Sabtu, 15 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


21 keluarga dinasihat pindah

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Ar Ismail Othman (kiri) mendengar masalah sebahagian penduduk dua blok rumah teres yang terjejas ekoran tanah mendap di Taman Malim Permai, Melaka, kelmarin.

MELAKA 14 Jun - Sebanyak 21 buah keluarga yang masih tinggal di dua baris rumah teres dua tingkat yang retak akibat mendapan struktur tanah di Taman Malim Permai, Batu Berendam di sini dinasihatkan supaya berpindah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ar. Ismail Othman berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan para penduduk di kawasan itu terjamin memandangkan mendapan semakin serius hingga mengakibatkan keretakan pada bangunan.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang menunggu laporan daripada jurutera berhubung kestabilan struktur tanah untuk tindakan lanjut.

"Jika laporan menunjukkan rumah-rumah ini tidak selamat untuk didiami lagi, maka para penduduk perlu keluar bagi menjamin tahap keselamatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan ke kawasan berkenaan di sini semalam.

Yang hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Sapiah Haron.

Ismail berkata, kerajaan negeri pada tahun lalu turut menawarkan unit rumah pangsa di Padang Jambu dan Taman Murai di sini kepada para penduduk yang terjejas namun ditolak.

Oleh yang demikian jelasnya, kerajaan negeri akan membantu menyelesaikan masalah itu segera dengan meminta pemaju untuk membangunkannya semula.

"Buat sementara waktu, kerajaan negeri bersedia memberi para penduduk tapak untuk diduduki secara percuma sementara menunggu rumah itu siap dibina semula oleh pemaju.

"Apabila masalah berkenaan telah diselesaikan, para penduduk asal akan diberi keutamaan untuk menduduki semula rumah tersebut," ujarnya.

Tambahnya, tiga keluarga dari 24 unit rumah berkenaan telah pun berpindah dan selebihnya merupakan penyewa termasuk tiga pemilik.

Melaka bina 1,400 rumah PPR mulai Julai ini

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

MELAKA 14 Jun - Sebanyak 1,400 unit rumah melalui tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di negeri ini bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ar. Ismail Othman berkata, ketiga-tiga projek itu dijangka akan mula dibangunkan pada Julai ini selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurutnya, perumahan baharu untuk golongan berpendapatan rendah itu adalah PPR Kampung Tun Razak, Bukit Katil yang menyediakan 300 unit rumah, PPR Paya Rumput, Tangga Batu (600 unit) dan PPR Ayer Panas, Bemban (500 unit).

"Projek ini amat bersesuaian dilaksanakan pada waktu ini memandangkan banyak permohonan PPR diterima. Sehingga Mei lepas sahaja, telah mencapai sehingga 3,659 orang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja bersama Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd. Sadique di PPR Sungai Putat, Batu Berendam di sini semalam.

Yang turut hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Yusuff Ghazali dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka, Shadan Othman.

Ismail berkata, projek perumahan elit tidak menjadi keutamaan kerajaan negeri pada masa ini kerana menumpukan kepada projek perumahan mampu milik bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan setiap keluarga memiliki sebuah rumah.

Beliau berkata, pihaknya juga telah memohon kepada kementerian supaya membina tujuh lagi PPR di negeri ini yang akan dilaksanakan pada 2015.

"Selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahukan setiap keluarga memiliki rumah sendiri, kita akan rancakkan pembangunan perumahan baharu kos rendah dan PPR agar memberikan peluang kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah mendapat rumah," katanya.

Katanya, beliau yakin PPR yang bakal dibina ini akan mendapat sambutan menggalakkan kerana selain harga jualan serendah RM35,000 seunit, reka bentuk dan kemudahan lain juga telah ditambah baik, setaraf dengan projek perumahan yang dibangunkan pihak swasta.

Pulau Sebang perlu identiti baharu

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

ALOR GAJAH 14 Jun - Pulau Sebang yang bersempadan dengan Tampin, Negeri Sembilan perlu diwujudkan identiti baharu bagi mengelak berlakunya kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang masih menganggap kawasan itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Datuk M.S. Mahadevan berkata, selain kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya pelancong, masalah berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pembekal perkhidmatan utiliti juga menghadapi masalah.

Menurutnya, beliau telah menerima aduan daripada penduduk pekan berkenaan yang gagal mendapatkan perkhidmatan tertentu akibat berlakunya 'penolakan' daripada agensi berkaitan di kedua-dua negeri.

"Saya ada mendapat aduan, antaranya yang melibatkan soal perkhidmatan utiliti elektrik dan air yang apabila pengadu ingin mendapatkan perkhidmatan di Negeri Sembilan, telah ditolak ke Melaka dan begitu sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan dan Kesedaran Awam di Stesen KTM Pulau Sebang di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek berkata, pada peringkat permulaan ini, pihaknya telah memohon kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk membina pintu gerbang di Pekan Pulau Sebang sebagai sempadan pemisah antara negeri ini dan Negeri Sembilan.

Katanya, bagi menampakkan perbezaan, bangunan di pekan berkenaan juga telah dicat dengan warna jingga, selain meletakkan papan tanda tertentu bagi mengelak daripada berlaku sebarang kekeliruan.

Menurutnya, usaha berkenaan adalah perlu memandangkan Pulau Sebang merupakan salah satu daripada laluan masuk ke negeri ini sama ada melalui jalan raya atau Stesen Keretapi Pulau Sebang.

Mahadevan berkata, dalam tempoh terdekat ini, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak PBT dan pembekal perkhidmatan utiliti bagi menentukan kawasan yang tertakluk di bawah bidang kuasa agensi berkenaan supaya pada masa hadapan, rakyat dapat menerima perkhidmatan yang memuaskan.

"Apa yang mahu adalah kebajikan dan keselesaan rakyat di kawasan ini terjamin, tidak mahu lagi timbul masalah kecil tidak dapat diselesaikan akibat daripada kekeliruan persempadanan negeri ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan