Rabu, 12 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Mahasiswa UMP bimbing pelajar

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Seramai 97 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor Lelaki (SMASH) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Air Itam (SMAI) bersama mahasiswa Universiti Malaysia Pahang yang menyertai program Projek Kilauan Mutiara anjuran Kelab In-Smartive di Kompleks Asrama SMASH, Pulau Pinang, baru-baru ini. - gambar ihsan UMP

KUANTAN 12 Jun - Sebanyak 17 sekolah termasuk dari luar negeri ini terlibat dalam program kesukarelaan sambil berbakti anjuran mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) sejak awal tahun ini.

Program yang dikenali sebagai Projek Kilauan Mutiara tersebut merupakan anjuran Kelab In-Smartive UMP.

Baru-baru ini, sebanyak 97 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor Lelaki (SMASH) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Air Itam (SMAI) di Pulau Pinang terlibat dalam program motivasi berkenaan.

Pengarah program yang juga mahasiswa UMP dari Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Mohamad Eliyass Jamaruppin, 21, berkata, para peserta terdiri daripada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di kedua-dua sekolah.

"Projek selama tiga hari yang berlangsung di Kompleks Asrama SMASH ini diisi dengan pelbagai modul interaktif yang menumpukan aspek pembangunan kendiri, komunikasi, kerjasama, kerohanian dan motivasi diri peserta ini membabitkan seramai 35 fasilitator dalam kalangan mahasiswa UMP," katanya.

Turut hadir Pensyarah Fakulti Teknologi yang juga Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd. Zain dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMASH, Prof. Dr. Wan Rosli Wan Daud.

Pada program tersebut, Muhammad Arif Mat Naser (SMASH) dan Aminuddin Ahmad (SMAI) dinobatkan sebagai peserta terbaik.

Mohamad Eliyass berkata, pelbagai aktiviti diadakan, antaranya program perkongsian khas bersama pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ismail Abustan.

"Program perkongsian ini adalah tentang cabaran pemetaan hala tuju akademik bagi calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM," katanya.

Presiden Kelab In-Smartive, Mohd. Jamil Mohd. Ja'afar, 23, berkata, penglibatan mahasiswa membantu pelajar sekolah dapat memberikan suntikan semangat kepada mereka dalam melakukan persediaan bagi menghadapi peperiksaan.

Selain itu, katanya, bagi mahasiswa, pengalaman melalui program tersebut membantu mereka berdepan dengan masyarakat terutamanya dalam meneruskan agenda kesukarelaan walaupun tamat pengajian di universiti kelak.

OUM Pahang anjur Seminar OSH

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

Sebahagian peserta yang mengikuti Seminar OSH anjuran OUM Pahang di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 12 Jun - Pusat Pembelajaran Pahang, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) baru-baru ini menganjurkan Seminar Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan (OSH) dalam usaha untuk memberi pendedahan kepada pekerja industri mengenai pentingnya mengutamakan keselamatan di tempat kerja.

Seminar yang diadakan di kampus berkenaan di sini dihadiri oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi OUM, Prof. Dr. Latifah Abdol Latif serta peserta dari kawasan industri sekitar Kuantan, Gebeng, Pekan, Bentong dan Kemaman.

Para peserta mewakili lebih 19 syarikat ternama yang terlibat dalam pelbagai industri seperti automotif, elektrik, elektronik, keluli, kertas, plastik, pengangkutan, fabrikator dan kejuruteraan.

Pengarah Pusat Pembelajaran Pahang OUM, Dr. Ahmad Izanee Awang berkata, program yang pertama kali diadakan itu melibatkan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi universiti berkenaan.

Menurutnya, program itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) OUM dalam memberikan kesedaran kepada majikan serta pendedahan kepada pekerja industri tentang kepentingan OSH kepada pekerja bagi mengurangkan risiko kemalangan berkaitan tempat kerja.

"Memandangkan respons daripada industri sangat menggalakkan, OUM sebagai institusi pembelajaran sepanjang hayat akan terus mengadakan siri seminar serupa pada masa akan datang dengan menjemput pekerja dari agensi lain pula," katanya.

Sementara itu, Latifah berkata, pihak industri harus sedar bahawa kerja pencegahan kemalangan di tempat kerja merupakan syarat untuk meningkatkan produktiviti.

"Lazimnya, sesebuah organisasi yang berkesan tidak hanya akan mengurangkan risiko terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, malah akan menunjukkan peningkatan tinggi dalam produktiviti dan keuntungan syarikat.

"Program seperti ini harus diteruskan kerana peserta akan mendapat informasi terkini mengenai OSH malah dapat bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain," katanya.

Cuti semester: Ahmad Naquddin berdakwah

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

KUALA LIPIS 12 Jun - Biasanya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menghabiskan cuti semester dengan 'memerap' di rumah setelah penat bergelut dengan pengajian di kampus atau melancong jika berkemampuan.

Namun terdapat juga penuntut yang memilih membuat kerja kebajikan, apatah lagi aktiviti seperti itu merupakan kegiatan berharga kerana bukan sahaja dapat menggilap pengetahuan malah mampu mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Atas hakikat inilah, seorang penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP), Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Hajah Afzan (IPGKTAA), Lipis, Ahmad Naquddin Abdul Wahid, 23, memilih sekolah pondok Maahad Tahfiz a-Quran Waal Tarbiyah Al Diniah Kampung Relong, Lipis untuk mengabdikan diri dan pengetahuannya untuk berdakwah.

Ahmad Naquddin berkata, dia memilih sekolah pondok berkenaan untuk mempraktikkan kemahiran tajwid dan hafazan al-Quran kepada 18 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun di situ.

"Saya tidak memilih balik ke kampung di Pekan, sebaliknya memilih sekolah pondok kampung itu untuk melaksanakan kerja sukarela iaitu mendidik pelajar tahfiz.

"Tugas ini amat murni dan ini adalah persediaan saya sebagai pendidik apabila tamat belajar di IPGKTAA Lipis tidak lama lagi," kata penuntut semester lapan itu di Kampung Relong dekat sini baru-baru ini.

Dia yang ditemui ketika mengendalikan ujian tasmik iaitu ujian bacaan al-Quran bersama tiga tenaga pengajar pondok berkenaan menyifatkan pengalaman selama dua minggu di situ amat berharga, sekali gus mendorongnya untuk menjadi guru tahfiz.

"Ketika mula bercuti, saya terus memohon untuk mengajar secara sukarela di pondok ini dan kehadiran saya diterima dengan senang hati termasuk oleh mudir pondok ini, Ustaz Sirajuddin Imam Uda," katanya.

Dia yang pernah belajar di Maahad Tahfiz al-Quran di Kuantan dan Pekan berkata, minat pelajar di Kampung Relong itu amat tinggi dan bersemangat menghafaz surah al-Quran dan ada yang sudah menghafaz 28 juzuk.

"Saya membantu membetulkan sebutan bacaan dan tajwid serta menyempurnakan pengajaran tentang bab fardu ain dalam kalangan pelajar di sini," katanya.

Ahmad Naquddin berkata, selesai cuti semester minggu ini, dia akan kembali semula untuk meneruskan pengajian Pendidikan Islam di IPGKTAA Lipis dan menanam tekad untuk menjadi seorang yang berdedikasi, khususnya dalam bidang dakwah.

Tambahnya, cintanya terhadap al-Quran menzahirkan perasaan berharga iaitu turut menyayangi anak-anak dan pelajar dengan menumpahkan pengetahuan dan pengalaman tentang bidang hafazan ayat kitab suci berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan