Selasa, 11 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Kampung Baru kini lebih bersih

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

JALAN utama dan lorong di Kampung Baru, Kuala Lumpur kelihatan lebih bersih berbanding sebelum program gotong-royong anjuran Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dilaksanakan pada bulan lalu, yang bertujuan menanam kesedaran terhadap penjagaan kebersihan dalam kalangan penduduk. - UTUSAN/NURRAIMI FADHIL ROSLI (Pelatih UNISEL)

KUALA LUMPUR 11 Jun - Usaha Perbadanan Pembangunan Kampung Baru mengadakan program gotong-royong di Kampung Baru, di sini sejak Mei lalu membuahkan hasil apabila kawasan itu kini dilihat lebih bersih dan indah berbanding sebelum ini.

Program yang mendapat kerjasama Alam Flora Sdn. Bhd. serta pihak berkuasa tempatan dan disertai oleh penduduk kampung serta peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu memberi impak besar kepada suasana persekitaran dan landskap Kampung Baru.

Jika sebelum ini tahap kebersihannya tidak memuaskan, namun kini boleh dikatakan 80 peratus lebih bersih.

Tinjauan yang dibuat Utusan Malaysia di Kampung Baru hari ini mendapati, walaupun keadaan jalannya sesak seperti biasa dek kerana orang ramai meletak kenderaan di bahu-bahu jalan, namun suasana persekitarannya lebih bersih.

Malah pengusaha gerai makanan juga kelihatan lebih menjaga kebersihan.

Seorang pemilik kedai jamu, Rahman Rahim, 25, berkata, sejak program gotong-royong diadakan di situ persekitaran kampung yang terletak di tengah bandar raya itu cukup bersih.

"Kita juga maklum di sini terdapat banyak gerai makanan yang menjadi tumpuan orang ramai, oleh itu penjagaan kebersihan amatlah penting bagi mengelakkan masalah kesihatan daripada berlaku.

"Saya harap orang ramai terus menjaga kebersihan dan jadikan sebagai satu amalan," katanya.

Seorang pekerja syarikat swasta, Firdaus Norzilan, 28, berkata, orang ramai perlu sentiasa peka terhadap tahap kebersihan bagi memastikan sesuatu kawasan bebas daripada penyakit.

"Bukan sahaja menghodohkan sesuatu tempat, malah keadaan yang kotor juga boleh mengakibatkan pelbagai penyakit seperti demam denggi, kencing tikus dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah 2 Bahagian Pengurusan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Nor Hafizah Mohd. Sabri berkata, program kebersihan di Kampung Baru dan kawasan sekitarnya akan diteruskan oleh pihaknya.

"Selain fokus kepada pewartaan tanah di Kampung Baru, program kebersihan turut diberi keutamaan dalam menjadikan Kampung Baru serta kawasan sekitar bersih dan hijau.

"Program sebegini tidak akan dapat direalisasikan tanpa kerjasama dan sokongan orang ramai," ujarnya.

SPNB agih zakat keuntungan perniagaan 2011, 2012

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

Dr. Kamarul Rashdan Salleh menandatangani replika cek sambil diperhatikan oleh Mustafa Abdul Rahman (kiri) sebagai simbolik penyerahan zakat perniagaan SPNB di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Jun - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah kira-kira RM562,142 kepada Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, zakat perniagaan yang merupakan hasil keuntungan SPNB pada 2011 berjumlah RM83 juta itu untuk diagih-agihkan kepada tujuh golongan asnaf yang ditetapkan.

"Ini merupakan kali pertama SPNB mengagihkan keuntungan perniagaan kepada golongan yang memerlukan sejak ditubuhkan pada 1997 sejajar usaha kami memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan replika cek zakat perniagaan SPNB kepada Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi SPNB, Datuk Shamshul Baharain Sulaiman dan Ketua Pegawai Teknikal SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali.

Menurut Kamarul Rashdan, SPNB tahun ini turut akan mengagihkan zakat bagi keuntungan perniagaan pada 2012 berjumlah RM84 juta.

"Kita belum tetapkan tarikh penyerahan zakat untuk 2012 tetapi menjangkakan nilai yang bakal disalurkan mungkin sama dengan 2011," katanya.

Tambah beliau, SPNB turut mengambil pendekatan mengagihkan sendiri zakat kepada tiga daripada tujuh asnaf yang diwajibkan.

Katanya, usaha itu bagi membolehkan pihaknya menyelami sendiri kepayahan serta kesukaran hidup golongan tersebut.

"Dengan kebenaran pihak pungutan zakat, SPNB akan turun padang dan menyampaikan sendiri sumbangan kepada tiga asnaf iaitu golongan fakir, miskin dan pejuang fisabilillah," katanya.

55 kes kemalangan elektrik pada tahun ini - TNB

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 11 Jun - Sebanyak 55 kes kemalangan elektrik dicatatkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada tahun ini dengan 28 daripadanya membabitkan kehilangan nyawa.

Pengurus Besar Kanan (Senggaraan Aset), Bahagian Penghantaran Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ho Peng Choong berkata, jumlah itu bagaimanapun menurun sebanyak tujuh kes berbanding tahun lalu.

"Antara punca utama kemalangan elektrik adalah pemasangan dan senggaraan yang tidak sempurna serta prosedur kerja selamat yang tidak dipatuhi.

"Daripada jumlah itu juga, hanya satu kes berlaku di ibu negara dan tidak melibatkan kematian, oleh itu saya mengharapkan Kuala Lumpur akan sifar kemalangan elektrik selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik TNB Peringkat Kuala Lumpur yang berlangsung di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdullah Mad Yunus.

Sementara itu, Peng Choong berharap orang ramai dapat menjadi mata dan telinga TNB untuk memantau dan membanteras perbuatan vandalisme yang boleh mendatangkan masalah terhadap keselamatan elektrik.

"Sifat prihatin dengan menyalurkan maklumat kepada kami atau melaporkan terus kepada polis juga akan dapat membantu mengelak kemalangan dan gangguan bekalan elektrik," katanya.

Dalam pada itu, kempen yang menyasarkan golongan pelajar itu adalah usaha jangka panjang TNB untuk mengurangkan kemalangan elektrik akibat kecuaian.

"Ini merupakan tanggungjawab korporat TNB kepada masyarakat agar lebih peka terhadap penggunaan tenaga elektrik yang selamat dan cara bertindak jika berlaku kemalangan elektrik," kata Peng Choong

Tiada ulasan:

Catat Ulasan