Sabtu, 29 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


170 nelayan tunggu pampasan

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 28 Jun - Seramai hampir 170 nelayan di tiga pangkalan sekitar Tanjung Kling di sini memohon kerajaan negeri mempertimbangkan diberi pampasan kerana pendapatan mereka terjejas akibat kerja penambakan laut di perairan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Kling, Khairulazni Baharuddin (gambar) berkata, kesemua nelayan dari pangkalan Lereh, Balik Bukit dan Kampung Hailam berkenaan sehingga kini masih belum menerima sebarang pampasan atau saguhati sejak projek tersebut dijalankan.

Justeru, beliau merayu kerajaan negeri dapat mempertimbangkan jumlah pampasan yang sesuai bagi membela nasib nelayan di kawasan berkenaan.

"Nelayan banyak menerima kesan sejak projek penambakan laut dijalankan di perairan Pantai Klebang seperti pendapatan yang semakin berkurangan di samping masalah lain yang mengakibatkan mereka rugi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis bacaan tahlil sempena sambutan Ramadan di Jeti Nelayan Kampung Hailam, Tanjung Kling, di sini semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Yaakub Md Amin dan Ketua Kesatuan Keluarga Nelayan Kampung Hailam, Abu Bakar Japar.

Menurut Khairulazni, nelayan di jeti pangkalan berhampiran seperti Kampung Pokok Asam dan Klebang difahamkan ada menerima pampasan secara berperingkat.

"Nelayan di dua kawasan tersebut menerima pampasan sehingga RM10,000 setiap seorang namun nelayan-nelayan di sini tidak, sedangkan mereka menangkap ikan di kawasan yang sama," tegasnya.

Tambahnya, ketika projek gas asli cecair di bawah Petronas dijalankan dua tahun lalu di perairan Tanjung Kling, nelayan di tiga pengkalan terbabit juga dipinggirkan dari menerima sebarang pampasan.

"Pada masa itu, hanya nelayan di jeti Tanjung Bidara, Tanah Merah dan Pantai Kundor sahaja yang menerima pampasan.

"Oleh yang demikian, kami merayu sekali lagi agar pampasan ini dipertimbangkan," ujarnya.

Semangat cinta negara di kalangan belia kian pudar

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

Mohd. Isa Abdul Samad menyampaikan sijil kepada peserta dalam majlis penutupan Seminar Kajian Tindakan Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan 2013 di Politeknik Port Dickson, kelmarin.

TELOK KEMANG 28 Jun - Keupayaan sistem pendidikan negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi kian meningkat namun usaha memupuk nilai jati diri terhadap golongan terbabit wajar diseimbangkan demi menjamin keutuhan masa depan negara.

Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, dua aspek itu wajar diseimbangkan berikutan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda 'bijak pandai' masa kini didapati semakin luntur dan pudar.

''Apa guna kita dapat lahirkan modal insan berkebolehan tinggi tetapi golongan berilmu ini sanggup menghancurkan negara sehingga sanggup menyertai perhimpunan haram, menterbalikkan bendera dan bakar gambar pemimpin.

''Senario ini amat membimbangkan kerana ia boleh menghancurkan masa depan negara, oleh itu warga pendidik khususnya perlu memainkan peranan bukan sahaja melahirkan modal insan berkemahiran tinggi malah pada masa sama insan yang menjiwai semangat cintakan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada penutupan Seminar Kajian Tindakan Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan 2013 di Politeknik Port Dickson, di sini semalam.

Jelasnya, semangat kebangsaan dan cintakan negara merupakan kunci kepada kesejahteraan, keharmonian, kemajuan serta perpaduan rakyat di negara ini.

''Bukan mudah untuk menguruskan negara ini kerana rakyat kita terdiri daripada berbilang kaum, agama, bahasa dan latar belakang. Namun, sekiranya semangat cintakan negara ini ada dalam hati setiap rakyat, kita boleh hidup aman damai sambil menikmati kemajuan secara berterusan.

''Sekiranya generasi seterusnya tiada nilai jati diri serta semangat sayangkan negara, tidak mustahil negara ini boleh hancur dan rakyat hidup dalam keadaan kucar kacir," ujarnya.

Tegas Mohd. Isa, apabila keadaan itu berlaku, usaha untuk memulihkannya mengambil jangka masa yang panjang dan ia amat merugikan.

''Sebagai contoh mudah, kalau kita mahu runtuhkan bangunan yang tinggi, itu hanya mengambil beberapa jam sahaja menggunakan bom, tetapi kalau kita mahu bina bangunan baharu, itu juga akan mengambil masa yang lama sehingga berbulan-bulan.

''Jadi saya harap warga pendidik ambil berat tentang perkembangan ini dan marilah kita bersama-sama melahirkan generasi yang berilmu, bertanggungjawab dan lebih prihatin terhadap nasib negara," katanya.

Jalaludin usahawan belimbing Felda

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

Jalaludin Sabi (kanan) bersama anaknya, Yaakop memetik buah belimbing di ladang mereka dekat Felda Lui Muda, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

JEMPOL 28 Jun - Minatnya untuk mencuba sesuatu yang baharu membuatkan seorang peneroka dari Felda Lui Muda dekat sini menyahut cabaran seorang pengurus Felda untuk memulakan tanaman belimbing.

Percubaannya tidak sia-sia apabila baru-baru ini peneroka tersebut, Jalaludin Sabi, 64, menerima anugerah Usahawan Jaya bagi kategori tanaman buah-buahan sempena Karnival Usahawan Felda peringkat Wilayah Raja Alias.

Jalaludin berkata, dia memulakan tanaman belimbing sejak 30 tahun lalu di atas tanah rizab milik Felda seluas dua hektar selepas menerima cadangan pengurus di kawasannya.

"Masa itu belimbing antara buah yang mendapat permintaan yang tinggi. Ketika itu saya sangat sibuk untuk menguruskan ladang sawit tetapi tetap menceburi bidang ini kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu.

"Saya mula tanam dua jenis belimbing iaitu Belimbing B10 (belimbing biasa) dan Belimbing B17 iaitu belimbing madu. Syukur ketika itu tanaman saya membuahkan hasil dan mula mendapat permintaan daripada penduduk di kawasan berdekatan," katanya ketika ditemui di ladang belimbing miliknya di sini hari ini.

Katanya, sama seperti orang lain, dia juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah musuh tanaman dengan banyak buahnya rosak di makan burung.

"Bila buah rosak pasti saya akan rugi tetapi saya tidak pernah menjadikan faktor itu sebagai alasan untuk berputus asa. Saya tahu setiap masalah ada cara untuk mengatasinya dan saya perlu banyak belajar cara mengatasinya.

"Hasil tanaman ini saya akan jual di kawasan Felda Lui Muda sahaja. Saya ada mendapat permintaan daripada peniaga yang mahu membeli buah ini tetapi saya lebih suka menjualnya sendiri," ujarnya.

Bapa kepada lima anak itu berhasrat untuk mempelbagaikan produk berasaskan belimbing dan mahu memasarkannya di merata tempat.

"Kini saya dibantu oleh isteri dan dua orang anak di ladang dan kedai. Permintaan untuk belimbing juga amat baik kerana saya menjual dengan harga yang murah," jelasnya.

Beliau menjual belimbing biasa dengan harga RM3.50 sekilogram dan RM4 bagi belimbing madu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan