Selasa, 18 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


DAP tidak boleh lagi bersandiwara

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Oleh KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my

Tunku Abdul Aziz, R. Vellasamy

KUALA LUMPUR 18 Jun - DAP tidak boleh lagi bersandiwara dan berbelit-belit mengenai kontroversi pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu tahun lalu.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, DAP mesti memberi kerjasama penuh kepada siasatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk membuktikan ketelusan parti itu.

Ini satu peluang terbaik untuk DAP berterus-terang, tidak perlu lagi berbelit-belit dan bersandiwara, lagipun, mereka juga yang selama ini melaungkan slogan CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus).

Jika terbukti benar berlakunya kesalahan, mereka kena minta maaf, baharu nampak bermoral. Kalau tidak, slogan CAT itu kita boleh anggap tidak lebih daripada kucing kurap," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, pihaknya meminta DAP mengemukakan keterangan dan bukti mengenai silap kira undi yang berlaku dalam pemilihan CEC parti itu tahun lalu.

Siasatan tersebut bagi mengenal pasti sama ada silap kira undi tersebut berlaku atas sebab computer glitch ataupun merupakan satu penyelewengan.

Pemilihan CEC DAP pada tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah untuk mengundi di dalam pemilihan tersebut.

Sementara itu, bekas Ketua Cawangan DAP Pantai Sepang, R. Vellasamy berkata, DAP perlu mematuhi segala arahan ROS dan menyerahkan bukti-bukti yang diminta untuk membantu siasatan kontroversi itu.

Jangan berlengah-lengah lagi, seluruh rakyat Malaysia tertanya-tanya dan tuduhan ini bukan datang daripada Barisan Nasional (BN) tetapi ahli DAP sendiri," katanya.

Katanya, kontroversi pemilihan CEC itu merupakan isu besar kerana perkara tersebut bukan sekadar melibatkan hak mengundi bagi seorang atau dua orang ahli parti tetapi seramai 753 orang.

Gelaran pengkhianat lebih tepat untuk pemimpin Pas patuh arahan parti lain

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Norazli Musa, Mahfodz Mohamed

KUALA LUMPUR 18 Jun - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa tidak sewajarnya menggelar mana-mana pemimpin parti yang tidak menyertai perhimpunan anjuran pakatan pembangkang bagi membantah perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, sebagai pengkhianat.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berpandangan, gelaran pengkhianat sebenarnya lebih tepat diberikan kepada mana-mana pemimpin Pas yang mematuhi arahan pucuk pimpinan parti lain.

Menurut beliau, arahan untuk menganjurkan perhimpunan membantah keputusan PRU-13 dikeluarkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan melalui persetujuan majlis pimpinan pakatan pembangkang.

Kalau kita mematuhi arahan pemimpin parti lain, itu lagi khianat sebenarnya," katanya di sini hari ini.

Norazli mengulas percanggahan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak memaksa ahli Pas menyertai perhimpunan itu sedangkan Husam sebelum ini mendakwa pemimpin Pas yang tidak menyokong pendiriannya sebagai pengkhianat parti yang lupa asal-usul.

Semalam, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din meminta ahli parti mematuhi pendirian dan nasihat Abdul Hadi.

Norazli menambah, ahli Pas juga sepatutnya wala atau mematuhi pendirian pemimpin yang mempunyai kedudukan paling tinggi di dalam parti.

Husam cuma Naib Presiden sedangkan Abdul Hadi ialah Presiden manakala Majlis Syura Ulama menduduki hierarki tertinggi di dalam Pas.

Sepatutnya kita menyokong pemimpin yang lebih tinggi, bukannya bercanggah pendapat dengan mereka," jelasnya sambil menegaskan tidak akan menghadiri perhimpunan itu kerana mematuhi arahan pemimpin tertinggi Pas.

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, secara dasarnya, mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 9 Jun lalu sebulat suara bersetuju parti itu mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, tidak kesemua pemimpin dan ahli Pas dapat hadir kerana mereka ada halangan atau urusan lain yang lebih penting.

Mungkin mereka ada keperluan lain seperti urusan di luar kawasan atau mengerjakan umrah semasa perhimpunan dijalankan.

Kita tidak boleh melabelkan mereka sebagai pengkhianat kerana masing-masing ada alasan. Itu tidak tepat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya sama ada akan menyertai perhimpunan tersebut atau tidak, Mahfodz menjelaskan, beliau berada di luar kawasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan