Isnin, 24 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Cari ketetapan prosedur - Niosh

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR 23 Jun - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengadakan perjumpaan dengan pengusaha lori simen dan syarikat pembekal konkrit siap tuang (ready mix concrete) bagi menyelesaikan masalah tumpahan simen konkrit yang merosakkan jalan raya di ibu negara.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, melalui perjumpaan itu, pihak terlibat perlu mewujudkan satu ketetapan prosedur yang perlu dipatuhi dalam menyelesaikan masalah tumpahan simen konkrit di jalan raya.

Menurut Lam Thye, masalah tumpahan simen konkrit dari lori-lori pembawa konkrit siap tuang di jalan raya jelas memberi tekanan jiwa kepada pengguna yang lain kerana kenderaan mereka terdedah kepada risiko rosak selain boleh berlaku kemalangan.

"Tompokan simen dan pasir (di permukaan jalan) akibat tumpah, sama ada kerana lebihan muatan atau pemanduan yang tidak berhemah pemandu lori amat mencemarkan pandangan terutama kepada jalan raya yang baru siap dibina. Simen yang berselerak di atas jalan raya ini mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya, khasnya penunggang motosikal.

"Kerosakan yang berlaku ke atas kemudahan awam yang amat penting ini semakin berleluasa sejak kebelakangan ini adalah berpunca daripada pembangunan pesat terutamanya di bandar besar, malah ia amat ketara di Kuala Lumpur oleh kerana begitu banyak pembangunan sedang berjalan seperti pembinaan jejambat, sistem pengangkutan MRT, bangunan dan infrastruktur lain.

"Kita bukan hendaklah menyalahkan pembangunan tetapi lebih khusus kepada sikap dan tanggungjawab untuk melaksanakan kerja dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya akibatnya tidak memberi risiko kepada kemungkinan berlaku kemalangan di tempat kerja yang sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan yang tinggi.

"Selain mencacatkan permukaan jalan, tumpahan konkrit turut mengundang bahaya kepada pengguna khususnya penunggang motosikal.

"Sikap pemandu lori yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan menyebabkan masalah ini semakin meningkat dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia pada Selasa lalu mengenai masalah kecacatan jalan raya di sekitar ibu negara yang disebabkan oleh tumpahan konkrit dan batu kerikil daripada lori yang mengangkutnya ke tapak pembinaan.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, masalah tersebut juga dapat diatasi jika setiap pemandu lori berkenaan menerapkan disiplin yang tinggi dalam diri masing-masing.

"Saya yakin jika semua pemandu lori di negara ini memandu dengan berhemah masalah ini pasti tidak berlaku dan sudah tentu kes kemalangan yang membabitkan pengguna lain dapat dikurangkan.

"Pengusaha lori simen juga perlu memberi pendidikan kepada semua pemandu mereka supaya semua peraturan diikuti dan dipatuhi," ujarnya.

14 bot Magic of the Night terangi Putrajaya

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Beberapa bot berhias berkumpul selepas berarak dalam acara Magic of the Night di Tasik Putrajaya sempena Floria Putrajaya 2013 di Putrajaya malam semalam.

PUTRAJAYA 23 Jun - Pesisiran Tasik Putrajaya di Presint 2, Putrajaya malam tadi bermandikan limpahan cahaya daripada sebanyak 14 buah bot berhias yang menyertai acara Magic of the Night anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Penganjuran kali ketiga dengan tema Colours of Harmony itu berjaya menarik perhatian pengunjung ke bandar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan ini untuk menyaksikan perarakan sejauh tiga kilometer bot berhias berkenaan.

Majlis perasmian acara yang mendapat kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena penganjuran Floria Putrajaya 2013 itu dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, acara itu bukan sahaja dapat mempromosi Putrajaya malah menjadikan Malaysia sebagai destinasi unik di peringkat global.

"Kami sasarkan lebih sejuta pengunjung termasuk dari luar negara dan tempatan memeriahkan festival yang berlangsung selama sembilan hari ini," katanya.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Dr. Ong Hong Peng dan Presiden PPj, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.

Penganjuran acara yang bermula malam tadi hingga Ahad depan itu turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api.

Penyertaan bot terdiri daripada wakil China (Suzhou), Perak, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu Pahang, Sarawak, Melaka, Johor, dan Sabah.

Antara agensi yang turut terlibat adalah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tourism Malaysia, Perbadanan Putrajaya, dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Mohamed Nazri berkata, penganjuran acara itu selari dengan usaha mempromosi negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dalam masa sama, tambah beliau, melalui acara itu para peserta dapat mempamerkan kreativiti dengan menghias bot-bot berkenaan.

"Antaranya dengan tema flora dan fauna, ikon serta produk-produk pelancongan dan kebudayaan yang menjadi tarikan mengikut negara, negeri atau organisasi masing-masing," katanya.

Pembangunan semula perumahan diteruskan

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor (dua dari kiri) membawa kotak undi kepada seorang warga emas yang tidak mampu berjalan sewaktu majlis pengundian rumah Kerinchi Residensi di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor kelmarin.
Foto - TENGKU M FAKHRUDDIN
Wartawan - ZULFADLI ( Kota )

PETALING JAYA 23 Jun - Kerajaan akan meneruskan program pembangunan semula kawasan perumahan yang dianggap perlu demi memberikan keselesaan kepada warga kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kawasan di sekitar Kerinchi, Kampung Baru dan kuarters tentera lama di Jalan Ipoh merupakan antara kawasan yang bakal dibangunkan semula.

"Kami juga akan melihat kawasan lain untuk pembangunan semula seperti yang dilaksanakan di Taman Ikan Emas, Bandar Tun Razak. Penghuni boleh berpindah ke rumah lebih selesa daripada apa yang ada sekarang.

"Selain pembangunan semula Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi, kami mempunyai projek pembangunan semula seperti di Kampung Baru dan kawasan perumahan tentera lama di Jalan Ipoh yang mahu kita bangunkan untuk memberi keselesaan kepada para penghuni," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengundian Unit Rumah Kerinchi Residensi yang diadakan di sebuah hotel di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan; Pengarah Suez Domain Sdn. Bhd., Datuk Yasran Hussain; dan Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi, Ahmad Rahman.

Dalam majlis tersebut, kira-kira 400 penghuni flat itu hadir untuk mencabut undi unit rumah yang bakal diduduki pada April 2016. Wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga hadir sebagai pemerhati.

Tengku Adnan turut merayu kepada 473 penghuni yang bakal mendiami Kerinchi Residensi supaya tidak menjual unit rumah mereka walaupun wang pampasan sebanyak RM143,000 diberikan kepada sesiapa yang menjualnya.

"Ini kerana kawasan perumahan ini merupakan lokasi strategik yang mempunyai pelbagai kemudahan untuk manfaat penduduk terbabit. Pihak pemaju (Suez Domain) juga memberi jaminan harga unit rumah di situ akan melonjak sehingga ke RM500,000 apabila siap dibina kelak.

"Terdapat 35 penduduk asal di sini tidak bersetuju dengan projek tersebut akibat termakan dengan hasutan pihak pembangkang yang menyebabkan mereka rugi kerana tidak dapat menikmati keselesaan itu," jelasnya.

Katanya, pihak pemaju turut menjangkakan pembinaan tersebut dijangka siap enam bulan lebih awal daripada tarikh sebenar.

"Ini merupakan usaha pihak kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan penduduk bersama-sama bersetuju untuk membangunkan semula perumahan ini berikutan flat tersebut sudah usang dan banyak masalah," ujarnya.

Beliau menambah, beliau akan meneruskan legasi dan menghargai kerja-kerja bekas menteri sebelum ini iaitu Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk membangunkan kawasan-kawasan tersebut demi keselesaan penduduk.

"Kami minta rakyat memberikan kerjasama yang padu kepada pihak kerajaan dan DBKL demi memastikan pembangunan ini berjalan lancar. Saya juga mengucapkan syabas kepada penghuni yang bersetuju dengan projek ini," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan