Selasa, 11 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bangunkan industri akuakultur Malaysia

Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

BJ Tan (kanan) bertukar dokumen dengan Su Yong Quan (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Redza Rafiq (tengah) pada majlis menandatangani MoU antara JEFI dan pakar akuakultur China di Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 10 Jun - JEFI Aquatech Sdn. Bhd. (JEFI) hari ini menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bersama pakar akuakultur dari China dan dua buah universiti tempatan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi membangunkan industri akuakultur negara.

MoU itu juga bertujuan membangunkan pengeluaran hasil akuakultur melalui bioteknologi yang disokong oleh Pusat Bioteknologi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Selain itu MoU itu juga bakal merealisasikan usaha antara JEFI dengan pakar-pakar bidang akuakultur dari China serta pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk membawa kemajuan teknologi ke dalam industri akuakultur tempatan serta menjadikan Malaysia sebagai pengeluar produk laut utama di dunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JEFI, BJ Tan, MoU itu menyaksikan pihaknya akan bekerjasama dengan lima orang profesor dan pakar dari Pentadbiran Lautan China, Universiti Xiamen serta Institut Penyelidikan Teknologi Perikanan Wilayah Fujian.

"Untuk UniMAP pula, kami akan bekerjasama dalam membangunkan sistem kitar semula akuakultur manakala bagi USM, ia meliputi sistem penyampaian makanan akuakultur serta penukaran bahan buangan akuakultur seperti kulit udang dan ikan kepada bahan yang memiliki nilai tambah seperti kolagen yang digunakan dalam bidang farmaseutikal," katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq dan Pengarah Projek Berimpak Tinggi-Bidang Ekonomi Utama Negara, Jabatan Perikanan Malaysia Zulkafli Abdul Rashid.

Pada majlis itu Profesor Su Yong Quan dari Universiti Xiamen dan Profesor Lin Xiang Zhi dari Pentadbiran Lautan China turut menyampaikan pembentangan kertas kerja berkaitan bidang akuakultur yang diamalkan di China.

Redza Rafiq pula memberitahu, Koridor Utara memiliki pelbagai faktor yang menjadikan bidang akuakultur menjadi penyumbang aktiviti ekonomi utama termasuk kepelbagaian spesis ikan.

"Selain itu kawasan itu juga memiliki kelebihan dari segi geografi seperti pesisir pantai sejauh 700 kilometer serta beberapa sungai dan sumber air tawar.

"Semua faktor ini membolehkan NCIA menyumbang kepada RM1 bilion penyertaan sektor swasta dalam bidang akuakultur di Utara Malaysia dalam masa tiga tahun lalu," ujarnya.

Pada majlis itu juga, Pertubuhan Pemproses Akuakultur Malaysia (MAPA) turut diperkenalkan yang berperanan sebagai paltform kepada pengusaha dan pemain dalam bidang terbabit yang turut membantu pembangunan industri akuakultur negara.

Sistem pengurusan jalan dilancar

Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Zambry Abd. Kadir (tengah) bersama sebahagian daripada kakitangan JKR Perak dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2012 JKR Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 10 Jun - Kerajaan negeri hari ini melancarkan Pavement Management System iaitu sistem pengurusan turapan jalan bertujuan memastikan kerja-kerja pembinaan atau baik pulih jalan raya di negeri ini dilaksana secara lebih sistematik.

Pelancaran itu sekali gus menjadikan Perak sebagai negeri perintis melaksana sistem berkenaan yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sistem berkenaan bertujuan memberi kemudahan infrastruktur terbaik selain menangani isu kelewatan projek melibatkan pembinaan jalan di negeri ini.

"JKR terdedah kepada banyak kritikan sama ada yang membina atau sebaliknya. Sehubungan itu, dari semasa ke semasa, mereka perlu memperbaiki mutu perkhidmatan selain memastikan kelewatan projek dapat diselesaikan.

"Melalui analisis menggunakan perisian Highway Development Management (HDM-4), sistem itu juga dapat memastikan penggunaan peruntukan secara lebih cekap dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2012 JKR Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengarah JKR Perak, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad.

Dalam majlis itu, sebanyak 183 kakitangan JKR Perak menerima penghargaan tersebut dengan 172 daripadanya terdiri daripada pegawai kumpulan sokongan.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, projek Lebuh Raya Pantai Barat bakal dirasmikan tidak lama lagi setelah tertangguh bulan lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang meneliti masa sesuai dan berhasrat menjemput Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyempurnakan perasmian lebuh raya tersebut.

"Biarpun ada sesetengah pihak mahu kita mengubah sesetengah laluan lebuh raya itu (kerana melalui kawasan dikuasai pembangkang), namun kita akan tetap melaksanakannya kerana kita akan menunaikan janji manifesto pilihan raya.

"Saya yakin rakyat akan bersikap rasional dan tidak akan selama-lamanya digula-digulakan atau diracuni pihak tertentu," katanya.

Belia diseru sumbang idea, bakat majukan Kedah

Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT

MUKHRIZ Mahathir (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Belia Negara 2013 Peringkat Kedah, Kategori Harapan Wanita kepada Nor Idayu Abdul Razak (dua dari kanan) ketika Sambutan Festival Belia 2013 Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini. - BERNAMA

ALOR SETAR 10 Jun - Usaha membangunkan negeri ini perlu dikongsi dan disokong golongan muda yang merupakan aset berharga kepada masa depan bangsa dan negara.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, idea, tenaga dan kebolehan para belia perlu digembleng sebaik mungkin bukan sahaja untuk pembangunan negeri malah menjadi tunjang kepada jatuh bangunnya agama, bangsa dan negara.

Kata beliau, menyedari kemantapan belia sebagai aset adalah proses berterusan, pelbagai sumber akan digunakan bagi memastikan golongan itu sentiasa diutamakan.

"Kerajaan negeri juga amat komited dan sentiasa berusaha mempelbagaikan peluang dan ruang, menyediakan peruntukan serta merangka dasar komprehensif bagi menjana kejayaan dan kecemerlangan golongan belia.

"Saya amat berharap belia menyokong segala usaha kerajaan negeri untuk memajukan Kedah," katanya ketika berucap merasmikan Festival Belia Kedah 2013 di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini kelmarin.

Festival tiga hari berakhir kelmarin yang diisi dengan pelbagai program menarik itu merupakan acara tradisi di peringkat negeri ini bagi memeriahkan sambutan Hari Belia Negara yang ditetapkan pada 15 Mei setiap tahun.

Yang hadir sama, beberapa Exco kerajaan negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar dan Presiden Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK), Ku Iskandar Ku Saad.

Mukhriz berkata, golongan muda diseru sentiasa menetapkan hala tuju jelas selain meneroka potensi diri untuk menjadi modal insan berkualiti dan dinamik yang mampu menyumbang idea serta tenaga ke arah pembangunan negeri.

Menurut beliau, cabaran dihadapi golongan tersebut pada masa ini jauh lebih mencabar berikutan pelbagai kemajuan dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat serta sains yang membawa kepada dunia tanpa sempadan apabila maklumat berada di hujung jari.

"Nikmat kemajuan yang dikecapi ada kalanya boleh menjadi cabaran besar tanpa kita sedari. Anak muda perlu bijak meneliti maklumat yang diterima dengan mata hati di samping membina jati diri kukuh berlandaskan agama sebagai tunjang kehidupan," katanya.

Beliau juga menggalakkan generasi muda bergiat aktif dalam persatuan di kawasan dan organisasi masing-masing.

Katanya, penglibatan mereka bukan sahaja menjadi alternatif aktiviti bagi mengisi masa lapang malah dapat menyemai semangat jati diri serta kesukarelaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan