan Ibu-ibu Tunggal Projek Perumahan Rakyat (PPR) 2 Daerah Kuala Muda.

Pengerusi persatuan tersebut, Zainab Husain berkata, Che Embon diberi peluang berbuat demikian kerana dia merupakan antara warga emas yang sanggup hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

Katanya, program itu berjaya mengeratkan hubungan antara ibu tunggal terdiri daripada pelbagai kaum di daerah tersebut.

"Bagi memeriahkan acara, kita turut mengundang ibu muda, Nor Amira Maslin, 25, dari Kampung Teluk bagi memotong pulut kuning sama," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas dalam majlis itu.

Menurut Zainab, program itu mendapat sambutan baik dalam kalangan ahli persatuan tersebut yang kini mencecah hampir 500 orang.

Katanya, tetamu dalam program itu berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan termasuk nyanyian dan tarian.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak termasuk kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kuala Muda kerana memberi kerjasama menjayakan program ini," katanya.

Pastikan pembangunan tidak jejas alam sekitar

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Mukhriz Mahathir dan Mohd. Tajudin Abdullah (kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Excel Agrotex, Mohamed Iqbal S. Habeeb, pemilik Ladang Anggur Tasik Beris di Sik, kelmarin.

SIK 21 Jun- Kawasan luar bandar di negeri ini mempunyai banyak kelebihan tersendiri untuk dibangunkan termasuk sebagai lokasi pelancongan, namun perlu dibangunkan secara lestari dengan mematuhi syarat-syarat dan peraturan ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pembangunan yang hendak dilakukan itu mesti dirancang dengan rapi dan bijak supaya tidak merosakkan alam sekitar terutama tasik-tasik yang terdapat di sekitarnya.

"Kita boleh melakukan pembalakan secara lestari asalkan kegiatan itu tidak musnahkan keseluruhan pokok di kawasan tersebut dan tidak menjadikan alasan sebagai ladang rakyat atau ladang buah-buahan semata-mata untuk mengaut keuntungan secara berlebihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ladang Anggur Tasik Beris sempena lawatan rasminya ke Sik semalam.

Ladang Anggur Tasik Beris merupakan antara lokasi pelancongan yang semakin popular di Kedah dengan jumlah kehadiran pelancong pada tahun lalu adalah 200,010 orang.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan ADUN Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid.

Sementara itu kata Mukhriz, Sik bakal dikenali dengan satu lagi tarikan agropelancongan apabila buah strawberi berjaya dihasilkan di Tasik Beris.

"Selain anggur yang sememangnya terkenal di sini, strawberi juga boleh ditanam di tanah rata. Kewujudan ladang anggur dan strawberi merupakan satu prestasi yang baik untuk dieksploitasikan bagi tujuan pembangunan dan meningkatkan kedatangan pelancong selain menjana hasil pendapatan negeri ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mukhriz memberitahu, pelan tindakan daerah Sik diperkenalkan untuk membangunkan kawasan sekitar termasuk tasik-tasik sedia ada.

Beliau menegaskan, segala pembangunan perlu mematuhi garis panduan serta syarat ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ditanya mengenai pembangunan lain di daerah ini, Mukhriz berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk mewujudkan institusi pengajian tinggi (IPT).

0 ulasan:

Catat Ulasan