Sabtu, 15 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Mantapkan penguasaan bahasa kebangsaan

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

KUALA LIPIS 15 Jun - Pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil perlu memantapkan penguasaan bahasa Melayu sejak dari usia persekolahan kerana bahasa kebangsaan tersebut merupakan perantara perpaduan kaum selain sebagai persediaan untuk mereka melangkah ke alam kerjaya.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, namun begitu, usaha mengukuhkan bahasa Tamil tidak semestinya diabaikan kerana pelajar juga boleh memantapkan bahasa ibunda masing-masing selain bahasa Inggeris sejajar dengan usaha pendemokrasian pendidikan negara.

"Segala transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah antara usaha untuk memperkasakan subjek bahasa Melayu dalam pendidikan menengah mulai 2017, khususnya dalam kalangan murid SRJK menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Agenda ini juga selari dengan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris," kata beliau selepas merasmikan Hari Kantin dan Perjumpaan Bekas Pelajar SRJKT Kuala Lipis di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Penyelia Sekolah-sekolah Tamil Negeri Pahang, A Puspanathan; Guru Besar SRJKT Kuala Lipis, K Tamilvanan dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRJKT Kuala Lipis, D. Sivanesan.

Abdul Rahman berkata, pada masa yang sama, pelajar Melayu di SRJK juga perlu menguasai bahasa lain kerana pentingnya menguasai bahasa lain dalam sektor kerjaya dan ekonomi.

"Kerajaan tidak mengabaikan pelajar Tamil dan Cina dalam apa juga keperluan pelajaran sekolah vernakular di negara ini menerusi pendekatan kelas pemulihan jika masih wujud masalah penguasaan bahasa ini di peringkat rendah.

"Ini termasuk menempatkan lebih ramai guru berijazah dan pakar dalam bidang bahasa berkenaan, khususnya sekolah terletak di luar bandar, estet dan pinggir bandar," ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) komited menyediakan pelbagai prasarana pendidikan bertaraf dunia termasuk untuk masyarakat di luar bandar.

Katanya, usaha itu telah membuka mata masyarakat antarabangsa untuk mempelajari pengalaman negara dalam bidang pendidikan.

Kongsi insiden Lahad Datu

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

Sebahagian daripada peserta Program Integrasi Komuniti dari Sabah dan Sarawak berkumpul di Kuala Tahan, baru-baru ini.

JERANTUT 15 Jun - Penduduk di Kuala Tahan di sini berpeluang mendengar cerita sebenar insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah Februari lalu berikutan kehadiran peserta Program Integrasi Komuniti dari Sabah dan Sarawak ke kampung berkenaan baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kuala Tahan itu berlangsung selama tiga hari melibatkan 66 peserta bertujuan mengeratkan integrasi nasional dan perkongsian budaya.

Seorang penduduk Kampung Lamak, Lahad Datu, Habidin Gapol, 44, berkata, kejadian tersebut merupakan satu peristiwa hitam yang tidak dapat dilupakan oleh mereka hingga akhir hayat.

Menurutnya, biarpun banyak nyawa melayang termasuk pihak berkuasa, namun mereka tidak gentar untuk berdepan dengan musuh kerana anggota tentera dan polis mengawal ketat keadaan di sana.

"Semasa diserang penceroboh, kami hidup dalam ketakutan, namun kehadiran pihak berkuasa meredakan kerisauan kerana mereka sentiasa menyalurkan perkembangan terkini bagi membolehkan penduduk melakukan aktiviti seperti biasa," katanya ketika berkongsi pengalaman tersebut kepada penduduk Kuala Tahan.

Beliau yang merupakan salah seorang peserta program berkenaan berkata, penduduk diarahkan tidak menjalankan urusan harian selama tiga hari pada awal pencerobohan sebelum dibenarkan apabila keadaan terkawal.

Ibu tunggal digesa daftar dengan JPW

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

KUANTAN 15 Jun - Golongan ibu tunggal di negeri ini digesa mendaftarkan diri di Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) agar tidak tercicir daripada sebarang bentuk bantuan sama ada kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin (gambar) berkata, ini berikutan terdapat hanya kira-kira 200 ibu tunggal berdaftar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan jumlah tersebut terlalu kecil.

"Mustahil hanya 200 ibu tunggal yang berada di negeri ini. Data tersebut dikumpulkan JPW menerusi dalam talian, namun bilangan yang mendaftar terlalu kecil.

"Justeru, saya menggesa ibu tunggal segera mendaftar supaya data tentang mereka dapat diselaraskan dan tiada yang tercicir daripada mendapatkan bantuan, khususnya daripada kerajaan Pusat serta negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Bersama Wakil-Wakil Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) negeri di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi MPWK Pahang, Datuk Rosni Zahari.

Menurut Shahaniza, sebelum ini, data tentang ibu tunggal telah dikumpulkan oleh banyak pihak seperti Pergerakan Wanita UMNO negeri, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan NGO, namun data berkenaan tidak diselaraskan.

"Kerjasama mereka amat digalakkan kerana penting terutama dalam menyalurkan bantuan," jelasnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan