Sabtu, 15 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Laluan Nadi Putra dikaji semula

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

Oleh SHARAIMEI SHAIK
AHMEDULLAH
kota@utusan.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor bertanya sesuatu kepada Ab. Rahim Md. Junoh (tengah) sewaktu melawat pusat kawalan perkhidmatan bas Nadi Putra di depan bas Nadi Putra sambil diperhatikan oleh Muhammad Haitamin Ishak (kanan) di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA 14 Jun - Jadual operasi dan laluan perkhidmatan bas Nadi Putra yang beroperasi sepenuhnya di Putrajaya akan dikaji semula bagi menangani rungutan pengguna dan menambah baik mutu perkhidmatannya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada pengguna berhubung pelbagai masalah ketika waktu pejabat.

Katanya, satu penyelesaian yang berkesan akan dilaksanakan dalam masa terdekat supaya pengguna mendapat perkhidmatan terbaik.

"Banyak rungutan mengatakan perkhidmatan bas tidak menepati masa jadi masalah itu perlu dilihat untuk menggalakkan lebih ramai penjawat awam menggunakan pengangkutan awam.

"Kami juga akan mengkaji semula penjadualan bas tiba di setiap stesen bas henti-henti dalam tempoh sebulan ini supaya waktu yang ditetapkan ditepati," katanya selepas mendengar taklimat daripada Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Sdn. Bhd. (PAPSB) di sini hari ini.

Yang hadir sama Naib Presiden Kanan Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhamad Haitamin Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengangkutan Awam Putrajaya Sdn. Bhd., Ab. Rahim Md. Junoh.

Selain itu, Tengku Adnan berkata, Nadi Putra akan memperkenalkan perkhidmatan van mini bermula bulan depan untuk mengangkut pengguna pada waktu puncak.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang memperluaskan lagi perkhidmatan bas itu di kawasan luar seperti Kajang dan Bangi untuk kemudahan penduduk yang setiap hari berulang alik ke Putrajaya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, satu borang kaji selidik akan diedarkan kepada penduduk Putrajaya dalam waktu terdekat bagi mendapat maklum balas mutu perkhidmatan bas yang disediakan.

"Kami akan mendapatkan maklumat dan idea daripada orang ramai untuk membantu pihak pengurusan menyediakan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak pengguna.

"Antara lain borang soal selidik itu juga mengemukakan cadangan untuk menaikkan gaji pemandu dan tambang yang sebelum ini hanya 50 sen untuk semua penumpang berbanding subsidi sebanyak RM3 seorang yang perlu ditampung kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas penangguhan penyediaan perkhidmatan monorel di Putrajaya, Tengku Adnan berkata, selepas kajian dilakukan pihaknya mendapati jumlah penduduk yang masih kurang di sini menyebabkan cadangan tersebut tidak praktikal pada masa sekarang.

"Bila kita buat kajian untuk membina monorel kita perlu melihat jumlah penduduk di kawasan itu dan buat masa sekarang di Putrajaya hanya terdapat 75,000 hingga 80,000 penduduk, jadi projek ini tidak berdaya maju.

"Kita memerlukan minimum 500,000 penduduk untuk membina monorel di sini, oleh itu rakyat perlu faham untuk membina monorel perlu berdasarkan jumlah populasi yang ramai," katanya.

MMC-Gamuda KVMRT lancar pusat maklumat projek pembinaan MRT

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

Satpal S. Bhogal (kiri) diberikan penerangan oleh seorang petugas mengenai operasi Pusat Lawatan Kerja-kerja MMC-Gamuda KVMRT selepas pelancaran pusat itu di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 14 Jun - Orang ramai kini boleh mengetahui secara lebih dekat proses pembinaan projek Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT) Sungai Buloh-Kajang apabila Pusat Lawatan Kerja-kerja MMC-Gamuda KVMRT diwujudkan di Jalan Laksamana di sini.

Pengarah Projeknya, Satpal S. Bhogal berkata, inisiatif itu diambil pihaknya bagi memudahkan orang ramai mengetahui keadaan sebenar proses pembinaan KVMRT tersebut.

"Kami menerima permintaan purata lima kumpulan sebulan dan kami sangat gembira menyediakan apa sahaja keperluan mereka terutamanya tentang proses sebenar di tapak pembinaan.

"Oleh sebab itu, MMC-Gamuda KVMRT mengambil keputusan membina dan menyediakan Pusat Lawatan Kerja-kerja Pembinaan KVMRT yang beroperasi pada hari Isnin hingga Sabtu bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat lawatan itu hari ini.

Selain pengunjung tempatan, tambah beliau, pihaknya turut menerima lawatan kerja daripada beberapa jurutera luar negara seperti Hong Kong bagi mengetahui proses pembinaan tersebut.

Katanya, orang ramai yang berminat untuk mengetahui proses pembinaan projek itu boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-826-868 atau 03-2385 8000 bagi membuat temu janji.

"Selain lawatan, para pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman sebenar pembinaan dengan menonton tayangan multimedia yang terdapat di pusat lawatan tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, proses penggalian terowong sepanjang 9.5 kilometer untuk projek MRT jajaran pertama dari Portal Semantan di Jalan Duta ke Portal Maluri di Cheras berjalan mengikut jadual.

Ditanya sama ada proses penggalian terowong itu terjejas ekoran tindakan beberapa pemilik bangunan yang tidak mahu bekerjasama, katanya, masalah tersebut sama sekali tidak berbangkit.

"Saya dimaklumkan perbincangan di antara MRT Corporation dan pemilik hartanah sedang dijalankan. Saya yakin mereka dapat menyelesaikannya dengan keputusan menang-menang," katanya.

Yayasan Sime Darby taja KLPac sebanyak RM3 juta

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

Musa Hitam (tiga dari kiri) dan Faridah Merican (dua dari kiri) bersama penggiat seni KLPac selepas majlis penyerahan sumbangan YSD di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 14 Jun - Yayasan Sime Darby (YSD) menyalurkan tajaan sebanyak RM3 juta kepada Pentas Seni Kuala Lumpur (KLPac) bagi membantu pusat kesenian bersepadu itu muncul sebagai pengeluar karya kreatif utama negara.

Pengerusinya, Tun Musa Hitam berkata, tajaan itu sebagai tanda sokongan dan penghargaan YSD kepada KLPac atas kesungguhannya membangunkan seni persembahan dan memastikan industri tersebut berkembang.

"Sebagai pendukung kesenian, kami sedar bahawa sukar untuk KLPac menjadi mandiri seperti juga pusat seni persembahan di Singapura dan Eropah walaupun mempunyai sejarah seni persembahan yang panjang.

"Mereka tetap memerlukan bantuan kerana hasil jualan tiket daripada persembahan oleh penggiat seni tempatan sahaja masih tidak mencukupi," katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan tajaan tersebut di sini hari ini.

Tajaan itu disampaikan oleh Musa kepada Pengasas Bersama KLPac, Datuk Faridah Merican dan Joe Hasham.

Menurut Musa, KLPac telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam tempoh lapan tahun apabila muncul sebagai satu-satunya pusat yang menyediakan ruang, bahan rujukan, pendidikan dan latihan kepada penggiat seni.

Sementara itu, Faridah ketika ditemui melahirkan rasa syukur dengan penajaan tersebut dan memberitahu bahawa sebahagian daripada dana diterima akan digunakan bagi tujuan penggantian peralatan teknikal dan penyenggaraan kemudahan-kemudahan lain di KLPac.

"KLPac lahir daripada kemusnahan kompleks Plaza Putra akibat banjir, dan tahun lalu kami tiada pilihan lain selain beralih arah kepada masyarakat untuk mendapatkan pembiayaan dan mereka telah menyambutnya dengan kebimbangan bahawa KLPac akan ditutup.

"Namun, sumbangan yang dihulurkan hari ini telah menjawab kebimbangan orang ramai bahawa KLPac akan terus wujud. Terima kasih YSD," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan