Selasa, 25 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Titah Seri Paduka diperlekeh

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh HUSSAINI AMRAN, MAISARAH SHEIKH RAHIM, ASSIM HASSAN dan KASTHURI JEEVENDRAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Jun - Ahli Parlimen pakatan pembangkang tidak sependapat ketika memberikan reaksi berhubung titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah dalam majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-13, di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Bagan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng seolah-olah memperlekehkan titah Seri Paduka dengan menyifatkannya sebagai 'skrip' yang telah disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dakwa Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang, titah Seri Paduka sebenarnya telah disediakan oleh BN, tidak melibatkan kepentingan rakyat, malah, terdapat banyak kepincangan kerajaan yang cuba disorokkan.

"Titah Seri Paduka telah disediakan oleh kerajaan BN. Mengapa hendak 'mengheret' Seri Paduka dalam perkara ini?.

"BN harus sedar mereka cuma kerajaan minoriti kerana kami adalah kerajaan yang telah menang dengan undi popular sebanyak 51 peratus.

"Kamu (media arus perdana) terima hakikat ini dahulu, kemudian baharu dapatkan komen kami," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.

Pada 6 Mei lalu, DAP khususnya Guan Eng terus mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah 'yang paling kotor' dalam sejarah negara dan mereka seharusnya layak membentuk kerajaan baharu berdasarkan undi popular.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bagaimanapun memberikan reaksi berbeza apabila menyifatkan titah Seri Paduka itu perlu diterima semua Ahli Parlimen dan mereka harus bekerjasama dalam membangunkan negara.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat itu turut berharap agar masing-masing dapat menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13, sekali gus memainkan peranan sebenar sebagai wakil rakyat.

"Semua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang perlu bertindak sedemikian, kami di pihak Pas akan terus komited untuk memperkasakan Islam dan negara, selari dengan agenda perjuangan.

"Kami menerima baik titah Seri Paduka dan semestinya Ahli Parlimen bekerjasama untuk melaksanakan. Saya juga mengharapkan Malaysia bertambah maju dan stabil,'' katanya.

Anwar berhasrat bunuh karier politik Najib

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menjadi perancang utama dalam konspirasi menggunakan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibu untuk membunuh karier politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, Anwar sering mengaitkan Najib dengan kes itu dalam siri ceramah politiknya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Menurut beliau, konspirasi tersebut masih diteruskan selepas PRU-13 dan dilakukan secara sistematik termasuk menerusi bantuan media propembangkang.

"Mereka melakukannya secara berperingkat dan setiap tahun kes pembunuhan Altantuya akan dibangkitkan sekurang-kurangnya tiga kali.

"Saya tidak hairan apabila timbul dakwaan pembangkang cuba menyogok keluarga Koperal Sirul Azhar kerana perbuatan itu merupakan salah satu taktik mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lum Yong mengulas kenyataan bekas peguam bela Anwar, Datuk Zulkifli Noordin semalam, yang tidak terkejut dengan pendedahan cubaan menyogok keluarga Sirul dengan wang RM3 juta kerana memang terdapat usaha terancang bagi memfitnah Perdana Menteri sewaktu mengendalikan kes Ketua Pembangkang itu dahulu.

Minggu lalu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Rahimi Osman membuat pendedahan melalui TV3 bahawa terdapat usaha daripada pembangkang untuk menyogok keluarga Sirul agar bersetuju membuat kenyataan palsu terhadap Najib.

Namun, Lum Yong yakin rakyat tidak termakan fitnah yang ditaburkan ke atas Perdana Menteri oleh Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain.

"Usaha mereka memfitnah Najib tidak berkesan kerana rakyat memahami kedudukan sebenar kes pembunuhan Altantuya," ujarnya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari memberitahu, pendedahan Rahimi itu menunjukkan pihak pembangkang semakin terdesak sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan Najib.

Beliau juga meminta pihak berkuasa segera menjalankan siasatan memandangkan pendedahan tersebut melibatkan individu berprofil tinggi.

"Perlu ada tindakan proaktif daripada pihak berkuasa, tidak perlu tunggu sehingga orang ramai membuat aduan," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan