Selasa, 25 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kolaborasi kolej bersama 9 institusi

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

ABU Bakar Mat Tai (duduk lima dari kiri) bersama dengan wakil institusi pendidikan dan industri selepas menandatangani perjanjian kerjasama kepakaran latihan dan pengurusan, di Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 25 Jun - Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) merintis kerjasama kepakaran dan pengurusan dengan sembilan institusi pendidikan serta industri menerusi Program Kolaborasi antara kolej itu dengan pihak berkenaan di sini baru-baru ini.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) itu disempurnakan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris di sini.

Yang turut hadir, Pengarah KKJ, Abu Bakar Mat Tai dan Pengerusi Program yang juga Ketua Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat kolej berkenaan, Azhani Hasibah Ab. Karim.

Program itu mendapat kerjasama daripada institusi seperti Khazanah Danau Rimba, Persatuan Ikan Sangkar Jerantut Feri, Sekolah Menengah Agama (SMA) Pulau Tawar, Klinik Cure & Care 1Malaysia, Hotel Darul Makmur.

Turut serta dalam kerjasama tersebut ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerantut, Madrasah al-Fatihah, Pejabat Felda Wilayah Jengka dan Koperasi Tunas Lada Jerantut Berhad.

Azhani Hasibah berkata, program berkenaan bertujuan berkongsi kepakaran sebagai acuan pendidikan dan latihan kepada masyarakat khususnya pelajar lepasan sekolah serta belia yang tercicir dalam bidang akademik.

"Kerjasama ini merupakan antara agenda memantapkan pelaksanaan latihan keusahawanan dan merupakan platform pembelajaran sepanjang hayat yang dilaksanakan semua kolej komuniti di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Menurutnya, usaha itu sejajar dengan aspirasi KKJ dalam membudayakan masyarakat berilmu dan berkemahiran melalui program sepenuh masa yang ditawarkan di kolej berkenaan.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, kerangka kerjasama tersebut membabitkan bidang akuakultur, kursus jangka pendek, keusahawanan dan latihan industri.

"Langkah kerjasama ini selaras misi Kolej Komuniti membina dan menjana komuniti setempat sebagai tenaga kerja berpengetahuan serta terlatih bagi memenuhi guna tenaga kerja di negara ini," katanya.

Adakan solat hajat atasi jerebu

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 25 Jun - Semua masjid di negeri ini digalak melaksana solat hajat bagi memohon kepada Allah supaya menurunkan hujan untuk mengatasi masalah jerebu yang melanda seluruh negara termasuk Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad (gambar) berkata, selain berdoa masyarakat juga diingatkan berusaha mengurangkan kadar jerebu dengan tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti yang menyumbang kepada masalah tersebut.

"Saya juga menyarankan masyarakat Islam di negeri ini melakukan solat hajat secara individu serta solat tahajud yang mana ketika itu lebih sunyi dan serta khusyuk untuk memohon pertolongan daripada Allah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tilawah Quran dan Nasyid Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Peringkat Zon Timur di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah AADK Pahang, Azmi Mustafa dan Pengarah Klinik Cure & Care 1Malaysia Jerantut, Mohd. Rizal Tawil.

Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau berkata, selain memohon hujan orang ramai dituntut berdoa supaya negara ini dijauhkan daripada wabak penyakit, perpecahan masyarakat, persengketaan, fitnah dan sebarang ancaman yang boleh menggoncang keamanan negara.

"Jangan sekadar memohon negara kita selamat daripada bencana sahaja tetapi minta supaya Allah menyatukan hati umat Islam agar sama-sama membangunkan agama Islam dan bersatu-padu dalam pelbagai aspek," katanya.

Siswa UMP wakili negara dalam Pertandingan 'China Bridge'

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

DR. Daing Nasir Ibrahim (dua dari kiri) menyerahkan bendera Jalur Gemilang dan UMP kepada Jamunaa Patchappan yang akan menyertai pertandingan 'China Bridge' peringkat antarabangsa di Hunan, China, pada satu majlis khas di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 25 Jun - Penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) Jamunaa Patchappan, 23, akan mewakili Malaysia ke pertandingan 'China Bridge' peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Hunan, China 1 Julai ini.

Jamunaa berjaya memikat hati juri dalam pertandingan itu di peringkat kebangsaan setelah menewaskan sebayak 25 peserta lain yang mewakili institut pengajian tinggi (IPT)di negara ini.

Katanya, dia akan membuat persiapan rapi dan berjanji melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

"Pada pertandingan di peringkat kebangsaan, saya membentangkan ucapan awam dalam bahasa Mandarin berkaitan tarian Cina dan tidak menyangka memenanginya.

"Saya tidak menyangka dipilih mewakili negara dan berharap dapat membawa pulang kejayaan ini," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Dia ditemui selepas majlis meraikan kejayaan penuntut UMP menjuarai pertandingan bahasa Mandarin China Bridge anjuran Institut Kongzi, Universiti Malaya (UM) dengan tajaan Hanban, China serta Kedutaan China di Malaysia yang dihadiri Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim di sini.

Jamunaa berkata, sekiranya berjaya dalam pertandingan itu dia berpeluang mewakili benua Asia seterusnya bertanding dalam kalangan negara-negara benua Eropah.

Dalam pada itu, Daing Nasir berbangga dengan kejayaan Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan (MLCC) melaksana program yang mampu meningkatkan kemahiran penuntut dalam bertutur bahasa Mandarin.

Katanya, kewujudan MLCC bukan sahaja memanfaatkan penuntut mempelajari bahasa itu malah penuntut mampu memahami budaya masyarakat Cina dengan pelbagai penganjuran aktiviti termasuk pertandingan bertutur bahasa Mandarin, pameran kebudayaan, program mobiliti dan program kerjasama.

0 ulasan:

Catat Ulasan