Jumaat, 21 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Jadikan teguran rakyat motivasi

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

Oleh Noor Hanis Harun
utusanN(@utusan.com.my

Jalaluddin Alias (tiga dari kiri) memotong kek sambil diperhatikan Abd. Halim Abd. Latif (dua dari kanan) dan dari kiri Mohd. Ghazali Abdul Wahid serta Ishak Ismail semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun MPS Ke-116 di Seremban, semalam.

SEREMBAN 20 Jun - Semua teguran oleh rakyat terhadap keberkesanan kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini wajar dijadikan motivasi untuk membantu membaiki mutu perkhidmatan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, teguran itu tidak hanya menjurus kepada aspek negatif, tetapi juga mengambil kira maklum balas positif dalam usaha mencorakkan kecemerlangan dalam semua urusan membabitkan rakyat.

''Sebagai agensi yang dekat dengan rakyat, kita bukan sahaja memegang peranan untuk memastikan keadaan pembangunan fizikal negeri ini berjalan lancar, malah turut mementingkan aspek pembangunan modal insan.

''Kita mahu memenuhi keperluan rakyat dengan semua kemudahan lengkap agar mereka merasa selamat dan boleh menjalani hidup lebih harmoni dan sejahtera," katanya.

Jalaluddin berkata demikian dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Ke-116 di Dewan MPS, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MPS, Datuk Abd. Halim Abd. Latif; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail dan ADUN Paroi, Mohd. Ghazali Abdul Wahid serta lebih 1,000 kakitangan MPS.

Jalaluddin mengucapkan syabas kepada MPS kerana dapat terus meningkatkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan memastikan setiap tindakan itu dibuat cepat, cekap dan cemerlang.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada 27 orang kakitangan, pesara serta waris kakitangan yang telah meninggal dunia pada tahun lalu.

PPSPPA tingkatkan pemantauan kontraktor buang sampah binaan

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

MELAKA 20 Jun - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri akan meningkatkan pemantauan terhadap kontraktor pembinaan yang sesuka hati membuang sisa dan sampah binaan di bahu jalan terutamanya di kawasan perumahan.

Pengarahnya, Ir. Zainuddin Abdul Samad berkata, pihaknya akan menjalankan intipan ke atas kontraktor persendirian yang disyaki terlibat melakukan kesalahan itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Menurutnya, tindakan kontraktor tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja telah mencatatkan imej kawasan tertentu tetapi turut menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

"Tindakan pihak kontraktor tersebut adalah tidak wajar dan mereka perlu mengambil kira persekitaran orang awam yang menghuni di kawasan perumahan itu.

"Hari ini saya telah memantau sekitar kawasan yang sering menjadi tempat utama pembuangan sampah bahan binaan oleh pihak kontraktor tidak bertanggungjawab dan amat mengejutkan kerana masalah ini semakin menjadi-jadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Jalan KP 42, Taman Krubong Perdana di sini baru-baru ini.

Zainuddin berkata, hasil tinjauan di beberapa kawasan perumahan terlibat di negeri ini, beliau telah meminta pihak SWM Environment Sdn. Bhd. mengambil tindakan segera membersihkan kawasan berkenaan demi keselesaan penduduk.

Beliau turut meminta orang ramai supaya segera menyalurkan maklumat kepada PPSPPA sekiranya mengetahui atau melihat mana-mana kontraktor yang melakukan kesalahan berkenaan supaya tindakan dapat diambil.

Ilmu agama mampu jadi benteng pelajar hadapi cabaran

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

Shamsulkahar Mohd. Deli (depan, tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jempol, Negeri Sembilan, kelmarin.

JEMPOL 20 Jun - Pelajar perlu memantapkan diri dengan ilmu agama Islam kerana ia mampu menjadi benteng dalam berhadapan cabaran mendatang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli menjelaskan, walaupun subjek pendidikan Islam dan pelaksanaan Program Jawi, Quran dan Fardu Ain (JQaf) bukan subjek wajib lulus namun itu tidak boleh dipandang remeh.

''Cabaran pada masa kini amat kuat dan pelajar seharusnya mempunyai ilmu agama Islam yang tinggi agar dapat membezakan perkara yang baik dan tidak.

''Ilmu agama ini sangat luas kerana bukan setakat mengajar sejarah Islam dan bacaan al-Quran tetapi turut mengandungi pelbagai nasihat positif untuk dijadikan panduan terutama buat remaja,'' katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jempol, di sini semalam.

Katanya, melalui program JQaf, pihaknya menyasarkan agar pelajar sekolah rendah dapat khatam al- Quran sebelum naik ke tingkatan satu.

''Pada tahun lalu seramai 12,500 pelajar berjaya khatam al-Quran di negeri ini. Malah apa yang dibanggakan daripada jumlah itu juga ada pelajar yang berumur 10 tahun," jelasnya.

Dalam pada itu, Shamsulkahar turut menjelaskan, pihaknya yakin pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah bersiap sedia untuk memastikan subjek Sejarah lulus pada tahun ini.

''Subjek ini penting, bukan sekadar lulus wajib tetapi mampu melahirkan warganegara yang patriotik kerana apabila mereka faham mengenai sejarah sebenar, mereka akan menghargai negara.

''Selepas ini tumpuan akan diberikan pula kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris kerana akan menjadi subjek lulus pada 2016," tegasnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan