Selasa, 25 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Nikmati bepang kacang Pendang

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
utusankedah@utusan.com.my

FAIRUZ Mann (kiri) dan Nor Hayati Md. Hanipah menunjukkan bepang kacang keluarannya di Pusat Kraftangan dan Industri Asas Tani, Jalan Jenun di Pendang, Kedah, baru-baru ini.

PENDANG 24 Jun - Kedah yang terkenal sebagai negeri Jelapang Padi sememangnya sinonim dengan industri kuih tradisional seperti bahulu, loyang, karas dan peneram.

Tidak lengkap sekiranya pelancong yang datang ke negeri ini tidak membawa pulang kuih tradisional itu sebagai ole-ole.

Begitu juga dengan dengan kuih bepang kacang atau turut dikenali sebagai kacang potong yang sering dijadikan sebagai makanan ringan masyarakat tempatan.

Keenakan bepang kacang terletak pada bahannya yang menggunakan kacang tanah bersalut gula dan mentega.

Menyedari tidak ramai pengusaha kuih tradisional yang mengusahakan industri bepang kacang, sepasang suami isteri menjalankan perusahaan tersebut di bengkel yang terletak di Pusat Kraftangan dan Industri Asas Tani, Jalan Jenun, di sini.

Pengusahanya, Fairuz Mann, 45, bersama isterinya, Nor Hayati Md. Hanipah, 43, telah mengusahakan perusahaan tersebut sejak tiga tahun lalu.

Fairuz berkata, biarpun penghasilan bepang kacang mudah berbanding kuih tradisonal yang lain namun ia masih memerlukan kecekapan dan penelitian untuk memastikan produk keluarannya berkualiti.

"Mungkin kalau orang lihat pembuatannya mudah kerana kacang hanya perlu dimasak bersama gula namun bahan yang dimasak itu tidak boleh terlalu lama kerana bimbang ia hangus yang menyebabkan rasanya akan terjejas.

"Kemudian selepas dimasak, teknik potong juga perlu betul dan selari agar bentuk bepang nampak menarik dan kemas," katanya ketika ditemui di bengkelnya, di sini baru-baru ini.

Pada peringkat permulaan, Fairuz dan isteri hanya menjalankannya secara kecil-kecilan kerana dalam masa yang sama mereka perlu fokus pada perusahaan kuih sepit.

Fairuz berkata, setelah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, dia dan isteri mengalih tumpuan pada industri bepang kacang.

Pada peringkat awal modal permulaan adalah kira-kira RM1,000 dan mereka hanya menghasilkan sepuluh kotak yang mengandungi 40 bungkus bepang kacang.

Katanya, jumlah itu kini telah meningkat kepada 45 kotak sehari dan produk yang dihasilkan telah berjaya menembusi pasaran Pulau Pinang dan Perak.

"Maklum balas yang kami sering terima daripada pelanggan adalah rasa bepang yang tidak terlalu manis dan rangup membuatkan mereka gemarkannya," katanya.

Memandangkan perusahaan yang dijalankan bekas juruteknik itu semakin berkembang, kini dia dan isteri hanya membekalkan bepang kacang kepada pengedar untuk diedarkan di 500 kedai termasuklah kedai runcit dan restoran.

Katanya, kebenaran diberikan kepada pengedar sekiranya mereka mahu menjenamakan produk tersebut dengan jenama tersendiri selepas membeli produk makanan itu dengan harga RM1.40 sebungkus.

"Bagi memastikan proses penghasilan berjalan lancar dan menyiapkan tempahan mengikut jadual, saya turut mencipta mesin khas untuk memotong bepang.

"Saya cipta mesin khas kerana kaedah manual yang dilakukan ketika awal dahulu amat rumit dan lambat menyebabkan kuantiti yang diperolehi juga sedikit," katanya.

Fairuz kini merancang untuk meluaskan pasaran produknya di samping dapat menambah produk Muslim dalam perusahaan makanan ringan.

"Selain dapat membeli di kedai terpilih, mereka boleh membeli terus di bengkel kami yang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat dan mula dibuka pada pukul 8 pagi hingga 5 petang," katanya.

Pasar produk industri hiliran

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

SURAYA Yaacob (kiri) menyampaikan Anugerah Projek NKEA Terbaik 2012 kepada Mohd. Shabudin Shafie di Pertubuhan Peladang Kawasan MADA E-4 Bukit Besar, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 24 Jun - Kerajaan Kedah akan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri lain dalam usaha memasarkan produk hiliran golongan petani dan peladang di negeri ini bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Datuk Suraya Yaacob berkata, melalui kerjasama itu produk industri berasaskan tani dari Kedah mendapat pasaran hebat di negeri luar.

Beliau berkata, masalah yang sering dihadapi pengusaha ini adalah pemasaran jadi kerajaan negeri akan mencari jaringan untuk pasarkan produk mereka.

"Misalnya pada bulan depan saya akan ke Melaka setelah mendapat undangan daripada kerajaan negeri itu untuk memasarkan produk hiliran petani Kedah di situ.

"Kita akan lihat perkembangan usaha ini dan jika mendapat sambutan kita mengalu-alukan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk menjalinkan perjanjian persefahaman dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pengurusan Perosak Tanaman Padi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) E-4 Bukit Besar di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu kata Suraya, pihaknya berharap pengusaha terbabit akan memanfaatkan pelbagai peluang dan insentif yang disediakan kerajaan untuk memastikan produk yang dihasilkan berkualiti.

"Kita juga menggalakkan pengusaha industri asas tani ini supaya meningkatkan kreativiti mereka dan mencari pengusaha yang boleh memasarkan produk mereka.

"Saya percaya industri ini akan diperkukuhkan dengan kawalan kualiti dan jaringan pasaran yang baik," katanya.

Ahli majlis PBT perlu beri komitmen penuh

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

PADANG TERAP 24 Jun - Ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan di negeri ini diingatkan agar memberi komitmen penuh terhadap tugas dan amanah bagi membangunkan daerah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berkata, mereka juga perlu mempunyai mempunyai integriti dan boleh menjadi contoh kepada masyarakat.

"Ahli-ahli majlis yang dilantik di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) adalah mereka yang mempunyai latar belakang baik jadi saya yakin mereka mampu memainkan peranan berkesan bagi membangunkan daerah dan Kedah," katanya kepada pemberita selepas majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Padang Terap, di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap, Muhammad Helwi Harun.

Badrol Hisham berkata, sekiranya ahli majlis yang dilantik gagal menghadirkan diri dalam mesyuarat dalam tempoh pelantikan mereka mungkin akan digugurkan pada musim akan datang.

"Tempoh pelantikan kali ini adalah bermula 12 Jun lalu hingga 31 Disember 2014 jadi dalam tempoh ini mereka perlulah mainkan peranan dengan lebih agresif," katanya.

Tambahnya, transformasi turut dibuat pada kali ini apabila melantik ahli majlis dari kalangan belia dan penjaja kecil untuk bersama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) Kedah.

Katanya, turut dilantik adalah mereka dari kalangan bekas guru, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli korporat.

"Tujuan transformasi dibuat kerana kita faham apabila ada wakil di kalangan mereka, kita akan dapat maklumat secara terus yang dapat memantapkan lagi PBT negeri ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan