Sabtu, 29 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Penternak perlu terlibat dalam semua rantaian pengeluaran - Dr. Ibrahim

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Ibrahim Che Embong (enam dari kanan) bersama kira-kira 30 peserta yang menghadiri Bengkel Transformasi Ruminan anjuran Jabatan Veterinar dan Utusan Malaysia di Pusat Aktiviti Homestay Banghuris, Sepang, semalam.

SEPANG 29 Jun - Golongan penternak perlu melibatkan diri secara langsung dalam semua peringkat rantaian pengeluaran ternakan bagi memantapkan lagi daya saing perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr. Ibrahim Che Embong berkata, usaha sedemikian penting supaya para penternak boleh menikmati keuntungan atau faedah di setiap peringkat dalam rantaian pengeluaran ternakan berkenaan.

"Sudah tiba masanya para penternak tidak hanya menternak dan menjual lembu atau kambing, sebaliknya mereka juga perlu melihat perkara lain yang boleh memberi keuntungan.

"Mereka perlu tahu pasaran dan kegunaan tahi haiwan berkenaan, daging, aspek makanan, kegunaan kulit atau terlibat dalam proses hiliran sebagai sumber kewangan yang lumayan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Bengkel Transformasi Ruminan anjuran Jabatan Veterinar Malaysia bersama Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lebih 30 peserta terlibat dalam bengkel yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Ibrahim percaya penglibatan dalam produk hiliran mampu melahirkan lebih ramai jutawan di kalangan para penternak haiwan tempatan pada masa depan.

"Dengan kos pengeluaran yang semakin meningkat, para penternak perlu mencari alternatif lain untuk terus bersaing," katanya.

Selangor perlu serius atasi krisis air

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Oleh MUHAMMAD NAQIB NOR SAID
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Jun - Kerajaan negeri dan Pusat perlu bekerjasama mencapai kesepakatan dalam mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan masalah air bertambah buruk menimpa penduduk yang tinggal di kawasan Lembah Klang.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piapakaran berkata, situasi meruncing itu berlaku kerana kedua-dua belah pihak tidak dapat mencapai persetujuan bersama terhadap penubuhan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 sejak sekian lama.

"Kerajaan Negeri Selangor masih berkeras terhadap pemberian 'development order' kepada kerajaan Persekutuan untuk membangunkan projek tersebut sedangkan kemudahan itu bagi melindungi rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada menghadapi krisis air.

"Sehubungan itu, kedua-dua pihak perlu bertolak ansur supaya pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 boleh diteruskan, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, dilaporkan kira-kira enam juta warga ibu kota, Selangor dan Putrajaya bakal berdepan risiko gangguan bekalan air yang kritikal.

Keadaan itu berikutan rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Tambah Piapakaran, jika tiada tindakan, masalah bekalan air terawat ini dijangka memberikan impak kepada Tahun Melawat Malaysia 2014 terutamanya di ketiga-tiga kawasan tersebut.

"Ini kerana kawasan tersebut merupakan lokasi tumpuan pelancong dan sudah pasti meninggalkan kesan terhadap industri hotel sekiranya krisis air berlaku," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, isu itu perlu diperbincangkan secara professional dengan mengenepikan kepentingan politik masing-masing kerana berkaitan dengan keperluan asas rakyat.

"Adalah menjadi satu tanggungjawab kepada pemimpin untuk menangani masalah yang melibatkan rakyat.

"Jika berlaku krisis air, sudah pasti akan meninggalkan kesan terhadap kehidupan seharian, sekali gus bakal menjadi isu politik oleh sesetengah pihak," katanya.

Siti Nurhaliza terima Anugerah Kemanusiaan Mapim

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

KUALA LUMPUR 29 Jun - Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin (gambar) hari ini menerima Anugerah Kemanusiaan daripada Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Beliau tidak menyangka menerima penganugerahan tersebut kerana pada awalnya hanya diundang oleh Mapim untuk menyatakan sokongan kepada Tabung Gaza Mapim.

"Saya bersyukur dengan anugerah yang diberikan dan sebagai anak seni serta rakyat Malaysia, pastinya saya juga ingin memainkan peranan dalam membantu saudara seagama kita yang berada di bumi Gaza.

"Sebagai anak seni, bantuan yang dapat saya berikan tidak lebih daripada membangkitkan kesedaran dalam diri masyarakat, khususnya umat Islam untuk turut sama menyumbang dalam tabung ini," katanya dalam majlis Rebuild Gaza For A Nation di sini.

Majlis anjuran bersama Mapim dan Rabbani Productions Sdn. Bhd. itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia untuk turut sama membantu membangunkan semula bumi Palestin, khususnya di Gaza.

Menurut Siti Nurhaliza, beliau berhasrat untuk mengunjungi saudara seagama yang berada di sana, selain mendalami lebih dekat cabaran dan dugaan hidup yang dihadapi masyarakat Islam di Gaza.

"Sebagai umat Islam, pastinya saya juga mempunyai keinginan untuk mengunjungi Gaza, khususnya Masjid Al-Aqsa.

"Jika diizinkan Allah, saya juga mahu mengikuti jejak beberapa rakan artis yang pernah ke sana, antaranya Afdlin Shauki dan Heliza Helmi,'' katanya.

Pihak yang berminat untuk menghulurkan sumbangan ke Tabung Gaza Mapim boleh melayari laman web www.mapim2u.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan