Khamis, 13 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Bangunkan R&D akuakultur

Posted: 12 Jun 2013 11:20 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

BJ Tan (kanan) bertukar-tukar dokumen dengan Mohd. Azmi Ahmad Hassali sambil diperhatikan oleh Redza Rafiq (dua dari kiri) dalam majlis menandatangani MoU antara JEFI dengan USM dan UniMAP di Batu Kawan, Pulau Pinang, kelmarin.

BUKIT MERTAJAM 12 Jun - Industri akuakultur seperti penternakan ikan, udang, tiram dan pelbagai spesies makanan laut kini semakin berkembang dan mampu menjadi penyumbang utama kepada aktiviti ekonomi dalam bidang perikanan negara.

Menyedari hakikat itu, dua universiti tempatan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama JEFI Aquatech Sdn. Bhd. (JEFI) bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang tersebut.

Selain USM dan UniMAP, JEFI turut menjalin kerjasama bersama beberapa pakar akuakultur dari China iaitu Pentadbiran Lautan China, Universiti Xiamen serta Institut Penyelidikan Teknologi Perikanan Wilayah Fujian.

Ketua Pegawai Eksekutif JEFI, BJ Tan berkata, MoU itu juga bertujuan membangunkan pengeluaran hasil akuakultur melalui bioteknologi yang disokong oleh Pusat Bioteknologi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

"Bagi pihak USM, kami akan menjalin kerjasama untuk menjalankan R&D meliputi sistem penyampaian makanan akuakultur serta penukaran bahan buangan akuakultur seperti kulit udang dan ikan kepada bahan yang memiliki nilai tambah seperti kolagen yang digunakan dalam bidang farmaseutikal.

"Sementara itu bagi UniMAP, kami akan bekerjasama dalam membangunkan sistem kitar semula akuakultur," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq dan Pengarah Projek Berimpak Tinggi-Bidang Ekonomi Utama Negara, Jabatan Perikanan Malaysia, Zulkafli Abdul Rashid.

USM diwakili oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Profesor Madya Dr. Mohd. Azmi Ahmad Hassali manakala UniMAP oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Mohd. Fo'ad Sakdan.

Raja Muda Perlis terima menghadap tiga pemimpin Poland

Posted: 12 Jun 2013 11:20 AM PDT

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) meneliti satu dokumen sewaktu menteri dan dua timbalan menteri Poland menghadap baginda di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut serta Dr. Kamarudin Hussin (kiri).

KANGAR 12 Jun - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil menerima menghadap seorang menteri dan dua timbalan menteri dari Republik Poland di Kuala Lumpur, kelmarin.

Mereka ialah Menteri Pemerkasaan Wanita, Agnieszka Kozlowska Rajewicz bersama Timbalan Menteri Luar Negeri, Beata Stelmach serta Timbalan Menteri Kebudayaan dan Khazanah Negara, Malgorzata Omilanowska.

Ketiga-tiganya menghadap baginda selaku Canselor dan Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Para pemimpin wanita itu berada di ibu negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak Global Wanita 2013.

Turut serta dalam majlis itu ialah Duta Besar Republik Poland ke Malaysia, Dr. Adam Jelonek dan isteri, Magdalena Skowyra; Presiden Persekutuan Majikan Swasta Poland, Lewiatan Henryka Bochniarz dan Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Raja Muda Perlis dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh UniMAP bertitah, universiti itu menjalinkan kerjasama dengan Poland sejak September 2012.

Titah baginda, antara kerjasama tersebut ialah menerusi perjanjian persefahaman dengan tiga universiti iaitu Warsaw University of Technology, Kozminski University dan AGH University of Science & Technology.

Selain itu, UniMAP juga titah baginda lagi, telah menandatangani surat hasrat dengan tiga institusi pengajian tinggi di republik itu iaitu Lodz University, University of Information and Technology Management dan Tischner European University.

Baginda bertitah, beberapa aktiviti penyelidikan dan akademik sedang diatur antara UniMAP dan rakan strategik di Poland hasil kunjungan pegawai UniMAP ke negara berkenaan April lepas.

Selain itu, UniMAP dan institusi pengajian tinggi di Poland juga mengadakan pameran fotografi Polish Peace Exhibition di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP dan Perpustakaan Negara Malaysia, Perlis di Kangar baru-baru ini.

Pada Konsert Seni Diraja Sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-70 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail baru-baru ini, Kedutaan Poland membawa seorang pemuzik terkemuka iaitu Kenneth Teh mengadakan persembahan di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah, sebuah hotel terkemuka di Warsaw juga telah membantu memperkenalkan Perlis menerusi promosi masakan Perlis selama dua minggu.

Raja Muda Perlis turut mempelawa pelabur Poland untuk meninjau sendiri peluang di Malaysia, khususnya di Perlis. - BERNAMA

Malam Seri Anugerah Gemilang UPSI meriah

Posted: 12 Jun 2013 11:20 AM PDT

SEBAHAGIAN daripada pemenang anugerah Malam Seri Anugerah Gemilang anjuran Kolej Aminuddin Baki UPSI di Tanjong Malim, Perak, baru-baru ini.

IPOH 12 Jun - Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini menganjurkan Malam Seri Anugerah Gemilang bagi meraikan penghuninya yang bergiat aktif sepanjang semester lalu.

Bertemakan Modal Insan Berkualiti, malam penuh warna-warni itu turut mendapat kerjasama beberapa wakil exco mahasiswa dari unit kesenian dan kebudayaan, penerbitan dan informasi, perpaduan dan integrasi serta sukan dan rekreasi.

Selain penyampaian anugerah, majlis turut diserikan dengan persembahan tarian, nasyid serta nyanyian solo daripada penghuni kolej berkenaan.

Penolong Pengurus Asrama Kolej Aminuddin Baki, Mohd. Raizol Ramli berkata, program tersebut mampu melonjakkan semangat mahasiswa untuk terus bergiat aktif selain memberikan sokongan padu terhadap setiap aktiviti yang dijalankan.

"Saya berharap nilai positif yang telah diterapkan dalam program ini dapat membantu melahirkan penghuni kolej yang berkualiti dan dapat berbakti kepada masyarakat kelak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis tersebut di Pusat Aktiviti Pelajar, Kolej Aminuddin Baki UPSI di Tanjong Malim, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan