Rabu, 12 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Dalamkan kolam takungan

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 11 Jun - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengarahkan pemaju sebuah projek perumahan baharu di Jalan Langgar di sini supaya mendalamkan kolam takungan air bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di Taman Permai Baru.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, kerja-kerja mendalamkan kolam takungan air tersebut sedang dilakukan dan ia dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk siap.

"Dengan adanya kolam takungan air yang lebih dalam, dapat menampung lebih banyak limpahan air, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat di Taman Permai Baru," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mat Noh, MBAS pernah melakukan kerja-kerja mendalamkan parit di jalan utama berhampiran perumahan berkenaan namun ia tidak dapat mengatasi masalah banjir kilat di situ.

"Ini kerana Taman Permai Baru adalah perumahan lama yang terletak di paras rendah berbanding perumahan baharu terletak di sekelilingnya menyebabkan air melimpah masuk ke taman itu," ujarnya.

Akhbar ini hari ini melaporkan penduduk Taman Permai Baru di Jalan Langgar di sini tertekan apabila kawasan perumahan mereka kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Dalam kejadian petang semalam kira-kira 20 buah rumah di situ digenangi air sedalam hampir setengah meter.

Pemilik restoran dakwa 'MPSP samseng'

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

SABARUDDIN Ahmad menunjukkan laporan polis mengenai tindakan MPSP merobohkan struktur bumbung sisi restoran miliknya di Bandar Sunway Seberang Jaya di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam.

PERMATANG PAUH 11 Jun - Penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) didakwa bertindak ala samseng ketika datang merobohkan struktur tambahan sebuah restoran nasi kandar di Bandar Sunway, Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Pemilik restoran terlibat, Sabaruddin Ahmad berkata, lebih 100 anggota penguat kuasa MPSP datang bersama sebuah jentolak untuk merobohkan bumbung sisi restoran dan simen tempat letak motosikal pada 23 Mei lalu.

Menurutnya, akibat tindakan tersebut, kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu rosak, selain berlaku litar pintas yang mengakibatkan kerugian hampir RM12,000.

"Saya kesal dengan tindakan ala samseng MPSP yang bukan sahaja merobohkan struktur bumbung sisi yang dibina untuk mengelakkan tempias hujan, malah menyebabkan kerosakan pada peralatan di restoran saya.

"Saya juga kerugian hampir RM12,000 apabila wayar CCTV dipotong sehingga berlaku litar pintas di seluruh kedai," katanya yang mengambil alih restoran itu sejak Februari lalu.

Mengulas lanjut jelas Sabaruddin, pihaknya menerima notis daripada MPSP awal bulan lalu atas alasan melanggar syarat kelulusan apabila memasang bumbung sisi.

Tambahnya, beliau telah menghantar surat rayuan kepada MPSP pada 22 Mei lalu, namun sebelum sempat surat itu dijawab, MPSP telah datang merobohkan struktur tambahan keesokan harinya.

"Sebenarnya bumbung sisi itu dibina oleh pemilik asal, namun saya hairan kenapa sebelum ini mereka tidak mengambil tindakan terhadapnya.

"Selain itu, terdapat banyak kedai lain di kawasan ini yang turut memasang bumbung sisi tetapi tiada sebarang tindakan diambil oleh MPSP," ujarnya.

Berang dengan tindakan berkenaan, beliau membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya hari ini dan berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap MPSP.

Beliau juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menyiasat sekiranya berlaku unsur rasuah dengan tindakan MPSP itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan