Rabu, 19 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


JKJR yakin capai sasaran

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada peserta Seminar Hormati Had Anda di Butterworth, Pulau Pinang, semalam. - Utusan/Sazali Che Din

BUKIT MERTAJAM 18 Jun - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) yakin dapat mengurangkan statistik kematian akibat kemalangan jalan raya dengan hanya dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan yang berdaftar di negara ini.

Hal ini kerana pihaknya percaya kerjasama daripada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama jabatan itu dalam menganjurkan seminar keselamatan Hormati Had Anda kepada pemandu dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya di negara ini.

Pengarah JKJR negeri, S. Jegan berkata, menerusi seminar tersebut pemandu diberi kesedaran tentang kepentingan menghormati had kemampuan fizikal dan kenderaan yang dipandu supaya tahap keselamatan di jalan raya dapat ditingkatkan.

"Setiap tahun kita akan jemput pemandu dan operator kenderaan berat untuk hadir seminar ini supaya mereka berpeluang mempelajari teknik serta tips, pemanduan selamat di jalan raya dan lebuh raya.

"Menerusi seminar ini kita harap ia dapat mengubah sikap dan tabiat pemandu kenderaan terutama pemandu kenderaan berat agar mementingkan keselamatan di jalan raya bagi memastikan jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Seminar Keselamatan Hormati Had Anda yang dihadiri pemandu-pemandu kenderaan berat di sini.

Yang turut hadir Pengurus PLUS Wilayah Utara, Mohamad Pazli Kasim.

Sehubungan itu, Jegan berkata, pemandu perlu mengubah sikap dan tabiat memandu supaya kemalangan dapat dielakkan.

"Setiap tahun kita menerima pertambahan sebanyak 1.4 juta kenderaan baru yang berdaftar di jalan raya dan 540,000 pemandu baru setiap tahun.

"Statistik kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat setakat Januari hingga April tahun ini adalah sebanyak 632 kes melibatkan lori dan 75 kes melibatkan bas daripada jumlah keseluruhan 3,091 kes kemalangan dicatatkan.

"Jumlah kematian pula adalah sebanyak 128 kematian iaitu 48 kematian melibatkan lori dan lapan lagi melibatkan bas," ujarnya.

RM500,000 diperuntuk bantu 50 peserta 1Azam Tani Pulau Pinang

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Mahmud Zakaria (kanan) dan Habibah Sulaiman (dua dari kiri) melihat mesin jahit yang diberikan kepada seorang peserta 1Azam Tani di Nibong Tebal, Pulau Pinang, kelmarin.

NIBONG TEBAL 18 Jun - Kerajaan Pusat memperuntukkan RM500,000 bagi membantu 50 ketua isi rumah bagi program Bantuan 1Azam Tani (Akhiri Zaman Miskin) bagi meningkatkan pendapatan golongan itu di negeri ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, Habibah Sulaiman berkata, bantuan yang disalurkan kepada FAMA itu bertujuan membantu golongan miskin keluar daripada kemiskinan dengan menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, peserta yang dipilih itu akan menerima bantuan peralatan serta bimbingan setelah mereka tersenarai dalam data e-kasih.

"Menerusi bantuan itu FAMA akan membantu peserta mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan daya saing melalui kursus pembangunan modal insan dan latihan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan 1Azam Tani di kawasan Sungai Acheh, di sini.

Majlis penyampaian bantuan kepada tiga peserta 1Azam Tani itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria.

Peserta yang menerima bantuan itu ialah Mat Shah Shafee, 38, menerima peralatan perniagaan, Sidek Ismail, 46, (mesin jahit) dan Ali Yusuf, 65, menerima jentera mengepam air. Setiap seorang menerima bantuan bernilai RM10,000.

Habibah berkata, sejak 2010 hingga 2012 seramai 99 peserta di Pulau Pinang menerima bantuan 1Azam Tani dan daripada jumlah itu, 74 orang berjaya meningkatkan pendapatan mereka.

"Hasil pemantauan yang dijalankan 74 peserta yang menerima bantuan itu berjaya keluar daripada garis kemiskinan dan memperoleh pendapatan tambahan antara RM50 hingga RM1,000 sebulan," katanya.

70 pelajar ke IPT dibantu

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Shahanim Mohd. Yusuf (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Faiznur Izati Mohd. Fuad sempena Program Sumbangan Pelajar Ke IPTA dan IPTS di Sungai Petani, Kedah semalam.

SUNGAI PETANI 18 Jun - Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 70 anak penduduk kampung di Parlimen tersebut yang menerima tawaran melanjutkan pengajian di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara mulai tahun ini

Ketuanya, Shahanim Mohd. Yusuf berkata, walaupun sumbangan diberi tidak seberapa nilainya tetapi dapat memberikan satu perangsang dan semangat baharu kepada pelajar apabila berada di pusat pengajian itu nanti.

Ada di antara mereka dipilih melanjutkan pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Akademi Laut Malaysia (Alam), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), politeknik dan lain-lain.

Katanya, mereka yang dipilih ke pusat pengajian berkenaan bukan daripada keluarga mewah dan sebahagian perlu dibantu.

"Saya yang prihatin dengan masalah mereka tampil menghulur sedikit sumbangan sekadar yang terdaya dan apabila dapat wang begini, mereka jadi bertambah ceria kerana boleh membeli beberapa barang keperluan nanti," katanya pada majlis menyampaikan sumbangan itu di sini hari ini.

Menurut Shahanim, dia melakukan aktiviti begini sejak beberapa tahun lalu.

"Saya ingin melihat mereka berjaya dalam hidup pada masa akan datang.

"Saya sendiri adalah daripada keluarga susah tetapi setelah berpeluang menjejak kaki ke Universiti Utara Malaysia (UUM), keadaan kehidupan terus berubah setelah ada satu bidang pendapatan yang boleh menjamin kehidupan," katanya.

Seorang pelajar dipilih masuk ke Kolej Poly Tech Mara di Kota Bharu, Kelantan, Faiznur Izzati Mohd. Fuad, 18, dari Permatang Pasir, Tikam Batu ketika ditemui berkata, dia gembira menerima sumbangan diberikan itu dan menjadi satu kenangan dan sukar untuk dilupai.

Katanya, dia perlu mendaftar diri di Poly Tech Mara Kota Bharu, Kelantan pada 24 Jun ini dalam bidang pengajian pelancongan selama tiga tahun.

0 ulasan:

Catat Ulasan