Sabtu, 22 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Hentikan pembakaran terbuka

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh ARHIZA AHMAD
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 21 Jun - Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Alam Sekitar Negeri mempertingkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan tiada pembakaran terbuka berlaku di negeri berikutan keadaan berjerebu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Abu Ubaidah Mohd. Redza (gambar) berkata, operasi dan penguatkuasa yang dijalankan oleh pihak jabatan tidak hanya dijalankan secara berkala tetapi ia dilakukan tanpa mengira waktu.

Jelas beliau, aktiviti pembakaran terbuka memburukkan lagi keadaan sekali gus meningkatkan lagi indeks pencemaran udara di negeri ini.

"Sejak beberapa hari lalu kita telah meminta pihak berwajib bagi memantau keadaan sekeliling dan kita ingatkan kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka ekoran jerebu ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan program walkabout di Projek Bazar Ampangan di Tapak Pusat Penjaja Bandar Baru Ampangan dekat sini hari ini.

Terdahulu, Abu Ubaidah melawat tapak pembinaan bazar berkenaan bernilai RM8.7 juta yang dijangka beroperasi pada awal tahun depan selain diberikan taklimat oleh Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Sabaruddin Sulaiman.

Abu Ubaidah berkata, Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatatkan sehingga jam 10 pagi ini menunjukkan Seremban dan Port Dickson semalam berada di tahap tidak sihat.

Tambah beliau, bacaan IPU pada pukul 10 pagi di Seremban mencatat 108 berbanding 77 sebelumnya manakala di Port Dickson bacaan 179 berbanding sekitar 90 semalam.

"Kualiti udara di Seremban dan Port Dickson kini berada di tahap tidak sihat manakala kawasan lain tahap sederhana," katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai yang berurusan di luar kediaman supaya lebih berwaspada dan mengehadkan aktiviti berkenaan.

Ubah corak pemikiran, jadi belia kelas pertama

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

NORPIPAH Abdol (dua dari kiri) bersalaman dengan para jemputan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara peringkat negeri di Hotel Permaisuri Stadium Hang Jebat, Melaka semalam. - UTUSAN/MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM

MELAKA 21 Jun - Golongan belia masa kini perlu mengubah corak pemikiran mereka seiring dengan peredaran zaman supaya modal insan kelas pertama dapat dilahirkan sebagai barisan pelapis kepemimpinan negara pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, belia harus mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal supaya berupaya menangkis segala ancaman anasir yang mahu mengkucar-kacirkan negara.

Menurutnya, seiring dengan peredaran masa, cabaran dihadapi golongan itu juga semakin getir dan memerlukan mereka untuk lebih peka terhadap isu semasa dan global.

"Pembangunan belia tidaklah semata-mata merujuk kepada definisi umur belia iaitu 15 hingga 40 tahun tetapi lebih bermaksud kepada melahirkan gerakan dalam kalangan belia.

"Hanya melalui gerakan, maka mobilasi belia ke arah menerajui pelbagai aspek pembangunan negara dapat dijayakan termasuk bersama-sama kerajaan ke arah mengangkat martabat negara ke tahap lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Zali Mat Yasin.

Idris berkata, program pembangunan belia yang yang dianjurkan pertubuhan belia juga perlu menggunakan pendekatan baharu yang keberkesanannya dapat dinilai bagi mengelak berlaku pembaziran peruntukan kerajaan.

Antara elemen yang perlu dimasukkan dalam setiap program pembangunan adalah memberi tumpuan kepada meningkatkan kefahaman golongan itu terhadap asas kewujudan negara, budaya bangsa dan realiti sosial serta ekonomi.

Selain itu katanya, belia juga perlu diperkasakan dari segi kreativiti serta inovasi elemen sains dan teknologi sepenuhnya sebagai usaha melahirkan golongan celik teknologi maklumat.

"Tidak terkecuali dalam melahirkan golongan belia kelas pertama, unsur jati diri perlu diterapkan dalam program pembangunan belia yang merupakan mekanisme terbaik mewujudkan belia yang teguh pendiriannya serta mempunyai semangat patriotisme," katanya.

Pantau kesihatan pelajar berikutan jerebu

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

M. Israf Lokman (kiri) dan Khairul Ikmal Abu Bakar memakai penutup muka bagi mengelakkan jerebu yang melanda Melaka semasa pulang ke rumah di Bukit Baru, Melaka, semalam.

MELAKA 21 Jun - Kerajaan negeri meminta Jabatan Pelajaran negeri sentiasa memantau keadaan semasa serta tahap kesihatan pelajar sekolah berikutan jerebu yang semakin membimbangkan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, jabatan berkenaan juga perlu membuat permohonan kepada Kementerian Pendidikan untuk menutup sekolah sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) dicatatkan pada tahap kritikal.

"Jabatan Pelajaran juga mengarahkan semua sekolah di negeri ini untuk tidak membenarkan pelajar hadir ke sekolah sekiranya mempunyai gangguan kesihatan.

"Selain itu, ibu bapa juga dibenarkan mengambil anak mereka lebih awal sekiranya mendapat arahan daripada pihak sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pelancaran Pengedaran Topeng Muka Kepada Pelajar Sekolah Seluruh Negeri, di Sekolah Kebangsaan Ayer Molek, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Kassim Mohamad dan Timbalannya, Abdul Mutalib Osman.

Dalam majlis itu, sebanyak 25,000 topeng diedarkan kepada pelajar dan kakitangan sekolah seluruh negeri ini bagi mengelak masalah kesihatan akibat jerebu.

Menurut Md. Yunos, topeng muka diedar kepada sekolah yang terletak di kawasan terjejas teruk iaitu di Melaka Tengah bermula hari ini dan jumlahnya akan ditambah mengikut keperluan bagi memastikan kesihatan pelajar tidak terganggu.

"Selain itu, semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini juga diminta supaya menyarankan kakitangan serta para penuntut mereka memakai topeng muka sebagai langkah keselamatan," katanya.

Sementara itu, Kassim berkata, Jabatan Pelajaran sehingga kini belum menutup mana-mana sekolah di negeri ini memandangkan bacaan IPU direkodkan masih belum di tahap kritikal.

"Melalui arahan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud semalam, sekolah hanya akan ditutup jika bacaan IPU mencapai tahap kritikal melebihi 300.

"Namun, semua aktiviti luar kelas termasuk Pendidikan Jasmani atau aktiviti perkhemahan sudah diarah dihentikan buat sementara waktu," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan