Jumaat, 21 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Penduduk bimbang gajah liar

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanpahang@utusan.com.my

sekumpulan penduduk menunjukkan tanaman sawit yang dirosakkan oleh kumpulan gajah liar di Kampung Som, Jerantut, semalam. - UTUSAN/ M. Rizal Nor

JERANTUT 21 Jun - Penduduk Kampung Som di sini sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan gajah liar yang mengancam nyawa dan tanaman mereka.

Seorang penduduk, Ishak Mukim Mat Ali, 76, berkata, beliau amat terkejut melihat kumpulan gajah berkenaan berada di hadapan rumahnya baru-baru ini.

"Saya terdengar bunyi bising di luar rumah kira-kira pukul 1 pagi dan bangkit daripada tidur untuk melihat apa yang berlaku.

"Saya membuka pintu dan mengambil lampu suluh untuk melihat sekeliling dan sangat terkejut apabila sekumpulan gajah berada kira-kira 30 meter dari rumah saya.

"Lebih 10 ekor gajah berada di depan rumah dan haiwan itu memusnahkan tanaman di sekitar rumah saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, kehadiran kumpulan gajah liar ke kampung tersebut bukanlah kali pertama malah sudah berulang kali sejak 2009.

"Jika dihitung sejak 1 Jun lalu sudah hampir 10 kali kumpulan gajah itu masuk ke kebun penduduk. Kejadian kali ini menyebabkan kami kerugian besar sehingga RM50,000 apabila banyak tanaman rosak," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Azman Zainuddin, 56, berkata, dia terkejut apabila melihat tanaman getah dan kelapa sawitnya musnah.

Tambahnya, hanya 15 pokok kelapa sawit yang tinggal daripada jumlah asalnya sebanyak 160 pokok.

Sebanyak 350 pokok getah musnah dan yang tinggal hanya 50 pokok sahaja di tanah seluas dua ekar miliknya," jelasnya.

Sehubungan itu, penduduk di kampung berkenaan merayu agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera demi menjaga periuk nasi mereka.

JAIP sentiasa kesan pengikut ajaran sesat

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

KUANTAN 21 Jun - Usaha membanteras ajaran dan fahaman sesat termasuk Syiah terus menjadi keutamaan kepada pihak berkuasa agama negeri ini bagi memelihara akidah seluruh umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, soal akidah tidak boleh dikompromi dan sebab itu pihak berkuasa serius menangani sebarang bentuk pengembangan ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

"Dalam taklimat Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kepada saya kelmarin, mereka mempunyai unit khas yang sentiasa celik dan mempunyai inisiatif bagi membanteras sebarang ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam.

"Tak kiralah Al-Arqam, Syiah, Tuhan Harun atau sebagainya, apa sahaja yang tidak bertepatan dengan ASWJ dan mazhab Shafie, kita akan tangani. Akidah tidak boleh ambil mudah bagi menjaga masa depan generasi muda kita," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini kelmarin.

Bagaimanapun katanya, ancaman akidah di Pahang secara umumnya tidak berlaku secara serius namun ini bukan bermakna pihak berkuasa boleh leka dalam isu ini.

"Cubaan membawa fahaman salah ini sentiasa ada walaupun tidak agresif seperti suatu ketika dulu. Mereka ini saya tengok cuba menggunakan strategi mendampingi orang yang berpengaruh dan kaya.

"Namun JAIP cepat mengesan gerakan mereka seperti yang dibuktikan dalam menangani kes kumpulan pengikut Tuhan Harun baru-baru ini.

"Begitu juga Syiah, satu ketika cuba masuk ke negeri ini, tetapi JAIP cepat beri penerangan di lokasi sasaran mereka seperti pusat pengajian, masjid dan kampung," jelasnya.

Tambah Syed Ibrahim, ini dapat dilakukan kerana JAIP mempunyai struktur yang lengkap bagi menangani isu ini walaupun pada masa sama diakui ruang untuk menambah baik sentiasa perlu diusahakan.

"Orang yang bawa ajaran sesat ini sentiasa cari peluang, jadi ini cabarannya kepada kita," tegasnya.

Pembinaan PPRT jadi komitmen kerajaan BN

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang penduduk dalam pertandingan kediaman terbersih sempena majlis kesyukuran kemenangan Barisan Nasional di Kampung Beletik, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 21 Jun - Pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan rumah mesra rakyat di negeri ini akan diteruskan secara berperingkat-peringkat bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan wang yang cukup banyak setiap tahun untuk melaksanakan projek kediaman bagi keselesaan golongan berkenaan.

Beliau berkata, secara purata, projek PPRT yang diluluskan oleh kerajaan negeri di setiap buah kampung dianggarkan sebanyak 10 unit dan agihan dilaksanakan mengikut keutamaan, manakala pemohon yang telah didaftarkan dalam e-Kasih perlu bersabar menunggu giliran.

"Kerajaan negeri bukan sahaja melestarikan projek PPRT dan rumah mesra rakyat malah turut membaik pulih kediaman untuk golongan miskin.

"Penduduk amat bertuah kerana mempunyai kerajaan Barisan Nasional (BN) yang prihatin dan sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran kemenangan BN bersama-sama penduduk di Kampung Beletik di sini kelmarin.

Yang hadir sama, Ketua Kampung Beletik, Nazaha Mohd. Yusof; Ketua Kampung Lubuk Kulit, Mazlan Jali dan Ketua UMNO Cawangan Beletik, Zainal Abidin Mohd. Ali Hanafiah.

Sempena majlis berkenaan, Wan Rosdy turut menyampaikan hadiah kepada lima pemenang kediaman terbersih dan wang tunai RM100 kepada empat murid yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 di kampung berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri memberi jaminan penduduk miskin yang membuat permohonan rumah PPRT dan bantuan kebajikan lain menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan dipertimbangkan selari dengan aspirasi aku janji BN.

Terdahulu, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai meminta JKKK mengenal pasti keperluan infrastruktur yang perlu dinaik taraf khususnya jalan kampung untuk memudahkan penduduk membawa hasil pertanian ke bandar selain pelajar ke sekolah.

"Boleh dikatakan semua jalan kampung di kawasan ini sudah disambung ke kawasan projek pertanian dan kediaman, manakala usaha membaik pulih laluan yang rosak akan diteruskan berasaskan laporan JKKK," ujarnya.

Tambahnya, projek kemudahan asas khususnya di luar bandar akan direalisasikan secara berperingkat-peringkat kerana kerajaan negeri mempunyai mekanisme perancangan yang teliti untuk kebajikan dan keselesaan penduduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan